Thursday, June 24, 2021

Dilema politik di Malaysia, AS

Ramai yang berasa kecewa terhadap gelagat pemimpin negara yang hanya mementingkan diri sendiri daripada mengambil berat keperluan rakyat.

Other News

Meskipun 2021 adalah tahun yang dijangka lebih baik selepas dunia terumbang-ambing hampir setahun lamanya, serangan ke atas bangunan Capitol di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu lalu serta juga dilema politik Malaysia yang berterusan – antara Umno dengan Bersatu telah menimbulkan masalah kepada kedua-dua negara.

Ramai yang berasa kecewa terhadap gelagat pemimpin negara yang hanya mementingkan diri sendiri daripada mengambil berat keperluan rakyat.

Ada juga rakyat risau mengenai perang pandemik yang kelihatan tiada kesudahannya kerana lonjakan kes Covid-19 yang berterusan di AS dan Malaysia.

Sehingga kini, AS mencatatkan sebanyak 250,000 jangkitan Covid-19 setiap hari manakala Malaysia pula merekodkan 2,500 kes secara purata.

Sepatutnya Presiden Donald Trump berusaha mencari penyelesaian menangani penyebaran jangkitan Covid-19 di negaranya.

Namun, sebaliknya beliau menuntut Naib Presiden Mike Pence dan Kongres supaya menolak kemenangan Joe Biden pada pilihan raya negara itu baru-baru ini.

Oleh kerana beliau telah diselubungi dengan kerakusan politik sehingga menjadi gila dan tamak kuasa, Trump telah mengerahkan sekumpulan penyokong tegarnya menyerbu bangunan Capitol, merempuh kawalan keselamatan serta menawan sebahagian bangunan selama beberapa jam.

Tingkah laku Trump yang begitu angkuh itu bukan sahaja menyebabkan sesi Kongres bagi mengesahkan undi Kolej Elektoral terganggu, tetapi ia juga menyebabkan peristiwa berdarah yang tidak perlu terjadi apabila lima orang disahkan terkorban manakala lebih 50 orang cedera.

Walaupun Trump akhirnya berjanji memastikan peralihan kuasa yang lancar kepada Biden pada 20 Januari, serangan Capitol tersebut menunjukkan kepada dunia AS sedang mengalami krisis demokrasi.

Demografi pengundi di AS yang semakin berpecah belah pastinya akan memberikan cabaran besar bagi pentadbiran Biden untuk melaksanakan reformasi dasar dalam empat tahun mendatang.

Di Malaysia pula, ketika barisan hadapan sedang gigih berjuang untuk menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19, Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan yang disenaraikan di bawah kem Umno “tanpa jawatan menteri” menyeru supaya pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan pada suku pertama tahun ini.

Walaupun kerajaan sekarang mempunyai majoriti tipis, tetapi ia bukanlah masa sesuai untuk mengadakan PRU memandangkan adanya pandemik.

Perikatan Nasional (PN) masih merupakan kerajaan yang sah kerana ia dibentuk dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Umno telah menyerahkan keputusan untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu di Perhimpunan Agungnya pada 31 Januari, ketidakstabilan politik telah berlaku lebih awal apabila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menarik diri menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Sabtu lepas.

Penarikan sokongannya menunjukkan kerajaan PN kini hanya mempunyai 110 kerusi berbanding 109 pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) dengan 91 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan 2 kerusi, Warisan (8 kerusi) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dengan satu kerusi, serta tujuh ahli bebas termasuk Ahmad Jazlan – sejumlah 109 kerusi.

Selain Ahmad Jazlan, ahli bebas lain terdiri empat daripada Pejuang dan 1 daripada Muda – penubuhan kedua-dua parti politik telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada minggu lepas.

Pengunduran Ahmad Jazlan merumitkan keadaan kerana kerajaan PN diwujudkan dengan sokongan dan kerjasama individu ahli Parlimen daripada 12 parti politik di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan restu dan sokongan parti masing-masing.

Adalah pelik Umno tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap Ahmad Jazlan kerana mendahului perhimpunan agung Umno kerana parti itu boleh dianggap masih menyokong kerajaan PN selagi keputusan muktamad pada 31 Januari belum dibuat.

Lantaran itu, ramai penganalisis berpendapat Umno memang mempunyai hasrat menimbulkan ketidakstabilan di negara ini dengan memaksa pilihan raya mengejut atau pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya di adakan dalam suasana negara berdepan dengan lonjakan jangkitan Covid-19 yang pastinya mempunyai impak negatif kepada ekonomi negara, dan seterusnya menjejas kesejahteraan rakyat.

Walaupun Malaysia terkenal sebagai negara yang memiliki kos terendah bagi menjalankan perniagaan di Asia Tenggara, landskap politik negara yang tidak menentu ini telah menghalang syarikat teknologi besar untuk menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia.

Contohnya, Apple dan Samsung memilih Vietnam untuk kilang pembuatannya manakala Amazon akan membina tiga pusat data di Jawa Barat Indonesia pada akhir 2021 dan awal 2022.

Walaupun Kenderaan Generasi Baru (NxGV), Kenderaan Hubungkait Automatik dan Berautonomi (AACV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, banyak pengeluar automotif berhenti melabur atas kemelut politik yang berterusan di Malaysia.

Sementara itu, komitmen pemerintah Indonesia dalam mempromosikan kenderaan elektrik akhirnya menyebabkan Hyundai berpindah ibu pejabat Asia Pasifik dan pusat latihannya dari Malaysia ke republik itu.

Walaupun Grab diasaskan rakyat Malaysia, namun ekosistem syarikat pemula atau ‘start-up’ yang mapan di Singapura akhirnya menyebabkan penyedia perkhidmatan e-hailing itu memindahkan ibu pejabat mereka dari negara ini ke Kota Singa.

Manakala ketidakmampuan Trump menangani pandemik ini, pembunuhan George Floyd dan serangan Capitol baru-baru ini telah menunjukkan kepada dunia AS sedang berada di pinggir demokrasi.

Sukudhew (Sukhdave) Singh, mantan timbalan gabenor Bank Negara Malaysia menyatakan Malaysia kekal menjadi negara yang berpecah belah dengan identiti rakyatnya dilabel melalui bangsa dan agama, beserta agenda politik dan ekonomi yang berbeza-beza.

Oleh yang demikian, AS dan Malaysia gagal mewujudkan keseimbangan yang betul antara politik, pandemik dan ekonomi. Kemelut politik secara berterusan telah menghalang kedua-dua negara menangani peningkatan kes Covid-19 dan kehidupan rakyat Malaysia secara berkesan.

Dalam keadaan demikian, ahli politik merupakan individu yang menerima paling banyak manfaat tapi rakyat tetap menjadi golongan rentan yang paling banyak berkorban.

Jamari Mohtar dan Amanda Yeo merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles