- Iklan -
Rencana

Mengapa Iran benarkan kapal Malaysia di Selat Hormuz?

Jawapannya bermula 38 tahun lalu, ketika kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad melakukan tindakan berani.

Tuah Al Qkenji
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kedai buku di bandar raya Tehran mempamerkan biografi hasil karya Dr Mahathir Mohamad yang diterjemahkan ke bahasa Farsi.
Sebuah kedai buku di bandar raya Tehran mempamerkan biografi hasil karya Dr Mahathir Mohamad yang diterjemahkan ke bahasa Farsi.

Dunia hari ini seolah-olah sedang menahan nafas. Di Selat Hormuz, laluan sempit yang menjadi nadi kepada hampir satu pertiga perdagangan minyak dunia, suasana tidak lagi seperti biasa. 

Langit dipenuhi radar, laut dipantau ketat, dan setiap pergerakan kapal kini membawa risiko yang bukan kecil.

Kapal-kapal gergasi dari pelbagai negara mula mengurangkan operasi. Ada yang berpatah balik. Ada yang memilih untuk menunggu. Malah, ada juga yang menjadi mangsa diserang, atau terperangkap dalam ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

Namun, di tengah kekacauan itu, muncul satu fenomena yang cukup luar biasa. Kapal minyak Malaysia dilaporkan terus belayar tanpa gangguan.

Bagi pemerhati geopolitik, ini bukan sekadar berita kecil. Ini adalah satu persoalan besar.

Pada 26 Mac, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa melalui rundingan terus dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, kapal-kapal kita telah diberikan "pelepasan awal".

Kenapa Malaysia? Adakah kerana kekuatan ketenteraan? Adakah kerana pengaruh ekonomi? Atau ada sesuatu yang lebih mendalam daripada itu?

Jawapannya bermula 38 tahun lalu. Untuk memahami apa yang berlaku hari ini, kita perlu kembali ke tahun 1988.

Keratan akhbar mengenai pertemuan Dr Mahathir Mohamad dan Speaker Parlimen Iran, Hashemi Rafsanjani di Kuala Lumpur, 1981.
Keratan akhbar mengenai pertemuan Dr Mahathir Mohamad dan Speaker Parlimen Iran, Hashemi Rafsanjani di Kuala Lumpur, 1981.

Ketika itu, Iran baru sahaja keluar daripada perang panjang yang memusnahkan ekonomi dan infrastrukturnya. Negara itu dipulaukan oleh banyak kuasa besar. 

Rizab kewangan merosot. Bekalan makanan terjejas. Dunia memandang Iran sebagai risiko, bukan rakan.

Kebanyakan negara memilih untuk menjauhkan diri. Tetapi Malaysia membuat pilihan yang berbeza. 

Di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, Malaysia tampil ke hadapan. Bukan dengan syarat yang berat, bukan dengan agenda tersembunyi tetapi dengan satu bentuk bantuan yang sangat asas namun kritikal iaitu makanan.

Malaysia menghantar minyak sawit dalam jumlah besar melalui perjanjian kewangan bilateral (BPA), tanpa bergantung kepada sistem dolar Amerika. Ini bukan sekadar transaksi ekonomi. Ini adalah tindakan berani membantu sebuah negara yang sedang “jatuh” ketika dunia lain memilih untuk tidak peduli. 

Pada ketika itu, mungkin tiada siapa menyangka bahawa tindakan tersebut akan memberi kesan puluhan tahun kemudian.

Minyak sawit lebih daripada komoditi. Minyak sawit Malaysia bukan sekadar eksport. Dalam konteks Iran pada tahun 1988, ia adalah talian hayat. Ia mengisi dapur yang kosong. Ia membantu rakyat yang kelaparan. Ia menjadi simbol bahawa masih ada negara yang sanggup berdiri bersama mereka. 

Dalam dunia politik antarabangsa yang sering didorong oleh kepentingan, tindakan Malaysia ketika itu dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa.

Kini, lebih tiga dekad kemudian, dunia kembali menyaksikan ketegangan besar di rantau Teluk. Selat Hormuz menjadi titik panas. Kawalan diperketat. Risiko serangan meningkat. Setiap kapal yang melalui kawasan ini perlu berdepan dengan kemungkinan terburuk.

Namun Malaysia berada dalam kategori yang berbeza. Laporan menunjukkan bahawa kapal-kapal Malaysia diberikan laluan lebih selamat satu bentuk “keistimewaan” yang tidak dinikmati oleh banyak negara lain. Kenapa?

Kerana bagi Iran, Malaysia bukan sekadar rakan dagang. Malaysia adalah negara yang pernah membantu ketika mereka berada di titik paling lemah. Diplomasi yang berlaku hari ini bukan bermula semalam. Ia dibina di atas asas kepercayaan yang telah ditanam sejak tahun 1980-an.

Tidak hairanlah mengapa Mahathir begitu disanjung tinggi pada zamannya, dihormati oleh kawan mahupun lawan. Suaranya lantang, prinsipnya tegas, dan setiap kenyataannya mampu menggegarkan media-media Barat serta mencorakkan wacana dunia. 

Kini Iran balas budi kepada Malaysia dengan tidak menyekat kapal-kapal Malaysia melalui Selat Hormuz sebagai jasa yang mereka pernah diselamatkan 38 tahun dahulu oleh Malaysia.

Rencana ini pertama kali diterbitkan di Facebook oleh penulis. 

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.