Albert Tei sekali lagi ingatkan Anwar, Azam: Saya tidak akan berputus asa
Ahli perniagaan di sebalik skandal rasuah melibatkan Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan saman terhadap SPRM kerana memaksanya memakai baju lokap walaupun belum disabitkan.
Terkini
Ahli perniagaan Albert Tei sekali lagi memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa tiada apa yang akan menghalangnya daripada terus mendedahkan salah laku dan rasuah dalam pentadbiran, pada masa sama memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan kerana memaksanya memakai baju lokap berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah untuk direman selepas penangkapan penuh drama November lalu.
"Saya ingin menegaskan di sini, dan ingin memberitahu Anwar Ibrahim dan (ketua pesuruhjaya SPRM) Azam Baki, mereka telah memandang remeh terhadap kesungguhan, keazaman dan ketegasan saya dalam perjuangan ini. Saya tidak akan sama sekali berputus asa," katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri sebutan kesnya bersama peguam N Surendran dan Mahajoth Singh.
"Saya adalah mangsa yang dianiaya dalam perkara ini. Saya adalah pengadu yang mendedahkan pelbagai skandal melibatkan orang berprofil tinggi," kata Tei.
Tei mula dikenali sejak akhir tahun 2024 apabila mendedahkan beberapa klip video yang dirakam secara rahsia menunjukkan ahli politik pemerintah Sabah yang membuat pengakuan menerima rasuah sebagai sogokan mendapatkan lesen mineral.
November lalu, beliau membuat kejutan pendedahan melibatkan Pejabat Perdana Menteri, diikuti dengan tindakan SPRM mengerah sepasukan pegawai lengkap bersenjata untuk menyerbu rumahnya.
Pada 25 November, Tei mendedahkan beberapa bukti dalam bentuk perbualan WhatsApp, resit transaksi serta tunai pembelian hadiah yang diberikan kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin, setiausaha politik Anwar yang meletak jawatan pada hari sama.
Pendedahan itu disertakan dengan rakaman video perbualan Tei dengan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang dikenal pasti olehnya sebagai proksi Shamsul.
Dalam klip tersebut, Sofia berkata rancangan supaya Tei merakam secara rahsia ahli politik Sabah merupakan ilham Shamsul dan Anwar, sambil menambah bahawa Azam turut mengetahuinya.
Pada 28 November, sepasukan pegawai SPRM menahan Tei selepas serbuan penuh drama di rumahnya di Puchong, di mana beliau berkata senjata diacukan ke arahnya dan isterinya.
Beberapa hari kemudian, Tei dan Shamsul dibawa ke mahkamah untuk urusan reman sambil berpakaian baju lokap oren SPRM, amalan yang diberhentikan pada 2019 oleh ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya.
Pada 4 Disember, Tei dan Shamsul didakwa dengan empat pertuduhan memberi dan menerima suapan bernilai RM176,829.03.
Sementara itu, peguam Tei, Surendran, berkata objektif utama saman yang difailkan oleh Tei adalah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa SPRM bertindak secara tidak berperlembagaan apabila memaksanya memakai baju lokap oren.
"Isu gantirugi itu nombor dua. Yang penting ialah, cabaran mahkamah ini adalah untuk semua rakyat biasa. Kita tak nak siapa pun dianiayai, walaupun tidak disabitkan tetapi dimalukan di dunia," katanya.
Tei berkata tuduhan terhadapnya merupakan isyarat kerajaan kepada semua rakyat Malaysia supaya "jangan cuba kacau rantaian rasuah mereka".
"(Mesej kerajaan ialah) Jangan cuba menjadi hero. Tetapi dari hari pertama, saya tidak mahu menjadi hero. Identiti saya dari hari pertama adalah pemberi maklumat, tidak sama sekali saya menunjukkan muka saya, tetapi saya ditolak oleh penguatkuasa sehingga saya tampil di mahkamah menunjukkan muka saya. Dulu saya pakai topeng. Saya tak mahu jadi terkenal."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.