Thursday, September 16, 2021

Jadikan sektor pertanian lebih menarik untuk belia

Faktor utama sektor pertanian tidak menarik golongan muda adalah disebabkan gaji yang rendah.

Other News

Kemunculan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka telah menyedarkan kita agar tidak mensia-siakan apa sahaja yang kita miliki sekarang. Memandangkan Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka yang terdedah kepada gangguan luar, isu keselamatan makanan telah menjadi topik hangat sejak krisis ini tercetus dan salah satu cara untuk menangani isu keselamatan makanan adalah dengan mempromosikan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian kepada golongan muda.

Mengikut Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), keselamatan makanan merujuk kepada sesuatu keadaan di mana semua orang, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat, memenuhi keperluan pemakanan mereka dan pilihan pemakanan untuk kehidupan yang aktif dan sihat.

Oleh disebabkan Malaysia adalah ekonomi terbuka dan terkesan daripada pandemik Covid-19 (contohnya: larangan eksport oleh negara luar dan gangguan rantaian bekalan global), terdapat keperluan yang sangat tinggi untuk kita terus memperkasakan dan mempromosikan sektor pertanian dalam kalangan masyarakat.

Statistik telah menunjukkan bahawa kadar kemandirian Malaysia pada tahun 2019 bagi beberapa item makanan masih rendah – daging kambing (12.1%), halia (16.2%), daging lembu (23.7%), cili (30.8%), mangga (32.1%), kubis bulat (36.2%) dan beras (69%).

Sudah tentu ada beberapa item makanan yang tidak sesuai untuk ditanam, dituai ataupun dibela disebabkan oleh iklim di Malaysia tetapi kita masih boleh memberi tumpuan kepada item makanan yang sesuai dengan iklim di Malaysia.

Sebagai contoh, walaupun terdapat ramai petani di Malaysia, import beras kita dari negara lain kekal tinggi – Thailand (48.8%), Vietnam (25%), Kemboja (8.2%) dan India (7.8%).

Satu lagi isu yang timbul dalam usaha untuk memperkukuh keselamatan makanan adalah kekurangan minat dalam kalangan belia untuk menyertai sektor yang berkaitan dengan keselamatan makanan seperti pertanian dan perikanan. Secara umumnya, kita dapat lihat bahawa belia lebih suka untuk bekerja dalam bidang pekerjaan kolar biru dan kolar putih.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute (KRI), sektor pertanian dan perhutanan merupakan salah satu sektor yang paling kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar di sekolah manakala bagi para pelajar dalam pendidikan peringkat tinggi, kajian juga menunjukkan bahawa minat mereka kurang untuk bekerja dalam sektor pertanian dan perhutanan.

Dekan fakulti Universiti Putra Malaysia Abdul Shukor Juraimi juga mengatakan bahawa pendapatan tidak cukup tinggi untuk menarik lebih ramai orang ke dalam sektor pertanian. Menurutnya, hanya 28 peratus daripada penduduk Malaysia yang berada dalam sektor tersebut dan rata-rata, mereka berusia 50 tahun.

Merujuk kepada rajah di bawah, kita juga dapat melihat bahawa bilangan pekerjaan dalam sektor pertanian daripada jumlah pekerjaan semakin menurun untuk bertahun-tahun kerana Malaysia telah melalui transformasi daripada pertanian kepada sektor yang berasaskan industri.

Sumber: Bank Dunia

Walaupun berlaku peralihan, sektor yang berharga ini tidak sepatutnya dilupakan atau dipinggirkan kerana ia merupakan penyumbang besar kepada ekonomi Malaysia sejak tahun 1970-an. Oleh itu, bakat pertanian perlu diperkasa agar kita dapat terus mempromosikan sektor ini dan memastikan isu keselamatan makanan tidak berpanjangan.

Memandangkan sektor pertanian adalah penting bukan sahaja untuk ekonomi tetapi untuk rakyat, salah satu cara untuk menerajui matlamat ini adalah dengan bermula daripada asas teras iaitu pendidikan. Hal ini amat penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan belia dan usaha ini harus dimulakan seawal peringkat sekolah rendah.

Seiring dengan kemajuan dalam sukatan pelajaran, hubungan di antara pertanian dan kemajuan teknologi serta faedah yang boleh diperoleh daripada sektor ini boleh dipamerkan kepada golongan muda. Pengetahuan mengenai perniagaan pertanian juga harus didedahkan kepada anak muda untuk mengubah pemikiran mereka untuk berfikir ke hadapan (menjalankan perniagaan daripada hasil pertanian)

Pembelajaran peer-to-peer boleh dilakukan untuk mengubah pemikiran orang tentang kebaikan sektor pertanian dengan menunjukkan dan menceritakan kejayaan petani muda sebagai sumber inspirasi dan pengajaran untuk golongan muda.

Selain itu, cara lain untuk menjadikan sektor ini lebih menarik adalah dengan adanya penawaran gaji atau upah yang lumayan kerana faktor utama yang menghalang golongan muda daripada menceburi bidang ini adalah disebabkan oleh gaji yang rendah.

Statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menunjukkan bahawa gaji bulanan purata dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan adalah yang paling rendah – RM1,997 pada tahun 2019 (rajah di bawah).

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Oleh itu, inovasi (penggunaan teknologi baharu seperti sensor lapangan, dron) sangat penting untuk menjadikan sektor pertanian ‘lebih seksi’ di mata anak muda kerana mereka dapat melihat hasil yang lebih tinggi dan cepat.

Memandangkan golongan muda umumnya lebih celik teknologi berbanding dengan golongan yang berumur, merekalah golongan yang tepat untuk terus memperkasa sektor pertanian. Usaha untuk memperlihatkan evolusi pertanian kepada anak muda juga boleh dilakukan melalui media sosial kerana itu lah saluran maklumat yang terpantas untuk mereka.

Isu penglibatan orang tengah yang menjual hasil tanaman dengan harga yang tinggi juga harus dititikberatkan dalam menarik golongan muda ke dalam sektor pertanian.

Akhir sekali, jenis tanaman yang ditanam oleh para petani harus diberi penekanan ketika mempromosikan sektor ini kepada golongan muda kerana pendidikan memainkan peranan yang amat penting.

Sesetengah tanaman boleh membawa hasil dalam jangka waktu yang lebih pendek dan ada juga yang memerlukan waktu yang lebih lama untuk melihat hasil yang lumayan.

Sofea Azahar merupakan Penganalisis Penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles