- Iklan -
Luar Sana

Erdogan gesa bentuk perlembagaan baru yang lebih inklusif

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata gesaan itu ditujukan kepada sesiapa sahaja yang mahukan perlembagaan yang benar-benar bersifat kebangsaan, tempatan, sivil dan berwawasan

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. Gambar: Reuters

Kejayaan perlembagaan yang diterima pakai oleh Turkiye bergantung kepada keterangkuman terhadap setiap parti politik dan sektor masyarakat, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan di sidang Parlimen pada Ahad.

Pada sidang itu beliau turut mengulangi keperluan untuk menyusun perlembagaan baharu.

"Gesaan itu ditujukan kepada sesiapa sahaja yang mahukan perlembagaan yang benar-benar bersifat kebangsaan, tempatan, sivil dan berwawasan, bukannya satu plot rampasan kuasa," katanya.

Beliau berkata negara kini memerlukan piagam baharu bagi menggantikan Perlembagaan 1982 yang digubal selepas kudeta. 

Erdogan berkata Turkiye berhak mendapat perlembagaan untuk mencerahkan dan memperluas horizonnya dan perlembagaan baharu itu bakal lebih terbuka dalam berkompromi berdasarkan nilai asas sambil menghormati garisan merah negara.

"Kami percaya bahawa keadaan negara kita hari ini sesuai untuk kali pertama menyediakan sebuah perlembagaan dalam sistem demokrasi yang berfungsi secara semula jadi dan menyerahkannya untuk kelulusan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata referendum mungkin diadakan, lapor Agensi Anadolu.

Perlembagaan baharu boleh meneliti untuk menambah baik sistem presiden Turkiye yang diluluskan dalam referendum 2017, katanya.

“Dengan perlembagaan baharu, sekali gus kita akan mempunyai peluang untuk mengakhiri perdebatan mengenai sistem pentadbiran,” tambah Erdogan.