- Iklan -
Berita

Kapal tentera AS berlabuh di Butterworth untuk 'tujuan logistik', dipercayai dalam perjalanan sertai perang terhadap Iran

Kehadiran dua kapal itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian kerajaan dalam perang yang dilancarkan AS-Israel terhadap Iran.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar dua kapal tempur AS berlabuh di Butterworth pada 15 Mac 2026 (kanan), seperti yang dirakamkan pemerhati penerbangan Sherwynd Kessler (kiri). Gambar: Instagram aerokessler dan Penang Art District.
Gambar dua kapal tempur AS berlabuh di Butterworth pada 15 Mac 2026 (kanan), seperti yang dirakamkan pemerhati penerbangan Sherwynd Kessler (kiri). Gambar: Instagram aerokessler dan Penang Art District.

Ketika Presiden Donald Trump terus membidas sekutu Washington kerana enggan menyertai Amerika Syarikat dan Israel dalam perang terhadap Iran, kehadiran dua kapal tempur AS di Malaysia baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai pendirian Putrajaya dalam konflik yang kini memasuki minggu ketiga.

Pada Ahad, seorang jurugambar Pulau Pinang, Sherwynd Kessler, menerbitkan gambar dua kapal tempur pesisir (LCS) – USS Tulsa dan USS Santa Barbara – sedang berlabuh di Terminal Kontena Butterworth Utara, kira-kira 5,600 km dari Teluk Parsi.

Kedua-dua kapal itu merupakan aset tentera laut AS dan pernah dikerah menjalankan operasi menghapus periuk api di Teluk Parsi sebelum perang.

Seorang jurucakap tentera laut AS mengesahkan kepada CNN tentang kehadiran kedua-dua kapal itu di Pulau Pinang, sambil menyifatkannya sebagai "singgahan logistik ringkas".

“Tentera AS sering berlabuh di Malaysia sebagai sebahagian daripada operasi kami, menandakan kerjasama ketenteraan yang erat dan berpanjangan antara Amerika Syarikat dan Malaysia,” katanya kepada CNN, namun enggan mengulas mengenai operasi yang bakal ditugaskan kepada kedua-dua kapal tersebut.

Trump_Anwar_261025Walaupun bukan sesuatu yang luar biasa bagi kapal perang AS berhenti di pelabuhan Malaysia, kali ini ia menimbulkan persoalan mengenai pendirian pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam perang AS-Israel terhadap Iran.

Beberapa hari selepas Anwar menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) bersama Trump pada Oktober lalu, Putrajaya memeterai memorandum persefahaman dengan Pentagon mengenai kerjasama pertahanan, di samping rancangan mengadakan perjanjian dua hala mengenai komunikasi dan perkongsian maklumat.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya dari AS, Pete Hegseth, di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin bersama rakan sejawatnya dari AS, Pete Hegseth, di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

Ia diikuti dengan jemputan melawat Pentagon kepada Menteri Pertahanan Khaled Nordin daripada rakan sejawatnya Pete Hegseth, antara watak utama kempen pengeboman AS-Israel ke atas Iran yang telah mencetuskan konflik serantau yang meragut beribu-ribu nyawa orang awam, dan lebih tiga juta penduduk di seluruh Timur Tengah kehilangan tempat tinggal.

Terdapat kebimbangan bahawa sebarang penglibatan Malaysia, walaupun dari jauh, boleh ditafsirkan Tehran sebagai tindakan membantu musuhnya, sesuatu yang boleh mengancam kepentingan di Timur Tengah memandangkan amaran Iran untuk menyasarkan mereka yang bersekongkol dalam kempen AS-Israel.

Serangan peluru berpandu dan dron menyasarkan sekutu Washington, termasuk UAE, Arab Saudi, Qatar dan Bahrain, setakat ini mengganggu aktiviti perdagangan dan penerbangan di rantau itu, seterusnya melumpuhkan ekonomi negara Teluk.

Semalam, Ketua Keselamatan Iran, Ali Larijani, mempersoalkan kerajaan negara Islam yang berdiam diri susulan serangan AS-Israel terhadap Tehran.

"Konfrontasi hari ini, pada hakikatnya, adalah antara Amerika dan Israel di satu pihak, dan Iran yang beragama Islam serta pasukan pembebasan di pihak yang lain. Maka anda berada di pihak yang mana?” katanya.

Kapal tempur kemungkinan besar menuju ke Teluk

Sementara itu, Kessler, pemerhati penerbangan yang mengesan kehadiran dua kapal tempur itu, dipetik CNN sebagai berkata bahawa beliau belum pernah melihat kapal-kapal itu berlabuh di situ sebelum ini.

Dalam catatan Instagramnya, Kessler berkata kapal-kapal itu masing-masing ditempatkan di Bahrain dan Jepun, dan dibina "untuk menjalankan misi yang merangkumi langkah menghapus periuk api, peperangan permukaan dan rondaan keselamatan maritim".

Menurut CNN, AS sebelum ini mengumumkan akan mula menggunakan kapal LCS bagi menggantikan empat kapal penghapus periuk api di Teluk Parsi yang telah dihentikan operasinya tahun lalu.

Ini bermakna kemungkinan besar kedua-dua kapal itu sedang dalam perjalanan menyertai armada AS di Teluk, di mana kapal-kapal yang membawa kargo minyak kepada AS dan sekutunya kini tidak dapat meneruskan pelayaran selepas Iran mengetatkan pertahanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sibuk yang membawa kira-kira 20% minyak mentah keluar dari Timur Tengah ke dunia.

Sekatan Iran itu menjadi punca harga minyak dunia melonjak sejak minggu lalu, dengan pengguna di AS dan Eropah kini dibebankan dengan harga petrol dan diesel tertinggi sejak tercetusnya perang Ukraine pada 2022.

AS sebelum ini berkata Iran telah memasang periuk api di sepanjang Selat Hormuz, dan Trump hari ini membidas negara anggota Nato dan sekutu Barat kerana enggan menyertai AS untuk menyekat Iran di laluan penting itu.