Wednesday, December 8, 2021

Hujah bela diri selepas dijatuhi hukuman gantung keahlian Umno

Pihak yang membuat aduan berhubung Tun Faisal dikatakan memiliki motif jahat.

Other News

Dalam surat rayuan saya, saya telah mengulangi semula hujah-hujah pembelaan yang saya nyatakan sebelum ini agar ia dapat dibaca dan diteliti dengan sebaik mungkin oleh Ahli MKT Umno. Surat rayuan dan hujah pembelaan saya telah saya serahkan dalam bentuk ‘hardcopy’ dan sesalinan ‘sofcopy’ akan saya hantarkan kepada semua MKT melalui applikasi Whatsapp. Dua (2) hujah pembelaan utama saya adalah seperti berikut:-

Pertama, Tiada perbuatan memfitnah, mencela dan mengkeji yang bertentangan dengan perkara 3.1.2, 3.1.4. 3.1.6 tata etika ahli Umno dan tiada salah laku penerbitan media massa elektronik atau internet bertentangan dengan perkara 5.3. Tajuk akbar “Presiden sudah hilang kredibiliti” dan laporan akhbar tersebut bukan melaporkan kritikan, fitnah atau celaan sebaliknya pandangan umum terhadap presiden berikutan tindakan beliau dan peristiwa di dalam Umno.

Misalnya, saya nyatakan bahawa kenyataan sebenar saya kepada media adalah: “Maksudnya presiden ada isu kredibiliti, apa yang beliau bawa tidak boleh sampai, tidak diterima majoriti dalam Umno dan saya melihat ini perkara yang perlu segera mendapat penyelesaian”. Ini berbeza dengan tajuk akhbar yang melaporkan saya sebagai berkata bahawa, “Presiden sudah hilang kredibiliti”

Tajuk akhbar “Presiden khianati parti” dan laporan tersebut bukan kritika, fitnah atau celaan sebaliknya berdasarkan bukti oleh pihak terlibat.

Saya nyatakan bahawa tidak ada unsur fitnah, mengkritik, mengkeji atau mencela Presiden kerana kenyataan saya adalah respon dan pandangan saya sebagai ahli parti terhadap pendedahan yang dibuat oleh bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang saya yakini benar berdasarkan bukti-bukti dan maklumat-maklumat yang telah disampaikan oleh beliau sendiri. Saya tidak mengkritik sebaliknya memberi pandangan bagaimana masalah ini boleh diredakan – “Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, Ahmad Zahid perlu membuat akuan bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Ini termasuk, katanya, menghentikan jajaran politik baharu sebagai istilah menyembunyikan sokongan secara rahsia beliau itu. “Jika presiden buat (akuan bersumpah) ini maka kita boleh sokong semula beliau. “Selagi presiden tak berani buat dan tak mahu arahkan untuk hentikan jajaran politik baharu ini, selagi itu takkan selesai,”.

Kedua, Pihak pengadu tiada “locus standii” malam miliki motif jahat atau “ulterior motive”. Proses aduan juga tercemar dengan unsur-unsur tekanan, ketidakadilan dan fitnah.

Dalam sesi tribunal, saya telah menunjukkan kepada anggota tribunal Akuan Bersumpah (SD) saksi bahawa aduan ini diaturkan oleh pihak yang berkepentingan dengan motif yang boleh dipersoalkan, serta proses membuat aduan ini juga tercemar dengan unsur-unsur tekanan, ketidak adilan, pelanggaran peraturan, fitnah dan politik wang, ditambah pula AJK bahagian dan ketua-ketua cawangan yang hadir tidak diberikan masa yang secukupnya untuk meneliti fakta-fakta dalam surat aduan yang mereka tandatangani, boleh dikatakan aduan yang dibuat terhadap saya telah kehilangan meritnya.

Tindakan susulan yang diambil terhadap saya berikutan aduan yang tercemar dan kehilangan merit ini boleh mengakibatkan tanggapan negatif terhadap Umno dan mengakibatkan Lembaga Disiplin disalah tanggap sebagai diperalatkan untuk memenuhi kehendak dan kepentingan individu tertentu. Atas faktor kehilangan merit dan proses membuat aduan yang tercemar, aduan tersebut sepatutnya tidak wajar dipertimbangkan sama sekali oleh lembaga disiplin.

Surat Akuan Bersumpah saksi mengenai pertemuan ini ada bersama saya dan hanya saya tunjukkan sahaja kepada anggota tribunal sebagai langkah untuk menjaga keselamatan saksi-saksi.

Saya ingin menegaskan sekali lagi tidak ada sebarang unsur kritikan, fitnah, celaan dan kecaman yang saya lakukan terhadap Presiden secara terbuka. Ia adalah pandangan umum berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Annuar Musa yang berkisar kepada surat sokongan terhadap Anwar Ibrahim dan Jajaran Politik Baru melibatkan PKR dan DAP, serta rumusan terhadap kredibiliti presiden berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku, iaitu penolakan demi penolakan terhadap kerjasama dengan Anwar dan DAP oleh Majlis Kerja Tertinggi.

Isu sokongan terhadap Anwar, Jajaran Politik Baru melibatkan kerjasama dengan Anwar, PKR dan DAP, dan isu kredibiliti Presiden adalah isu yang amat penting untuk ditangani segera. Pandangan-pandangan yang saya berikan mengenai Presiden adalah benar dan diberikan demi kebaikan diri Presiden, Umno dan Agenda Penyatuan Ummah. Tindakan segera daripada Presiden penting agar Umno mempunyai hala tuju yang jelas dan perpecahan dalaman Umno dapat diredakan. Tindakan daripada Presiden ini juga penting bagi memastikan Umno memperolehi kemenangan yang lebih besar dalam PRU15.

Atas segala hujah pembelaan dan justifikasi yang saya berikan, saya dengan penuh rendah diri memohon jasa baik dan pertimbangan presiden dan semua ahli MKT untuk:

  1. Menarik balik pengesahan terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno Malaysia yang jelas tidak bersandarkan merit dan fakta kes
  2. Membatalkan hukuman penggantungan selama 6 tahun yang jelas zalim dan tidak masuk akal
  3. Mengembalikan semula hak-hak keahlian saya, termasuk jawatan saya sebagai ketua Umno cawangan dan timbalan ketua Umno bahagian Putrajaya yang saya menangi melalui proses demokrasi yang sihat dan dalam pertandingan yang adil tanpa menyalahi tata etika parti termasuk politik wang.

Semoga dengan penarikan semula pengesahan dan hukuman yang zalim dan tidak masuk akal ini, imej Umno akan menjadi semakin baik serta dilihat lebih adil dan lebih demokratik di mata ahli dan rakyat.

Ini adalah sebahagian hujah bekas timbalan ketua bahagian Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail selepas digantung keahlian selama enam tahun dari Umno.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles