- Iklan -
Rencana

Jangkitan selepas vaksinasi adalah kecil, sudah dijangka

Kes jangkitan setelah pengambilan vaksin masih lagi dalam lingkungan kecil.

Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
4 minit bacaan
Kongsi
Vaksin Covid-19 Pfizer turut digunakan dalam program vaksinasi kebangsaan. Gambar: AFP
Vaksin Covid-19 Pfizer turut digunakan dalam program vaksinasi kebangsaan. Gambar: AFP

Ramai yang terkeliru dengan pendedahan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, bahawa seramai 40 orang pekerja sektor kesihatan, daripada seramai 438,220 individu yang melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 dalam fasa pertama pemberian vaksin, terjangkit Covid-19.

Lalu digembar-gemburkanlah oleh sesetengah golongan program pemberian vaksin yang dilancarkan oleh kerajaan menemui kegagalan, kononnya tidak ada guna diambil vaksin kerana ia tidak mampu mencegah pengambilnya daripada terjangkit Covid-19 sedangkan pengambilan vaksin didakwa menjadikan pengambilnya “immuned” dari Covid-19.

Walhalnya kesemua perkara ini dijangka dari awal lagi malah kerajaan sendiri berkali-kali menegaskan vaksin tidak 100% berkesan untuk menghalang jangkitan.

Semakin bertambah jumlah mereka yang menerima serta melengkapkan semua dos vaksin, semakin banyak kes jangkitan Covid-19 yang akan dilaporkan.

Tetapi pokok pangkalnya ialah semua kes jangkitan setelah pengambilan vaksin ini masih lagi dalam lingkungan kecil, di mana bilangan 40 orang pekerja sektor kesihatan yang terjangkit Covid-19 setelah pemberian vaksin dilakukan adalah peratusan yang amat kecil berbanding ribuan yang telah terjangkit Covid-19 sebelum pemberian vaksin dilakukan.

Dan perkara ini adalah selari dengan apa yang berlaku di negara-negara yang lebih dahulu melaksanakan program vaksinasi di mana berlakunya penurunan yang signifikan dalam kes jangkitan Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital.

Inilah juga yang berlaku di Amerika Syarikat bila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan beberapa hari yang lalu bahawa lebih kurang 5,800 individu yang menerima vaksin Covid-19 mendapat jangkitan berbanding sejumlah kira-kira 77 juta orang di negara tersebut yang melengkapkan semua dos suntikan.

Tanggapan salah sekiranya seseorang itu menerima vaksin maka jangkitan tidak boleh berlaku dan virus yang menyebabkan jangkitan tidak boleh masuk ke dalam badan perlu diperbetulkan dengan segera.

Sebenarnya jangkitan boleh berlaku tetapi ketahanan yang terbina (95% sekiranya vaksin adalah daripada keluaran Pfizer) setelah menerima vaksin tersebut akan membantu badan melawan jangkitan.

Perlu diketahui bahawa apabila vaksin diberikan kepada seseorang individu, ia akan merangsang sel-sel dalam badan membina imuniti atau ketahanan badan.

Ini adalah kerana bahan dalam vaksin ini, sama ada yang dihasilkan secara sintetik seperti vaksin Cominarty keluaran Pfizer ataupun vaksin daripada jenis virus nyahaktif seperti Sinovac, akan bertindak sebagai antigen yang berfungsi merangsang ketahanan badan.

Ketahanan badan ini diperlukan apabila mereka yang mendapat vaksin ini mendapat jangkitan.

Pendek kata, vaksin ini melawan jangkitan tersebut sekiranya terjangkit. Ini ialah cara vaksin berfungsi.

Saya lebih suka menggunakan analogi pemakaian tali pinggang keledar untuk menaiki kenderaan dalam penerangan saya mengenai perlindungan yang diberikan oleh vaksin.

Vaksin bertujuan melindungi kita dengan menghalang jangkitan teruk dengan imuniti yang dibina bagi melawan jangkitan sekiranya terjangkit.

Tali pinggang keledar pula menghalang kecederaan teruk sekiranya kemalangan berlaku.

Tiada jaminan bagi mereka yang memakai tali pinggang keledar ini tidak akan mengalami kemalangan.

Namun, impak daripada kemalangan tersebut, sekiranya dialami dengan kelajuan yang sama, cara berlanggar yang sama, jenis kenderaan yang sama, tentunya individu yang memakai tali pinggang keledar kurang mengalami kecederaan berbanding dengan individu yang tidak mengenakan tali pinggang keledar.

Pengambilan vaksin tidak menjamin kita daripada terjangkit Covid-19, ia tidak akan menjadikan kita Superman, tetapi komplikasi jangkitan adalah kurang sekiranya kita dilindungi oleh vaksin.

Noor Hisham sendiri menyatakan individu-individu yang dilaporkan mendapat jangkitan setelah menerima vaksin Covid-19 adalah jangkitan dengan gejala yang kurang serius.

Berbanding dengan mereka yang belum menerima vaksin, jangkitan boleh menjadi serius terutamanya dalam kalangan golongan rentan iaitu warga emas, mempunyai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis, hiperlipidemia, obesiti dan mereka yang mempunyai daya tahan yang rendah.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat jangkitan walaupun menerima suntikan vaksin?

Imuniti terhadap Covid 19 tidak terbentuk sejurus selepas dos pertama atau selepas yang kedua. Imuniti penuh memerlukan beberapa minggu selepas dos kedua.

Bagaimanapun, kadar imuniti dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman individu seperti kebolehan individu tersebut menghasilkan tindak balas terhadap antigen daripada vaksin tersebut untuk membina imuniti.

Antara faktor luaran yang paling utama pula ialah kadar jangkitan yang masih tinggi dalam komuniti kita.

Sekiranya ramai yang mendapat suntikan vaksin, imuniti kelompok akan tercapai dan ramai akan mendapat perlindungan daripada dijangkiti.

Antara sebab lain ialah kepatuhan kepada SOP termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan yang harus diamalkan walaupun setelah menerima vaksin Covid-19.

Laporan dari negara-negara lain yang turut mencatatkan kes-kes baru dalam kalangan penerima vaksin menyatakan individu-individu yang menerima vaksin ini mempunyai persepsi mereka selamat daripada pandemik.

Justeru, ada yang mengambil langkah berani ataupun cuai terhadap amalan SOP biasa untuk mencegah jangkitan.

Antara soalan yang biasa kita dengar daripada masyarakat ialah, adakah dengan mendapat vaksin, kita tidak perlu menggunakan pelitup muka dan bebas bersalaman dengan individu lain?

Jawapannya ialah amalan-amalan pencegahan tetap perlu dilakukan walaupun setelah kita menerima vaksin Covid-19.

Dengan erti kata lain, tidak ada orang yang selamat melainkan semua orang selamat daripada pandemik ini.

Kesimpulannya, jangkitan masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang mendapat vaksin, namun kadarnya adalah jauh lebih rendah dan jangkitan yang dialami juga adalah tidak serius berbanding dengan mereka yang tidak mendapat vaksin.

Pun begitu, kepatuhan kepada SOP hendaklah diteruskan sehingga imuniti kelompok tercapai.

Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.