- Iklan -
Rencana

Umno sedang menggali kuburnya

Entah apa perkiraan politik Umno, tetapi jelas terbayang bahawa mereka di ambang perpecahan. Jika tersilap langkah, mereka akan karam.

Mohd Fadli Ghani
4 minit bacaan
Kongsi
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Logo Umno di Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Dulu orang Melayu menyokong Umno sebab parti itu berhasil menyatukan pertubuhan orang-orang yang berselerak di seluruh Semenanjung selepas zaman Jepun. Kerana menggabungkan seluruh pertubuhan, parti politik, persatuan dan kelab orang Melayu itu, maka mereka menamakan gabungan besar ini sebagai Pekembar.

Pekembar adalah akronim untuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau dalam bahasa Inggerisnya, Umno (United Malays National Organization). Kekuatan wujud kerana ‘bersatu’ itu!

Umno menjadi kuasa politik yang kuat kerana penyatuan ini sehingga mereka dapat menolak Malayan Union dan berhasil mendapatkan kemerdekaan daripada British. Saya tidak pernah bersetuju dengan dasar dan perjuangan Umno, tetapi secara objektif saya menghormati kegigihan ahli dan pemimpin Umno mendukung dan memperjuangkan keyakinan mereka. Kerana komitmen mereka itu, Umno tiba di usia ke-70 tahun pada 2016.

Apa yang membuatkan Umno goyah? Apabila para pemimpin Umno mula membawa agenda peribadi dan kumpulan masing-masing, terutama menjelang dekad 1980-an. Selepas kematian Tun Razak pada 1976, Umno mulai ‘besar kepala’ kerana mereka dapat menguasai semula politik Malaysia pasca 13 Mei 1969. Maklumlah, sudah di usia matang – 40 tahun! Mereka mula bergerak untuk mengkhianati PAS, khususnya di Kelantan. Tiada seorang pun pemerhati politik dapat menafikan peranan besar Umno terhadap krisis politik Kelantan pada 1976-1977 yang membawa kepada penyingkiran PAS daripada BN dan jatuhnya kerajaan PAS Kelantan pada 1978.

Memasuki era 1980-an, Umno dengan gagah menguasai politik Malaysia walaupun PAS tetap menjadi rival utama mereka dengan isu negara Islam ketika itu. Umno mula membentuk klik-klik politik dalaman yang nyata. Maka muncullah istilah ‘Orang Musa (Hitam)’ dan ‘Orang Ku Li (Tengku Razaliegh)’ di belakang Dr Mahathir Mohamed. Akhirnya Musa Hitam dan Ku Li bertembung sesama sendiri. Selepas Dr Mahathir membuang Musa Hitam pada 1986, beliau bergabung dengan Ku Li untuk melawan Dr Mahathir pula. Kerananya, wujud ‘Team A’ dan ‘Team B’ yang masing-masing menyokong Dr Mahathir dan Ku Li.

Bukankah kerana politik perpuakan ini, akhirnya Umno mengalami perpecahan terbesar di dalam sejarahnya? Team B yang menyokong Ku Li tewas, Umno diharamkan. Dr Mahathir menubuhkan Umno (Baru) dan Team B menubuhkan Semangat 46. Setelah lama berpecah, Ku Li akhirnya mengambil ‘ijtihad politik’ yang baru, membubarkan Parti Melayu Semangat 46, lalu menyertai semula Umno. Bukan semua orang Semangat 46 mengikuti Ku Li untuk kembali kepada Umno pada 1996.

Kemasukan kembali Ku Li ke dalam Umno rupanya untuk menguatkan kedudukan Dr Mahathir yang sedang digugat oleh Anwar Ibrahim. Walaupun di mana-mana Dr Mahathir dan Anwar bercakap tentang hubungan mesra mereka, tetapi semua pengamat politik sedar bahawa Anwar dan Dr Mahathir sedang berkrisis. Dalam tahun 1998, Anwar menggunakan Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerang Dr Mahathir lewat Persidangan Pemuda Umno dengan isu kronisme, korupsi dan nepotisme (KKN). Perang besar Team Mahathir dengan Team Anwar ini membawa kepada pemecatan Anwar dari Umno pada 2 September 1998.

Kali ini giliran Anwar pula memecahkan Umno melalui gerakan Reformasinya. Umno berpecah lebih teruk kerana akar umbinya turut berpecah di seluruh negara. Dalam tahun 1999, penyokong Anwar dapat menguasai parti yang kemudiannya dinamakan sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) sebagai wadah mereka untuk menentang Dr Mahathir yang dianggap sebagai ‘Maha Firaun’ ketika itu. Umno semakin melemah dengan imej penyelewengan, kezaliman, salah guna kuasa dan KKN sehingga memaksa Dr Mahathir berundur pada 2003.

