- Iklan -
Berita

Mahathir ingatkan Anwar tentang akuan berkanun pegawai BNM yang masih belum ditarik balik

Bekas pemimpin itu berkata perdana menteri masih belum membuktikan tuduhan beliau memiliki harta berbilion ringgit.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Anwar Ibrahim mengenai akuan berkanun oleh bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid (gambar tengah).
Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Anwar Ibrahim mengenai akuan berkanun oleh bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid (gambar tengah).

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan Anwar Ibrahim tentang sebuah akuan berkanun (SD) yang memperincikan bagaimana perdana menteri memindahkan ratusan juta ringgit, dengan mengatakan dokumen itu masih belum ditarik balik lebih dua dekad kemudian.

Mahathir merujuk kepada SD dikeluarkan bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Khalid Murad, pada 1999, yang antara lain mendakwa Anwar menggunakan beliau dan ahli perniagaan lain untuk menyembunyikan berbilion ringgit dalam akaun induk.

"Walaupun Anwar tidak didapati bersalah, kenapa statutory declaration Murad tidak ditarik balik? Apakah isteri dan anak-anak Anwar diarah menjelaskan semua harta mereka?" tanya Mahathir dalam catatan ringkas.

Murad, yang didakwa pada 1999 kerana gagal mengisytiharkan saham dan hartanah, masih belum menarik balik dokumen 20 perenggan itu, yang antara lain mendakwa Anwar telah mengarahkannya untuk menjalankan beberapa penyusunan korporat, di mana keuntungan daripada urusniaga berkait dengan BNM digunakan untuk melangsaikan hutang kawan dan kroninya.

Awal tahun lalu, Tong Kooi Ong, salah seorang ahli perniagaan yang dinamakan dalam SD itu, menggesa Murad menarik balik dokumen tersebut.

"Apa yang saya mahukan adalah mudah. Supaya Murad menarik balik SDnya sekarang. Tidak perlu minta maaf," tulis Tong dalam The Edge, akhbar yang dimilikinya.

Mahathir turut mencabar Anwar membuktikan bahawa beliau mengumpul berbilion ringgit, tuduhan yang menyebabkan pemimpin veteran itu memfailkan saman.

"Saman dibuat lebih satu tahun dahulu. Hingga sekarang Anwar tidak dapat tunjuk bukti saya memiliki berbillion ringgit.

"Ini bermakna hingga sekarang saya belum didapati bersalah. Jika SPRM ada bukti tunjuklah.," katanya merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru-baru ini membuka siasatan terhadap dua anaknya.

Mahathir dalam pada itu menafikan dakwaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain bahawa beliau tidak dilayan sebagai penjenayah ketika disoal siasat.

Mahathir mendedahkan butiran notis SPRM kepada anaknya Mirzan, yang menyatakan bekas perdana menteri itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

"Setakat saya tahu saya tidak pernah disiasat. Tetapi notis SPRM menyatakan saya melaku kesalahan."

Beliau turut menyerang Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang terlibat dalam kontroversi pemilikan saham pada 2022.

"Kenapa adiknya tidak disiasat rapi seperti yang berlaku terhadap anak saya?"