- Iklan -
Berita

Bot xenofobia sasar kanak-kanak migran di sekolah, video kekal tidak diturunkan

Ia menandakan trend membimbangkan dalam kempen menyasarkan pendatang dan pelarian berlandaskan maklumat palsu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kempen dalam talian yang dipacu bot bukan sahaja menyasarkan pelarian Rohingya tetapi kini beralih kepada kanak-kanak yang bersekolah dengan alasan mereka bukan warganegara Malaysia.
Kempen dalam talian yang dipacu bot bukan sahaja menyasarkan pelarian Rohingya tetapi kini beralih kepada kanak-kanak yang bersekolah dengan alasan mereka bukan warganegara Malaysia.

Video yang menyasarkan kanak-kanak pelarian yang menimba ilmu di sekolah-sekolah tempatan kini muncul di TikTok dan platform media sosial lain, tanpa sebarang isyarat akan dipadamkan pihak berkuasa meskipun terdapat pelanggaran jelas berkaitan golongan bawah umur, tindakan membuli dan menyebar kebencian.

Ia menandakan kempen dalam talian yang semakin lantang oleh pengguna platform yang merahsiakan nama mereka sambil menggunakan bot – sejenis akaun automatik menyerupai pengguna tulen yang membolehkan perkongsian berulang yang menarik pengikut ramai – untuk melancarkan serangan terhadap pelarian Rohingya dan komuniti migran lain di Malaysia.

Walaupun sesetengah pihak dalam kerajaan mengingatkan orang ramai supaya tidak bersikap xenofobia, kempen dalam talian itu dilihat mendapat persetujuan tersirat di kalangan sebahagian ahli politik Malaysia, dan tekanan yang ditunjukkan itu mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan keras terhadap pelarian.

Bulan lalu, lebih 100 penduduk Rohingya yang memohon suaka, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, ditahan pihak imigresen ketika mereka berkumpul di luar pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian, atau UNHCR, di Kuala Lumpur.

Kumpulan itu merupakan antara yang menjadi mangsa kempen yang semakin meningkat di TikTok, selepas dihalau keluar dari kediaman mereka di Pulau Pinang dan terpaksa beralih kepada UNHCR supaya ditempatkan semula.

Apa yang lebih membimbangkan ialah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat peningkatan kandungan dalam talian yang menyasarkan kanak-kanak migran yang menghadiri sekolah, walaupun kerajaan sebelum ini mengiktiraf hak asasi mereka untuk mendapatkan pendidikan.

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad melaksanakan inisiatif "Dasar Sifar Penolakan" yang membenarkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, tanpa dokumen serta pelarian mendapatkan pendidikan peringkat rendah di sekolah awam.

Walaupun dasar itu ada kekurangan, langkah itu disambut baik oleh kumpulan hak asasi.

Kini, dengan suara-suara yang cuba mempersoalkan kehadiran kanak-kanak migran di sekolah, terdapat kebimbangan kerajaan mungkin akan menafikan hak asasi tersebut.

"Kerajaan perlu diingatkan bahawa ia tidak boleh mentadbir berdasarkan persetujuan orang ramai yang diada-adakan, yang timbul daripada kejahilan mengenai hak asasi manusia dan sikap xenophobia," kata seorang aktivis yang terlibat membantu kanak-kanak migran selama beberapa dekad.

Kebanyakan kempen anti-Rohingya, terutamanya di TikTok, yang mana klip pendek yang dipacu algoritma kerap membawa maklumat salah dan kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI), adalah mengelirukan dan dimuat naik semata-mata untuk mendorong orang ramai menyerang umat Islam yang melarikan diri dari kampung mereka di Arakan selepas dimusnahkan tentera Myanmar.

Pelbagai komen juga terang-terangan menghasut keganasan terhadap Rohingya dan pendatang lain.

Namun, kandungan seumpama itu jarang diturunkan atau disekat, sama ada oleh sistem tapisan platform media sosial itu sendiri, atau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak berkuasa internet yang selama ini mengenakan sekatan terhadap akaun media sosial yang menurutnya melanggar undang-undang mengenai buli, penipuan siber, kebencian dalam talian dan kritikan terhadap institusi diraja.

MalaysiaNow telah menghubungi SKMM untuk mendapatkan respons mengenai video xenophobia yang menyasarkan kanak-kanak migran di sekolah.

Dalam satu eksperimen, MalaysiaNow cuba membuat aduan berhubung sebuah klip TikTok yang menampilkan sekumoulan kanak-kanak di sebuah kawasan perumahan.

Ia menunjukkan mereka mengelilingi seorang penjual aiskrim yang dipercayai bukan warganegara, sambil berulang kali menuduhnya tidak menjaga kebersihan dan menyuruhnya meninggalkan kawasan itu.

Pada 3 Julai, TikTok dalam jawapannya berkata ia tidak menemui sebarang pelanggaran dasar dalam video itu. Bagaimana kandungan itu akhirnya didapati telah diturunkan.

Beberapa video lain pula mendakwa kononnya kebanjiran penduduk Rohingya di beberapa kawasan di Selangor, dakwaan yang ditolak oleh Menteri Besar Amirudin Shari baru-baru ini selepas siasatan pihak berkuasa.

Kempen kebencian anti-Rohingya telah dikecam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia negara (Suhakam).

"Penyebaran komen berunsur penghinaan dan naratif kebencian yang menyasarkan pelarian Rohingya dalam meraikan sambutan keagamaan amat membimbangkan dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang semakin buruk dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan Suhakam pada 3 Jun.

Badan itu berkata nasib yang menimpa masyarakat Rohingya adalah tergolong dalam kategori genosid, seperti juga nasib rakyat Palestin yang mendapat pembelaan rakyat Malaysia.

"Masyarakat antarabangsa telah mengecam kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam di Gaza. Komitmen yang sama terhadap maruah manusia dan keadilan juga perlu diberikan kepada semua golongan yang berdepan penindasan, termasuk masyarakat Rohingya yang telah melalui puluhan tahun diskriminasi secara sistematik, ketiadaan kewarganegaraan, pemindahan secara paksa dan pelbagai kekejaman besar-besaran di Myanmar."