Umno tidak pulih di bawah Pak Lah Badawi. Kuatnya hanya seketika, apabila Dr Mahathir sendiri menyerang Pak Lah selepas 2004 dan mahukan Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Walaupun Pak Lah tidak agresif seperti Anwar, tetapi kerosakan dalaman Umno terus membarah. Perpecahan semakin jelas. Pak Lah terpaksa menyerah kalah apabila Dr Mahathir keluar Umno dan menyerang dari luar. Akhirnya, Najib mendapat tempat sebagai Perdana Menteri setelah Umno-BN hilang majoriti dua per tiga pada 2008.

Kehadiran Najib tidak membantu menguatkan Umno, terutama dengan kemasukan semula Dr Mahathir. Manis hanya seketika. Setelah itu, giliran Najib pula menjadi mangsa serangan Dr Mahathir terutama apabila Rosmah Mansor dan Altantuya dimasukkan ke dalam bagasi politik Najib. Kali ini Muhyiddin Yassin digunakan oleh Dr Mahathir untuk menentang Najib. Kerana desakan-desakan Muhyiddin, pada 2015, Najib bertindak memecatnya dari jawatan timbalan perdana menteri, lalu digantikan dengan Zahid Hamidi. Dr Mahathir bersama Muhyiddin membawa sebahagian orang Umno menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PBBM) pada 2016. Perpecahan kali ini membuatkan Umno jatuh dari tampuk kuasa pada 2018. Umno bertukar menjadi pembangkang!

Melihat keadaan politik orang Melayu yang berpecah teruk itu, PAS memancing Umno di atas nama ‘Perpaduan Ummah’ untuk membentuk Muafakat Nasional (MN) pada 2019. Gabungan PAS-Umno telah memberi nafas baru kepada orang Melayu. Di atas nama perpaduan mereka mara menggugat Pakatan Harapan, lalu kerajaan PH hanya boleh bertahan selama 22 bulan sahaja. MN menarik semula serpihan Umno, iaitu PBBM atau Bersatu, untuk menyatukan politik Melayu dan membentuk kerajaan yang dipanggil Perikatan Nasional pada awal Mac 2020. Umno kembali ke tampuk kuasa, walaupun bukan sebagai ketua.

Rupa-rupanya penyakit lama Umno kembali ‘menggila’ bila mereka mendapat kuasa. Mereka terlupa sejarah dan derita. Mereka hanya mahukan kuasa. Pemimpin Umno sanggup bergaduh sesama mereka dan menyerang kerajaan yang mereka duduk di dalamnya. Kini, bibit-bibit perpecahan datang semula. Bukan di antara Umno dengan Bersatu sahaja, tetapi MN juga. Umno mula menjajakan Jajaran Baru dan gosip hubungan sulit dengan PKR-PH sudah heboh kedengaran. Tetapi yang paling parah sebenarnya, Umno kini sudah membentuk sekurang-kurangnya dua kumpulan dalamannya. Mereka menunggu saat untuk berpecah lagi!

Saya tidak tahu siapa yang memimpin kumpulan mana. Tetapi semua rakyat, pemerhati politik dan orang Umno tahu bahawa mereka tidak bersatu. Mereka mempunyai beberapa kepala yang saling tidak bersetuju sesama sendiri. Lain keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) lain tindakan mereka, lain pendirian MT lain yang Presiden UMNO umumkan, lain MT Umno tegaskan lain MP Umno mengambil pendirian. Presiden Umno mahu perdana menteri meletak jawatan, wakil rakyat Umno mahu Presiden mereka yang letak jawatan. Mereka saling bertentangan.

Entah apa perkiraan politik Umno, tetapi jelas terbayang bahawa mereka sekarang di ambang perpecahan. Jika Umno tersilap langkah, mereka akan karam. Runtuh kuasa dan pengaruh mereka, hancur tenggelam dan karam. Umno akan menjadi sejarah dan kenangan, bakal tersimpan di muzium perjuangan. Apakah ke situ hasrat para pemimpin Umno di dalam mengemudi bahtera mereka? Saya tidak tahu! Tetapi daripada apa yang sedang berlaku, saya katakan Umno sekarang secara perlahan-lahan sedang menggali kuburnya sendiri… Akhirnya mendianglah ia.

Mohd Fadli Ghani adalah pengarah Islamic Institute of Independent Research on Democracy.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow