- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Badan hak asasi global bidas penahanan aktivis, peguam beri amaran Amla jadi senjata serang pengkritik kerajaan

Mereka berkata perkembangan itu berlaku selepas kempen memburuk-burukkan Amir Hadi dan Dobby Chew, disusuli gesaan pembantu perdana menteri.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Poster menyatakan solidariti terhadap Amir Hadi dan Dobby Chew, aktivis yang dituduh dengan pengubahan wang haram susulan kempen memburuk-burukkan mereka yang turut diulangi seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Poster menyatakan solidariti terhadap Amir Hadi dan Dobby Chew, aktivis yang dituduh dengan pengubahan wang haram susulan kempen memburuk-burukkan mereka yang turut diulangi seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gabungan antarabangsa yang mewakili ribuan pertubuhan masyarakat sivil di 175 negara menyertai beberapa badan hak asasi utama untuk menggesa Putrajaya membebaskan Amir Hadi dan Dobby Chew, sambil memberi amaran undang-undang antipengubahan wang haram yang bertujuan memerangi rasuah kini disasarkan terhadap aktivis seperti mereka.

Dalam kenyataan bersama, World Alliance for Citizen Participation (Civicus) dan beberapa pertubuhan lain berkata penangkapan kedua-dua individu itu dilakukan tanpa “justifikasi yang jelas dan sah”.

Mereka turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terhadap gerakan belia Mandiri dan kumpulan anti-hukuman mati Hayat – dua pertubuhan yang masing-masing diterajui Amir dan Chew.

“Penangkapan dan penahanan mereka, serta langkah-langkah sekatan lain, nampaknya dilaksanakan tanpa proses wajar dan mewujudkan kesan membimbangkan terhadap usaha pejuang hak asasi serta pertubuhan masyarakat sivil di Malaysia,” menurut kenyataan dikeluarkan Civicus, Amnesty International, Forum-Asia, Front Line Defenders dan Human Rights Watch.

Sejak beberapa minggu, pihak berkuasa menyasarkan Mandiri dan Hayat, dengan serbuan polis di pejabat mereka di Petaling Jaya pada 18 September.

Bagaimanapun, tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai skop siasatan, selain menyatakan wujudnya “wang yang disyaki”.

Pada 22 September, Amir dan Chew ditahan apabila hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebelum dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari dan memakai baju-T oren, walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan amalan itu akan dihentikan.

Kedua-dua mereka dikenakan perintah reman selama tiga hari bagi tujuan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Kamil Munim (kiri), setiausaha politik Anwar Ibrahim.
Kamil Munim (kiri), setiausaha politik Anwar Ibrahim.

Gesaan setpol PM

Sebelum ditahan, Amir dan Chew dikenakan sekatan perjalanan, manakala akaun bank peribadi mereka serta akaun milik Mandiri dan Hayat dibekukan tanpa sebarang penjelasan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, lima kumpulan hak asasi itu berkata Mandiri turut menjadi sasaran serangan Pejabat Perdana Menteri serta kempen memburuk-burukkan pertubuhan itu pada Mei, di mana hantaran media sosial menuduhnya menerima dana asing untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Setiausaha politik perdana menteri, Kamil Munim, kemudian meningkatkan tekanan dengan menggesa siasatan dijalankan di bawah Amla, dakwaan yang kemudiannya mengundang saman fitnah daripada Mandiri.

“Pertubuhan masyarakat sivil seharusnya bebas untuk menerima dan menggunakan dana yang sah, serta bebas untuk menganjurkan aktiviti, melakukan advokasi dan terlibat dalam perbahasan awam tanpa sebarang intimidasi atau campur tangan yang tidak wajar oleh kerajaan,” tambah kenyataan itu.

Dakwaan samar

Sementara itu, kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) menyelar amalan berterusan membawa individu yang sedang disiasat seperti penjenayah yang sudah disabitkan.

“Amir Hadi dan Dobby Chew dibawa ke Mahkamah Reman Jinjang dalam keadaan berkaki ayam, bergari dan memakai baju-T lokap berwarna oren. Adakah ini layanan yang adil terhadap aktivis masyarakat sivil?” soal Pengarah LFL, Rania Aljunied.

“Anwar Ibrahim sendiri pernah menerima layanan sama ketika beliau dalam blok pembangkang tidak lama dahulu. Adakah ini layanan yang beliau mahu kenakan terhadap aktivis, sedangkan beliau pernah berada dalam situasi yang sama seperti mereka?”

Menurut LFL, Seksyen 4(1) Amla yang digunakan terhadap kedua-duanya, iaitu kesalahan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, tidak wujud secara terasing.

“Pihak polis mesti terlebih dahulu membuktikan kewujudan kesalahan asas, iaitu aktiviti menyalahi undang-undang yang dikatakan menghasilkan dana itu. Tanpa kesalahan asas, maka tidak berlakulah ‘aktiviti menyalahi undang-undang’, dan tanpa aktiviti menyalahi undang-undang, tidak mungkin wujud ‘dana’ daripadanya,” kata Rania, sambil menambah kerajaan dan polis tidak pernah menyatakan dengan jelas apakah kesalahan asas tersebut.

“Sebaliknya, apa yang kita lihat hanyalah tuduhan samar-samar yang membayangkan bahawa dana berkenaan adalah ‘wang yang disyaki’.”

Menurutnya, tindakan menangkap mereka tanpa menyatakan kesalahan sebenar menunjukkan undang-undang Amla “dijadikan senjata, bukannya dikuatkuasakan secara wajar”.

“Kalau itulah caranya, sebahagian besar rakyat Malaysia yang pernah menerima atau memindahkan dana dari luar negara boleh diganggu dan disiasat dengan cara yang sama,” kata LFL.

“Perlu diingat bahawa anggota kerajaan ini sendiri – tidak sampai sedekad yang lalu – pernah menjadi sasaran siasatan, pembekuan dan sekatan yang sama seperti yang kini mereka kenakan terhadap pihak lain.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.