- Iklan -
Luar Sana

Gempa kuat bermagnitud 7.0 gegar Laut Bali

Bagaimanapun, tiada amaran ancaman tsunami dikeluarkan setakat ini.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan peluncur muda Indonesia bermain selepas pelajaran luncur air mereka di Lombok, Indonesia 12 Oktober 2019. Gambar: Reuters
Sekumpulan peluncur muda Indonesia bermain selepas pelajaran luncur air mereka di Lombok, Indonesia 12 Oktober 2019. Gambar: Reuters

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.0 melanda kawasan laut dalam ke utara pulau Bali dan Lombok di Indonesia awal pagi tadi, menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterania (EMSC), menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa meninggalkan premis masing-masing.

Pusat gempa adalah 203 km (126 batu) ke utara Mataram, Indonesia, dan sangat dalam iaitu pada 516 km di bawah permukaan bumi, kata EMSC. 

Sementara itu, agensi geologi Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) merekodkan gegaran pada magnitud 7.1, tanpa ancaman tsunami. 

Gempa itu dirasai sejurus sebelum jam 4 pagi waktu tempatan merentasi kawasan pantai di Bali dan Lombok serta disusuli dua gempa bumi masing-masing bermagnitud 6.1 dan 6.5, menurut agensi geologi Indonesia.

Para tetamu di Mercure Kuta Bali berlari keluar dari bilik masing-masing selepas terasa gegaran selama beberapa saat, kata pengurus hotel Suadi kepada Reuters menerusi panggilan telefon. 

"Beberapa tetamu meninggalkan bilik mereka tetapi masih berada di kawasan hotel," katanya, sambil menambah kesemuanya telah kembali ke bilik masing-masing dan tiada kerosakan pada bangunan itu.

Menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB),  tiada laporan mengenai kerosakan diterima setakat ini.

"Gempa itu terlalu dalam jadi tidak banyak kesan gegaran dijangka," kata jurucakap BNPB Abdul Muhari.