Tuesday, June 15, 2021

Pada suatu masa

Sebenarnya bermain di zaman kanak-kanak ini adalah zaman aku mendidik diri aku untuk menyesuaikan diri hidup dalam kumpulan.

Other News

Pada suatu masa dahulu, aku sedang mendewasa di Kampung Batu Serambai, Ulu Klawang.

Pada masa itu aku tidak sedar bahawa aku sebenarnya betul-betul budak kampung.

Kampung Batu Serambai ini mendidik aku membesar untuk membina wujudiah aku yang tegar hingga ke hari ini.

Kampung Batu Serambai aku takrifkan sebagai wilayah permulaan aku membesar dan mendewasa.

Di kampung ini aku mula merakam perjalanan hidup dalam alam persekolahan.

Sekolah untuk aku amat menarik. Aku amat suka bersekolah.

Sekolah adalah tempat aku berjumpa ramai kawan-kawan. Berkumpul dan berkawan untuk aku memang seronok.

Mengikut peraturan sekolah, pada pagi Ahad bila loceng berbunyi jam 7.30, maka kami akan berkumpul di padang sekolah.

Cikgu Mat Zain, guru besar atau guru yang lain akan memberi sedikit ucapan.

Lagu “Berkatlah Negeri Sembilan” dan lagu “Sekolah Kita” akan dinyanyikan.

Ketika lagu Berkatlah Negeri Sembilan dinyanyikan, seorang murid darjah enam akan menurunkan bendera Negeri Sembilan yang terikat tinggi di batang kayu.

Selesai menyanyi bendera berkibar. Aku tak faham makna ritual ini.

Menurut abang aku, di negara Jepun bila ritual menyanyi ini berjalan mata kita pun tak boleh berkelip.

Pernah sekali aku mencuba. Tapi gagal.

Mata aku terbuka luas merayau-rayau ke tiang bendera dan akhirnya masuk habuk.

Hari itu mata aku jadi gatal.

Aku dalam darjah tiga. Tempat duduk murid tidak beralih-alih.

Meja panjang dan kerusi panjang untuk empat murid.

Murid perempuan duduk di hadapan.

Aku duduk di meja paling belakang.

Aku berkongsi dengan Isa anak Lebai Juri, tuan lebai kampung kami dan Zainuddin anak Aziz, pembantu tok penghulu.

Si Isa ini kami panggil Ah Chau, mungkin kerana dia pandai melawak cakap pelat China.

Sebelum loceng berbunyi kami murid-murid ada tugas masing-masing.

Kami akan menyapu bahagian luar dan dalam sekolah. Menyiram bunga dan memotong rumput.

Sampah dikumpulkan dan dibuang untuk dibakar di belakang sekolah.

Sekolah kami nampak kemas dan indah, dan kami merasa bangga dengan usaha tenaga kami sendiri.

Jumaat dan Sabtu hari sekolah cuti.

Ketika cuti sekolah aku merasa bosan kerana tak ada kawan-kawan.

Hanya di sebelah petang kawan-kawan mula berkumpul di padang bola.

Aku masih ingat lagi zaman main bola di padang sekolah.

Padang bola sekolah kami ini tidak besar. Tiang gol pun tiada.

Sebagai ganti kami letakkan selipar, sabut kelapa atau buah kelapa sebagai penanda ganti tiang gol.

Kami akan bahagi-bahagikan diri kami.

Biasanya kami tak sampai lapan orang, tapi wajib ada dua pasukan.

Secara tersendiri Ayin anak Raja Husin yang lebih tua dari yang lain akan membuat keputusan untuk mendirikan pasukan.

Pada masa itu tidak ada sesiapa pun yang gila nak jadi kapten pasukan bola atau gila nak jadi ketua.

Yang kami pentingkan pada masa itu hanyalah bermain seseronok yang mungkin.

Aku teringat pada satu petang bila kami nak buat pasukan tiba-tiba Suman Dusa anak Mak Cik Jarah pemilik kedai runcit kampung Batu Serambai bersuara.

“Buek satu dari Burma .. satu dari Israel.” Suman memberi cadangan.

Ini cadangan baru. Menggunakan nama negara untuk pasukan bola seperti ini belum pernah berlaku. Semua akur.

Pada petang itu pasukan Israel bertarung dengan Burma.

Nama Israel dan Burma ini diambil oleh Suman kerana dia membaca akhbar. Aku masuk pasukan Burma.

Pada masa kami bermain bola di padang Sekolah Umum Batu Serambai, pasukan Israel dan Burma sedang bertarung di Stadium Merdeka Kuala Lumpur untuk merebut Piala Merdeka tahun 1959.

Aku yang sudah pandai membaca akhbar Utusan Melayu Jawi terbaca nama pasukan bola dari Indonesia, Thailand dan Filipina yang juga ada sama merebut Piala Merdeka.

Budak-budak kampung bermain bermusim-musim.

Ada sahaja idea untuk bermain.

Budak kampung amat kreatif. Aku ingat lagi pada satu ketika kami bermain gasing.

Kami bermain gasing kampung.

Ada sahaja abang-abang yang pandai membuat gasing kampung.

Gasing kampung ini dari biasanya dari batang nangka yang mudah dibentuk atau lebih keras dari batang jambu biawas.

Tali gasing kami buat dari kulit batang terap.

Gasing kampung berbeza dari gasing Cina yang dijual 5 atau 10 sen sebiji di pekan Kuala Klawang.

Gasing Cina dibuat dengan mesin dan dicantikkan dengan cat warna coklat.

Gasing kampung buatan tangan dengan warna asli kayu.

Pakar gasing Kampung Batu Serambai ialah Pak Chu Solat.

Sosok ini amat istimewa, dia memiliki sepucuk senapang patah.

Pak Chu Solat adalah pemburu yang arif.

Justeru dia berani tinggal bersendirian di hujung kampung.

Kami, tiga atau empat orang budak-budak akan bertandang ke rumah Pak Chu Solat.

Kami merayu dan meminta jika dia ada gasing untuk “disedekah”.

Biasanya Pak Chu Solat akan berjanji membuat gasing untuk kami.

Pada masa itu kami sebagai budak kampung amat pandai mereka-reka permainan.

Apa sahaja yang ada di sekeliling akan kami jadikan bahan permainan.

Pada suatu musim setelah letih main gasing, kami beralih untuk main kotak rokok.

Awas! Kotak rokok yang dibuang untuk kami pada masa itu amat bernilai.

Kotak rokok jadi pertaruhan.

Rokok Rough Rider atau orang kampung panggil rokok tembak nilainya agak rendah berbanding dengan rokok Gold Leaf atau Craven A.

Paling mahal ialah kotak rokok 555.

Kotak rokok warna kuning ini amat-amat susah untuk ditemui kerana orang kampung tidak sanggup membelinya.

Hanya orang berduit seperti cikgu, pegawai kerajaan dan orang berniaga sahaja yang mampu menghisap rokok 555.

Cara bermain amat senang: kotak rokok sama nilai akan disusun.

Dari garisan yang sama dipersetujui kami akan pangkah kotak rokok ini dengan kotak rokok yang lain.

Mana-mana kotak yang terkena pangkah akan dimenangi oleh si pemangkah.

Bila bosan bermain kotak rokok maka kami akan beralih untuk main penutup botol minuman ringan.

Ketika itu syarikat minuman air “lemenet” di Negeri Sembilan ialah Wee Siang Brothers.

Cara bermain penutup botol ini sama seperti main kotak rokok.

Hasilnya selepas poket seluar membonjol dengan kotak rokok, kini memboyot dengan penutup botol.

Bila bosan dengan yang ini kami beralih ke permainan baru.

Aku masih ingat lagi Majid Ali membawa permainan baru ke Kampung Batu Serambai.

Si Majid empat tahun lebih tua dari aku.

Majid belajar di Goverment English School Kuala Klawang.

Majid bernasib baik kerana pernah sampai ke Kuala Lumpur untuk menziarah saudaranya di kem Askar Melayu Sungai Besi.

Di Sungai Besi Majid ternampak budak-budak Cina bermain “susun tin” kosong.

Bila pulang ke kampung Majid memperkenalkan permainankah susun tin ini.

“Dua tin… lapan biji tin susu kosong… tin besar di bawah .. kecik di atas.. baling tin dengan bola.” Majid memberi penerangan.

Malah Majid bersedia dengan sebiji bola tenis.

Permainan ini amat popular.

Lapan hingga 10 tin susu kosong diatur bertingkat. Perlu dua pasukan.

Satu pasukan menjadi penjaga.

Satu pasukan menjadi pembaling.

Jika tin ini jatuh, maka pasukan penjaga wajib mendirikan kembali tin yang terbarai.

Ketika pasukan penjaga hendak mendirikan kembali tin ini, pasukan pembaling akan mengganggu dengan “membantai” dengan bola tenis sesiapa saja yang cuba menyusun tin ini.

Seronok memang seronok permainan ini.

Hari berjalan. Masa bergerak. Sekolah ditutup sekolah dibuka. Musim berganti.

Satu musim tak tahu siapa yang memulakan satu permainan baru, laga ayam.

Keluarga aku memang ada memelihara ayam.

Malah semua orang kampung ada ayam dan itik.

Bukan untuk dijual tapi untuk makan sendiri.

Ayam, itik, lembu dan kambing milik orang kampung boleh dianggap sebagai duit dalam bank.

Bila putus duit boleh jual binatang ternakan.

Di tepi padang sekolah ada tanah berpasir yang digunakan untuk bermain sepak takraw.

Kawasan ini kami jadikan gelanggang laga ayam.

Setiap petang terutama pada hari tidak bersekolah ada sahaja budak yang akan membawa ayam untuk berlaga.

Budak-budak dari kampung luar juga akan datang membawa ayam untuk dilagakan.

Ayam yang dilagakan ini ada yang bertaji dan ada yang baru nak tumbuh taji.

Jaguh kampung Batu Serambai dimiliki oleh ayam Atot anak Lebai Juri.

Si Atot ini abang kepada Achau kawan sedarjah dengan aku.

Ayam jantan Atot ini memang hebat.

Ayam milik budak Kampung Kemin dikalahkan.

Ayam milik budak Kampung Jambatan Serong dikalahkan.

Pada satu petang tiga orang budak dari Kampong Renal datang.

Kampung Renal hampir dua batu jauh dari kampung kami.

Budak Kampung Renal ini mendengar tentang gelanggang kami.

Maka mereka datang dengan tiga ekor ayam jantan.

Nasib mereka kurang baik.

Dua ayam mereka kalah. Seekor menang.

Tapi mereka tak dapat mengalahkan jaguh Kampung Batu Serambai.

Petang Sabtu itu gelanggang sepak takraw menjadi riuh dengan sorak sorai melihat ayam berlaga.

Seronok memang seronok. Sebelum masuk gelanggang ayam ini akan disapu muka dengan arang dengan harapan akan menjadi lebih garang.

Ada juga petua untuk memberi ayam ini makan lada padi untuk menambah gagah berani.

Ayam untuk jadi jaguh wajib diberi makan nasi panas. Ini ilmu yang diturun temurunkan entah dari mana gurunya. Tidaklah aku tahu.

Aku pun sama mencari ayam jantan yang muda dan gagah dengan niat untuk masuk gelanggang.

Ayam aku tidak masuk ranking. Belum memiliki taji. Tiga kali masuk gelanggang. Semua kalah.

