- Iklan -
Luar Sana

Lubnan haram tayangan filem 'Barbie' kerana 'promosi hubungan sejenis’

Menterinya Mohammad Mortada berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati filem berkenaan 'mempromosikan hubungan sejenis dan transformasi seksual' dan 'bercanggah dengan nilai iman dan moral' dengan mengurangkan kepentingan berkeluarga.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
America Ferrera, Margot Robbie dan Ryan Gosling menghadiri tayangan perdana 'Barbie' Eropah di London, Britain 12 Julai. Gambar: Reuters
America Ferrera, Margot Robbie dan Ryan Gosling menghadiri tayangan perdana 'Barbie' Eropah di London, Britain 12 Julai. Gambar: Reuters

Kementerian Kebudayaan Lubnan bertindak mengharamkan tayangan filem "Barbie" di seluruh pawagam negara itu berkuat kuasa semalam, sambil berkata ia "menggalakkan hubungan sejenis" dan bercanggah dengan nilai agama.

Menterinya Mohammad Mortada berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati filem berkenaan "mempromosikan hubungan sejenis dan transformasi seksual" dan "bercanggah dengan nilai iman dan moral" dengan mengurangkan kepentingan berkeluarga. 

Susulan langkah Mortada itu, Menteri Dalam Negeri Bassam Mawlawi seterusnya meminta jawatankuasa penapisan Keselamatan Am, yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri dan secara tradisinya bertanggungjawab terhadap keputusan penapisan, untuk menyemak filem itu dan memberikan cadangannya. 

Kuwait kemudiannya mengikut jejak Lubnan, mengatakan ia telah mengharamkan "Barbie" dan filem seram "Talk to Me" bagi melindungi "etika awam dan tradisi sosial", kata agensi berita negara itu.

Lubnan sebelum ini menjadi negara Arab pertama menganjurkan minggu kebanggaan gay pada 2017 dan secara amnya dilihat sebagai tempat selamat bagi komuniti LGBT yang konservatif di Timur Tengah. 

Namun isu itu telah menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini, sehingga mencetuskan ketegangan. 

Mawlawi tahun lalu mengambil keputusan untuk mengharamkan acara "menggalakkan penyelewengan seksual" di Lubnan, yang difahamkan merujuk kepada perhimpunan mesra LGBT. 

Nasrallah dalam ucapan bulan lalu, menggesa pihak berkuasa Lubnan mengambil tindakan terhadap bahan yang disifatkannya mempromosikan hubungan sejenis, termasuk dengan "mengharamkan" komuniti itu.

Beliau berkata hubungan sejenis menimbulkan "bahaya" kepada Lubnan dan harus "diperangi". 

Pada Julai lalu, Nasrallah berkata dalam kes perbuatan homoseksual, "dari pertama kali, walaupun dia belum berkahwin, dia sudah dibunuh".

Pada Selasa, Kabinet Lubnan menggesa rakyat untuk "berpegang teguh" kepada nilai kekeluargaan berikutan pertemuan dengan ulama Kristian terkemuka negara itu, Patriarch Bechara Boutros al-Rai, walaupun ia tidak menyebut komuniti LGBT secara khusus. 

Dibintangi oleh Margot Robbie dan Ryan Gosling sebagai Barbie dan Ken, filem ini membawa anak patung keluaran syarikat Mattel Inc ke dalam pengembaraan dunia nyata. 

Filem itu telah mendahului tayangan pecah panggung dengan pungutan jualan tiket sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4.5 bilion) di seluruh dunia sejak mula ditayangkan pada 21 Julai.