'Mengapa terburu-buru?' Anwar tolak desakan batal perjanjian AS selepas tarif Trump diisytihar haram
Pendirian itu di sebalik ancaman terkini Presiden Donald Trump terhadap mana-mana negara yang merancang membatalkan perjanjian dagang dengan AS.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak desakan supaya menarik diri daripada Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani dengan Washington pada Oktober lalu, walaupun Mahkamah Agung Amerika Syarikat baru-baru ini mengisytiharkan langkah Presiden Donald Trump mengenakan tarif sebagai tidak sah.
Pendirian itu diambil ketika Trump mengeluarkan amaran baharu kepada negara yang mahu membatalkan perjanjian perdagangan mereka dengan AS, dengan mengancam akan mengenakan tarif lebih tinggi.
Berucap di Dewan Rakyat, Anwar berkata beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat, iaitu sikap yang berbeza daripada tindakan beberapa negara lain, termasuk Kesatuan Eropah dan India, yang sebelum ini mengumumkan untuk menggantung atau menangguhkan rancangan memuktamadkan perjanjian dengan Washington.
Anwar menganggap keputusan muktamad mengenai penguatkuasaan tarif terletak pada Kongres AS meskipun keputusan mahkamah tertinggi negara itu, sambil menambah beliau tidak akan bertindak "terburu-buru" dalam perkara tersebut.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, mengingatkan Anwar tentang konsep pengasingan kuasa yang diamalkan di AS, sambil menambah keputusan Mahkamah Agung itu dengan jelas menyatakan langkah Trump mengenakan tarif di seluruh dunia adalah tidak sah.
"Di Malaysia, kita ada undang-undang kontrak. Dalam undang-undang kontrak Malaysia yang dibuat oleh Parlimen ini, apabila perjanjian itu tidak sah dari segi undang-undang, maka ia dianggap tidak sah secara semula jadi," kata ahli Parlimen PKR itu, antara yang paling lantang mengkritik perjanjian perdagangan tersebut yang disifatkannya "menggadai kedaulatan" kerana komitmen Malaysia menawarkan pelbagai konsesi kepada AS yang mencecah nilai RM1 trilion.
Hassan mencabar Anwar dan kerajaan supaya menamatkan perjanjian itu untuk menyelamatkan negara.
Dalam jawapannya, Anwar berkata kerajaan tidak akan bertindak "terburu-buru", mengulangi pendiriannya bahawa isu itu masih belum muktamad walaupun dengan keputusan mahkamah tertinggi AS.
"Mengapa kita nak terburu-buru? Kerana Mahkamah Agung Amerika putuskan tiga hari lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung? Saya tidak setuju," katanya.
"Kerana apa pun keputusan kita buat hari ini, mungkin boleh macam bunyi gegak gempita, hebat. Tetapi apa risikonya kepada ekonomi negara?"
Penasihat DAP, Lim Guan Eng, pula bangun memuji cara China berdepan tarif AS, sambil berkata Beijing "berani melawan pembuli".
"Pendekatan ke depan, adakah kita tidak akan menandatangani sebarang persetujuan dengan AS kerana keadaan yang amat kabur sekarang?
"Dan adakah Malaysia akan mengambil pendekatan di mana kita tidak akan dibuli atau ditekan dan dihimpit oleh taktik-taktik yang kurang munasabah oleh AS?" soal Lim.
Anwar berkata keputusan tarif oleh Mahkamah Agung AS lebih ditujukan kepada kebimbangan syarikat di negara itu, sambil menambah ia tidak memberikan kesan besar kepada syarikat Malaysia.
Lebih 300 laporan polis
Dalam keputusan majoriti 6-3 pada Jumaat, Mahkamah Agung AS mendapati Trump telah melanggar undang-undang persekutuan apabila menggunakan kuasa daruratnya untuk secara unilateral mengenakan tarif di seluruh dunia.
Susulan itu, Trump menyerang barisan hakim, malah sekali lagi menggunakan kuasa darurat yang sama untuk memperkenalkan tarif baharu 15% ke atas semua rakan dagang.
Kes yang dibicarakan mahkamah itu berkisar cukai import diumumkan Trump tahun lalu ke atas barangan dari hampir setiap negara yang menjadi rakan dagangnya.
Trump kemudian menawarkan akan menurunkan kadar tarif sekiranya negara-negara terbabit bersetuju menandatangani perjanjian dagang yang berat sebelah dan menguntungkan Washington, sama seperti yang ditandatangani Anwar.
Anwar sebelum ini tegas mempertahankan perjanjian tersebut sebagai kaedah memujuk Washington mengurangkan tarif perdagangan Trump, daripada 25% yang diumumkan tahun lalu kepada 19%, susulan persetujuan Malaysia untuk memberikan pelbagai konsesi.
Butiran perjanjian AS-Malaysia itu hanya diketahui umum selepas ia diterbitkan di laman web rasmi White House beberapa jam selepas ditandatangani Anwar dan Trump ketika hadir di Sidang Kemuncak Asean pada 26 Oktober.
Pelbagai pihak menyifatkan perjanjian itu sebagai sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, di mana seorang pakar ekonomi tempatan menggelarnya "langkah ke belakang yang mengejutkan" yang menyerahkan autonomi perdagangan Malaysia "sebagai pertukaran mendapatkan konsesi yang tidak seberapa".
Pelbagai pihak menyifatkan perjanjian itu sebagai sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, dengan seorang pakar ekonomi tempatan menggelarnya sebagai "langkah ke belakang yang mengejutkan" yang menyerahkan autonomi perdagangan Malaysia "sebagai pertukaran mendapatkan konsesi yang tidak seberapa".
Mereka berkata perjanjian itu sarat dengan klausa yang mewajibkan Malaysia mematuhi kepentingan geopolitik AS, selain syarat yang berat sebelah dan menguntungkan ekonomi Washington.
Perjanjian tersebut mencetuskan lebih 300 laporan polis di seluruh negara, termasuk yang difailkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2 Disember, yang menggesa pihak berkuasa menyiasat Anwar dan semua yang terlibat dalam rundingan sehingga menyebabkan sabotaj ekonomi dan menjejaskan kedaulatan negara.
Antara yang membantah keras perjanjian itu termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang baru-baru ini mengulangi gesaan supaya Putrajaya membatalkan perjanjian tersebut.
Thomas turut menyelar semua pihak yang terlibat dalam rundingan berkenaan perjanjian itu – dari Pejabat Perdana Menteri hingga Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".
"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar sejurus selepas menandatangani perjanjian itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
