Aktivis gesa lawan kebencian ketika kumpulan pro-Anwar terus buli pelarian walaupun ditegur tokoh pendakwah
Dalam insiden terbaharu, seorang lelaki yang disabitkan jenayah memukul dilihat berkeliaran sambil mengusir pelarian Rohingya dari rumah sewa mereka.
Terkini
Seorang aktivis kebajikan menggesa laporan polis dibuat terhadap individu dan kumpulan yang melakukan ancaman, intimidasi serta gangguan terhadap komuniti pelarian, di tengah-tengah kempen kebencian yang semakin memuncak diterajui sebuah kumpulan penyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, meskipun kegiatan itu ditegur beberapa pendakwah terkemuka kerana bercanggah dengan ajaran Islam.
Salman al-Farisi, seorang aktivis berpangkalan di Pahang yang lantang menentang kempen xenofobia menyasarkan pelarian Islam Rohingya, menegaskan bahawa kegiatan kumpulan yang berkeliaran di bandar-bandar sambil menghina komuniti migran, termasuk mengusir mereka dari rumah sewa, tidak wajar dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan undang-undang.
Salman merujuk kepada insiden terbaharu melibatkan seorang individu yang menggelarkan dirinya “Tok Singa”, yang memuat naik video dia memarahi seorang penduduk Rohingya sambil memberi amaran supaya pelarian tersebut segera mengosongkan rumah yang disewanya.
“Kita mau you keluar ini hari,” kata lelaki itu kepada pelarian tersebut yang dilihat merayu agar diberikan masa kerana tidak mempunyai tempat tinggal lain.
“Lu mana mau pergi lu punya pasal. Ini jiran-jiran semua tak mau lu orang. Kalau tak keluar, hari-hari kita mari kacau,” tambah lelaki tempatan itu dengan nada mengugut.
Semakan mendapati lelaki tersebut pernah disabitkan kesalahan memukul seorang pensyarah sehingga mangsa cacat penglihatan di mata kiri empat tahun lalu.
Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atasnya dan tiga individu lain, namun pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan mereka.
Salman berkata ugutan dan intimidasi merupakan kesalahan jenayah, tidak kira siapa yang melakukannya.
“Tak kisah la anda tok singa atau tok khinzir, tindakan anda adalah satu jenayah,” kata Salman, sambil memetik Seksyen 503 dan 507 Kanun Keseksaan berkenaan jenayah mengugut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Ya, kita boleh berdiam. Tapi rasanya kejahatan ini dah semakin membarah,” tambahnya.
Seruan itu muncul di tengah-tengah gelombang kebencian terhadap etnik Rohingya dan pendatang asing yang disebarkan melalui platform media sosial seperti TikTok dan Facebook, yang kini melarat sehingga mencetuskan beberapa insiden fizikal.
Kempen dalam talian itu diterajui sebuah kumpulan bernama “Surplus”, yang dipimpin seorang individu yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada September, Anwar bersetuju dengan naratif yang melabelkan pelarian Islam Rohingya sebagai golongan yang menimbulkan kekacauan, dengan mendakwa mereka “melanggar kampung, melanggar peraturan, buat perhimpunan haram dan mempertikaikan kedudukan rakyat Malaysia”.
Ia disusuli keputusan Anwar mengubah dasar kerajaan Malaysia selama ini untuk melindungi pelarian Islam Rohingya yang dilucutkan kewarganegaraan oleh junta Myanmar, di samping pengumuman beliau mencapai persetujuan dengan rejim tersebut untuk menghantar pulang ribuan warga Myanmar di bawah apa yang dipanggil sebagai “program penghantaran pulang secara sukarela”.
Pada 8 Oktober, Anwar meraikan Min Aung Hlaing, pemimpin Myanmar yang berdepan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
MalaysiaNow sebelum ini melaporkan bagaimana kumpulan Surplus mengganggu pelarian Rohingya dan melemparkan kata-kata penghinaan, dengan kejadian itu dirakam dan disebarkan dalam talian sebagai “konten”.
Dalam satu insiden baru-baru ini, kumpulan itu mengepung seorang lelaki Rohingya berusia 30 tahun yang melarikan diri dari Myanmar selepas isterinya dibunuh dan kampung halamannya dibakar.
Salah seorang anggota kumpulan itu berkata dalam video yang tular: “Sekarang kita tidak mahu kamu. Kita mahu bunuh kamu. Itu macam kah?”
Teguran pendakwah
Tindakan mereka semakin mendapat tentangan daripada pendakwah dan aktivis Islam terkenal.
Antaranya aktivis Firdaus Wong, yang memberi amaran bahawa kempen kebencian terhadap etnik Rohingya merupakan permulaan kepada jenayah lebih besar.
“Cara kita menyahmanusiakan mereka samalah dengan apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap orang Yahudi. Mereka bermula dengan melucutkan sifat kemanusiaan terlebih dahulu, kemudian mereka mula menghalalkan jenayah yang lebih besar,” kata Wong pada 13 September.
Pandangan serupa disuarakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), badan penaung NGO Islam seluruh negara, yang menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap bahan dalam talian bersifat kebencian yang menyasarkan etnik Rohingya.
“Jangan biarkan algoritma media sosial menentukan siapa yang rakyat Malaysia patut benci,” kata Presiden Mapim, Azmi Abdul Hamid.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya dua pendakwah berpengaruh menegur golongan yang menggerakkan kempen kebencian terhadap pelarian Rohingya.
Pendakwah Indonesia, Abdul Somad, dalam satu program anjuran Anwar, mengingatkan umat Islam mengenai tanggungjawab kemanusiaan dan agama untuk melindungi pelarian.
“Bersikap adillah, itu mendekatkan kepada takwa,” kata Somad, sambil merujuk kisah seorang pelacur yang diampuni dosanya kerana memberi minum kepada seekor anjing.
“Setitis air boleh menghapuskan salahnya. Kalau kepada seekor haiwan yang kotor dinilai sebagai sedekah, apa lagi kepada sesama manusia?”
Begitu juga penceramah Azhar Idrus, yang mengingatkan umat Islam supaya tidak menindas golongan yang sedang dizalimi, sambil mempersoalkan pelbagai peraturan yang melarang pelarian daripada mendapatkan pekerjaan dan pendidikan.
“Mereka tak dibenarkan berniaga. Tak benarkan bekerja. Tak benarkan cari duit. Semua benda kita tak benar. Lepas itu apa yang kita benarkan?
“Tak boleh belajar. Apa yang boleh? Tak boleh bekerja di sini. Di mana yang boleh? Tak boleh jual sini, di mana boleh jual? Tak boleh duduk rumah sini, rumah mana boleh duduk? Mereka bukan binatang,” katanya.
Terbaharu, aktivis pengguna terkenal Nadzim Johan mengingatkan orang ramai agar tidak berlaku zalim terhadap pelarian Rohingya.
“Kalau di sana mereka diseksa, adakah apabila sampai di sini kita pula turut menyeksa mereka?” soal Nadzim, yang merupakan ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
