- Iklan -
Berita

Peguam kecam sikap ‘tidak hormat’ ketua polis KL, tuntut siasatan bunuh kematian Noorizwan

Fadil Marsus diselar selepas mendakwa prosedur polis dipatuhi tanpa memberikan penjelasan mengenai kecederaan mangsa yang disahkan pakar forensik.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Gambar kecederaan Noorizwan Zulkefly didedahkan pada sidang media anjuran Lawyers For Liberty di Petaling Jaya, 7 Oktober 2026.
Gambar kecederaan Noorizwan Zulkefly didedahkan pada sidang media anjuran Lawyers For Liberty di Petaling Jaya, 7 Oktober 2026.

Peguam hari ini mengecam Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berhubung kenyataan yang disifatkan “tidak hormat” terhadap keluarga Noorizwan Zulkefly, lelaki berusia 42 tahun yang mati selepas 10 hari dalam tahanan polis, di mana trauma pada kepala dan kecederaan lain diperincikan dalam laporan forensik.

Mereka berkata Fadil bukan sahaja tidak mengakui mangsa mengalami kecederaan, malah mengeluarkan kenyataan yang “keterlaluan dan tidak boleh diterima” apabila menyifatkan kecederaan Noorizwan sebagai “kecederaan kecil pada seorang penagih dadah” di samping mengungkit rekod tangkapan lampau mangsa.

Menurut mereka, kenyataan itu merupakan cubaan “mengalihkan perhatian daripada kecederaan serius dan meluas yang dialaminya dalam tahanan polis”.

“Ini merupakan satu kenyataan yang keterlaluan dan mengelirukan, kerana pakar patologi telah pun memaklumkan kepada pihak polis mengenai kecederaan yang meluas di seluruh tubuh, termasuk pendarahan menyeluruh di dalam otak,” kata peguam mewakili keluarga Noorizwan, Dina Zamri dan Rania Aljunied, beberapa jam selepas Fadil hadir pada sidang akhbar pertama polis berhubung kes itu sejak keluarga mangsa mendapat tahu mengenai kematian tersebut dua minggu lalu.

“Kecederaan tersebut bukanlah kerana beliau seorang penagih dadah yang terjatuh, tetapi kerana pukulan yang teruk semasa berada dalam tahanan polis.”

Sambil menyatakan Fadil tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa, mereka turut mengingatkan beliau mengenai jaminan hak hidup seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan seorang lelaki yang bersih rekodnya berhak kepada perkara yang sama daripada Negara: bahawa dia keluar dari lokap polis dalam keadaan hidup dan bukannya dipukul sehingga mati.”

Fadil Marsus.
Fadil Marsus.

Terdahulu, Fadil mempertahankan pihak polis dengan mendakwa semua prosedur dipatuhi sepanjang penahanan Noorizwan.

Menurutnya, punca kematian belum dapat disahkan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia.

Beliau turut berkata kes itu disiasat sebagai “kematian mengejut”, walaupun peguam sebelum ini bertegas ia perlu diklasifikasikan sebagai siasatan kes bunuh berdasarkan bukti yang didedahkan.

Pada sidang akhbar yang sama, Fadil mengulangi peringatan yang sering dikeluarkan, iaitu supaya orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kematian itu atau menyebarkan “maklumat yang tidak sahih” yang boleh “mengelirukan”.

Pada 20 September, Noorizwan ditangkap polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di mana dia ditahan di lokap untuk 10 hari berikutnya.

Keluarganya berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau lokasi Noorizwan sepanjang dia berada dalam lokap.

Dalam satu sidang media anjuran kumpulan peguam Lawyers for Liberty pada 7 Oktober, abangnya, Nooranis, berkata pihak keluarga hanya menerima panggilan daripada Bukit Aman kira-kira jam 8 malam pada 1 Oktober, memaklumkan bahawa Noorizwan meninggal dunia dalam tahanan polis pada jam 1.52 pagi hari yang sama, iaitu kira-kira 18 jam sebelumnya, dan mayatnya berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Tonton sidang media LFL pada 7 Oktober 2026.

Peguam N Surendran kemudiannya menuntut penjelasan daripada ketua polis negara dan kerajaan kepada pihak keluarga serta orang ramai.

“Ini tidak boleh diterima di Malaysia pada tahun 2026. Ini adalah salah satu kematian dalam tahanan polis yang terburuk yang pernah saya lihat dalam bertahun-tahun,” katanya, sambil berkata sebarang siasatan polis mesti dikendalikan oleh pasukan bebas peringkat tinggi dari Bukit Aman.

“Pegawai Bukit Aman hadir semasa taklimat forensik”

Dalam kenyataan hari ini, peguam menegaskan keluarga mangsa tidak membuat spekulasi, sebaliknya “berpegang kepada penemuan pakar patologi dan kepada gambar-gambar yang diambil semasa bedah siasat”.

Gambar Noorizwan Zulkefly sebelum ditangkap polis (kiri), serta gambar menunjukkan kesan lebam teruk pada kepala dan kakinya, yang disimpulkan pakar patologi forensik adalah berpunca daripada pukulan teruk.
Gambar Noorizwan Zulkefly sebelum ditangkap polis (kiri), serta gambar menunjukkan kesan lebam teruk pada kepala dan kakinya, yang disimpulkan pakar patologi forensik adalah berpunca daripada pukulan teruk.

Mereka mempersoalkan Fadil kerana langsung tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai “kecederaan yang bersifat kejam yang telah menggemparkan seluruh negara”.

Menurut mereka, kecederaan dialami Noorizwan serta punca kematiannya telah diperincikan oleh seorang pakar patologi kanan di HUKM pada 12 Oktober, dengan kehadiran ahli keluarga, peguam dan dua pegawai polis dari Bukit Aman.

“Pakar patologi kanan tersebut telah memberitahu semua yang hadir bahawa Noorizwan meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul ke kepala. Pakar patologi kanan tersebut telah menghuraikan secara terperinci kecederaan yang mengerikan di seluruh tubuh Noorizwan. Pakar patologi kanan tersebut telah menunjukkan gambar-gambar kesemua kecederaan itu kepada pihak polis dan kami.

“Bagaimana mungkin pihak polis mendakwa bahawa mereka masih belum mengetahui punca kematian dan terus berdiam diri mengenai kecederaan yang meluas itu?” soal mereka.

Mereka turut menolak keputusan menyiasat insiden itu sebagai “kes mati mengejut”.

“Ini sama sekali tidak boleh diterima memandangkan pihak polis sendiri sedar sepenuhnya daripada taklimat pakar patologi, bahawa terdapat kesan kecederaan parah pada tubuh mangsa.

“Sebaik menerima maklumat tersebut, pihak polis sepatutnya dengan serta-merta mengklasifikasikan kes ini sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”

Kenyataan itu juga menuntut Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, supaya segera mengklasifikasikan siasatan kematian Noorizwan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka turut menuntut mana-mana pegawai di IPD Cheras yang terlibat dalam kematian Noorizwan digantung tugas dan ditangkap, serta menggesa ketua polis negara menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman.

Di samping itu, mereka menggesa Fadil dihalang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau terlibat dalam siasatan itu.