Lalu memotong ekornya dengan harapan ekor baru akan tumbuh lebih rimbun dan dia menjadi gagah berani.

Pada satu petang aku sedang memeluk ayam sabung dalam perjalanan ke Kampung Jambatan Serong untuk mencari lawan.

Di tangga rumah abah ternampak ada ayam di dada aku.

“Nak ke mana? Jangan laga-lagakan ayam tak baik.”

Itu saja kata dari mulut abah aku. Pendek dan tegas.

Semenjak petang itu aku tidak lagi main laga ayam.

Kami juga mula reda dari berhimpun di gelanggang.

Akhirnya main laga ayam berhenti dengan sendiri.

Tiba-tiba berita tersebar Raja Husin ayah kepada Ayin dapat hadiah dari Yang di-Pertuan Besar.

“Hadiah apa Yin?” Aku bertanya.

“Ada laaa… nanti kau tengok.” Ayin masih menyimpan rahsia.

Satu petang teksi dari Seremban berhenti di hadapan rumah Raja Husin.

Raja Husin membawa pulang satu kotak besar.

“Yamtuan bagi….anak anjing ….macam anjing polis Amerika…nama dia Jackie … jantan ada telo.”

Ayin dengan bangga menerangkan kepada kami budak-budak kampung.

Jackie menjadi tarikan.

Aku dan budak kampung yang lain akan datang ke rumah Raja Husin untuk melihat Jackie. Anak anjing berwarna kuning ini manja dan menarik.

Bermain dengan Jackie cukup seronok.

Jackie membesar bersama kami budak kampung.

Selang beberapa bulan Jackie kelihatan lebih besar daripada anjing kampung.

Aku ingat lagi lepas musim menuai sawah akan menjadi padang yang amat luas.

Di Kampung Batu Serambai padi ditanam sekali dalam setahun.

Ertinya hampir enam bulan lopak-lopak sawah menjadi padang.

Ketika padi selamat dibawa pulang Ayin membawa Jackie turun ke sawah yang hampir kering.

Yang tinggal dalam sawah hanyalah longgokkan timbunan batang padi dan jerami yang dibanting.

Di bawah batang padi dan jerami ini tikus membuat sarang.

Kami akan naik dan menghenjut timbunan jerami dan batang padi ini.

Ketika ini tikus akan bertempiaran lari keluar untuk menyelamatkan diri. Ketika ini juga Jackie akan mengejar tikus-tikus ini. Kami juga akan mengejar sama.

Aduh ! Seronok betul bermain dengan anjing sambil menangkap tikus.

Tiba-tiba satu cadangan muncul.

“Kita tangkap tikus ini … suruh dia berlumba.” Satu lagi permainan lahir.

Aku dan yang lain mula menangkap tikus yang belum digigit oleh Jackie.

Kami masukkan ke dalam tin kosong. Kemudian kami bawa tikus-tikus ini ke padang sekolah.

Di atas padang kami buat satu garisan di mana tikus-tikus ini akan serentak dilepaskan untuk berlumba.

Bayangkan seronoknya bermain pada petang itu.

Satu permainan baru. Jackie juga turut sama mengejar tikus yang berlari di padang bola.

Suara gegak gempita yang amat sangat ini menarik perhatian abah aku di rumah. Abah aku muncul.

Dia terperanjat melihat permainan kami pada petang itu.

“Jangan …. jangan bawa tikus ke rumah.. bahaya.. tikus bawa penyakit.”

Abah aku memberi arahan. Petang itu Abah aku betul-betul potong stim. Perlumbaan tikus dibatalkan.

Semenjak petang kami tidak lagi ke sawah dengan Jackie atau pergi mencari tikus.

Setelah beberapa hari tanpa bermain kami merasa bosan.

Lalu kami hidupkan kembali permainan Perang Jepun.

Main Perang Jepun ini sentiasa ada bersama kami, budak-budak Kampung Batu Serambai.

Di tepi sekolah ada kawasan hutan belukar seluas tiga padang bola.

Wilayah ini menjadi tempat budak kampung main Perang Jepun.

Ini mainan teater tembak menembak.

Kami ada kayu yang kami gunakan sebagai senapang atau pistol.

Kami tidak memakai apa-apa peluru.

Suara kami menjadi tembakan pistol dan senapang.

“Beng! Kau mati!”

Mainan teater Perang Jepun ini amat menarik.

Seperti kami berjanji bersetia sesama sendiri.

Seperti kami ikat janji sesama sendiri.

Sebenarnya teater Perang Jepun ini, kami ada peraturan dan perjanjian yang tidak bertulis.

Siapa kena tembak dulu dia wajib mati.

Untuk permainan ini berjalan lancar maka perjanjian yang tidak bertulis ini wajib dipatuhi.

Kadang kala aku menjadi Jepun.

Kadang kala aku menjadi Askar Melayu.

Ada kala menang, ada kala kalah.

Bukan kalah atau menang yang penting.

Untuk kami ialah kegembiraan bermain dan berkawan menjadi tujuan utama.

Tapi dalam suasana gembira bermain teater ini, ada juga watak bebal lagi degil.

Aku perhatikan watak ini. Nama dia Ahmad, satu tahun di bawah umur aku.

Aku ternampak Ahmad sedang merangkak dalam belukar.

Dia tidak nampak aku yang menyorok di belakang rimbunan pokok senduduk.

Aku mengintai kemudian aku menembak.

“Beng.. beng.” Dua tembakan dari aku.

“Beng.. beng.” Ahmad menembak balik.

“Aku tembak dulu… kau dah mati laaa.” Aku menjelaskan.

“Mana ada … aku tembak kau dulu.” Ahmad berdegil tak mahu mati.

Ini bukan kali pertama berlaku.

Sebelum petang ini, ada sekali aku menembak Ahmad dahulu tetapi dia enggan mati.

Dia terus bertelagah mengatakan dia yang menembak dulu.

Bila ini belaku maka teater Perang Jepun kami akan terencat, berhenti.

Dengan sendirinya suasana ini menjemput kami untuk berhenti bermain.

Kami memandang sesama sendiri.

Kemudian membuangkan pistol dan senapang kami.

Ahmad ini adalah watak potong stim.

Dalam bermain Perang Jepun ini aku mula sedar watak si Ahmad ini gagal memahami tolak ansur dalam permainan.

Kami juga budak-budak sudah pandai mengumpul pengalaman.

Jika pada petang itu Ahmad ada bersama, maka kami tidak akan mengajak dia bermain Perang Jepun.

Pengalaman mengajar kami budak-budak untuk mula mengenal perangai dan watak kawan-kawan.

Epilog:

Bermain, berkawan untuk aku amat penting.

Di kampung Batu Serambai dunia aku amat luas.

Sawah, padang, sungai, bukit, belukar dan hutan – semua menjadi latar untuk aku bermain.

Sebenarnya bermain di zaman kanak-kanak ini adalah zaman aku mendidik diri aku untuk menyesuaikan diri hidup dalam kumpulan.

Jika dari kecil aku bebal dan degil maka bila mendewasa pasti aku tidak memiliki sifat berunding dan bertolak ansur.

Perjalanan hidup ini adalah perundingan antara aku dengan diri aku.

Antara aku dengan kawan-kawan yang lain.

Perjalanan hidup aku ketika membesar mendidik aku untuk menjiwai watak yang memiliki sikap bertolak ansur.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Previous articleEjen Israel di Iran
Next articleDi celah-celah kematian

Related Articles

Aku ini binatang jalang

Salim dan Boo ke mahkamah

Salim dan Boo sampai ke London

Salim dan Boo

Lagenda Kung Fu Tan