Lim Tean, peguam pro-Palestin dari Singapura yang dihantar pulang oleh Malaysia
Lim Tean merupakan sasaran terbaharu dalam siri tindakan rejim PAP terhadap peguam dan pengkritik.
Langkah Malaysia menghantar pulang seorang peguam dan ahli politik pembangkang yang dikehendaki di Singapura kerana gagal menyerah diri untuk memulakan hukuman penjara bukan sahaja dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan negara itu terhadap peguam yang lantang, tetapi juga berlaku di tengah-tengah usaha menutup mulut pengkritik Israel, yang telah menjalinkan hubungan diplomatik dan ketenteraan rapat dengan Singapura.
Minggu lalu, polis Johor menahan Lim Tean, 61, sebelum menyerahkannya kepada Singapura.
Lim disabitkan atas kesalahan mengamalkan undang-undang tanpa sijil amalan yang sah, tuduhan yang kerap dilemparkan oleh rejim PAP terhadap peguam yang lantang.
Lim didakwa mewakili anak guamnya sebanyak 32 kali pada 2021 tanpa sijil sah dan didapati bersalah pada Julai 2024.
Tahun lalu, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam minggu dan denda S$1,000. Hukuman itu kemudiannya ditambah kepada tiga bulan dan satu minggu.
Pada 3 Ogos, polis Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap Lim kerana gagal menyerah diri untuk memulakan hukuman penjara. Beberapa hari selepas itu, beliau ditangkap di Johor.
Lim merupakan seorang pengkritik kerajaan Singapura yang kerap melontarkan dakwaan jenayah terhadap individu yang lantang bersuara melalui pelbagai undang-undang, termasuk Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma). Di samping itu, pemimpin kerajaan juga kerap menang saman fitnah terhadap ahli politik pembangkang, hingga ramai antara mereka diisytiharkan muflis dan kerusi Parlimen mereka dikosongkan.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Lim menaikkan pelbagai kritikan terhadap Israel dan genosida yang dilakukan di Gaza. Menerusi analisisnya, beliau berusaha menyangkal naratif Barat yang diulang oleh media Singapura.
Bulan lalu, Lim memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana enggan tunduk kepada ancaman beberapa ahli Kongres AS yang membantah tindakan pihak berkuasa Malaysia menutup Network School, sebuah pemukiman komuniti digital di Johor yang diasaskan oleh usahawan pro-Zionis dari AS, Balaji Srinivasan.
“Inilah yang saya panggil Prinsip Keabsahan dalam tindakan – kekuatan sesebuah kerajaan tidak diukur dengan sebanyak mana daya yang boleh diunjurkan, tetapi sama ada rakyatnya dan dunia yang lebih luas yakin bahawa ia telah melakukan perkara yang betul,” tulis Lim.
Pandangan Lim mengenai konflik semasa di Timur Tengah juga bercanggah dengan sokongan tersirat pemimpin kerajaan Singapura kepada AS dan Israel dalam perang terhadap Iran.
Pada Jun, beliau menulis panjang lebar tentang konteks permusuhan Barat terhadap Iran selama beberapa dekad, sambil mempersoalkan naratif yang memburuk-burukkan republik Islam itu.
“Setiap hari di platform media sosial saya, saya berdepan jenama kejahilan tertentu yang saya dapati semakin mustahil diabaikan. Iran dianggap sebagai negara gila yang diperintah oleh mullah zaman pertengahan, rakyatnya dikritik sebagai pelampau yang sewenang-wenang melaungkan ‘jahanam Amerika’. Dan daripada karikatur itu wujudlah kesimpulan yang boleh menakutkan sesiapa pun – bahawa kononnya wajar bagi Amerika, Israel, atau mana-mana negara lain untuk mengebom Iran, membunuh rakyatnya, dan memusnahkan infrastrukturnya,” tulisnya.
Pemimpin Singapura tidak menyembunyikan pendirian mereka mengenai perang ke atas Iran.
April lalu, Menteri Luar Vivian Balakrishnan dituduh bersikap hipokrit kerana menyifatkan keputusan Iran membataskan laluan kapal di Selat Hormuz sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, pihak berkuasa Singapura telah mendakwa mereka yang melakukan bantahan terhadap Israel, di samping menghalang sebarang kenyataan yang meluahkan simpati kepada rakyat Palestin.
Ia sekali lagi ditonjolkan apabila kumpulan Massive Attack dari Britain diharamkan daripada membuat persembahan di Singapura selepas anggotanya mengibarkan bendera Palestin ketika konsert pada 29 Julai.
Pendirian Singapura mengenai perang di Timur Tengah mengembalikan perbincangan mengenai persamaan antara Singapura dan Israel, di mana kedua-dua entiti kecil itu bukan sahaja bersekutu dengan Washington, tetapi juga wujud di tengah-tengah lautan umat Islam yang besar.
Diapit antara jiran Indonesia dan Malaysia, kedua-duanya dengan populasi umat Islam yang lantang menentang Israel, Singapura merupakan antara segelintir negara yang mempunyai hubungan ketenteraan dan diplomatik rapat dengan Israel. Antara 2018 dan 2022, ia mengimport senjata bernilai AS$73 juta dari Israel.
Singapura turut mencontohi sistem keselamatan dan pertahanan Israel, termasuk melaksanakan latihan ketenteraan wajib untuk setiap warganegara.
Sementara itu, ketika Lim menjadi seorang lagi peguam yang dipenjarakan, tentera siber upahan kerajaan dilihat aktif menangkis kritikan yang membelanya.
Antaranya ialah Foong Swee Fong, yang berkata tuduhan bahawa Lim gagal memiliki sijil amalan undang-undang hanyalah percubaan menutup pelbagai isu lain.
“Cara dia dilayan seolah-olah dia melakukan jenayah yang sangat berat, iaitu mengkhianati negara dan rakyat Singapura. Hakikatnya, dia mempertahankan mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan dan telah dijatuhkan,” tulis Foong.
“Apakah tidak terdetik oleh kerajaan untuk menghormati orang yang tidak bersetuju dengan mereka, sebaliknya menutup mulut mereka, menyisihkan mereka dan menjatuhkan mereka?”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
