- Iklan -
Rencana

Pendirian Anwar mengenai LGBT: Ke arah Malaysia yang sekular?

Ketika menjawab soalan Christiane Amanpour di New York, Anwar Ibrahim tersepit di tengah-tengah pertembungan antara dua tamadun.

Marzuki Mohamad
6 minit bacaan
Kongsi

Dalam temu bual bersama wartawan CNN, Christiane Amanpour, di New York pada 23 September lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ditanya pendiriannya mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 

Beliau menjawab: “Orang Islam, begitu juga orang bukan Islam, (sama ada) Kristian atau Hindu atau Buddha, ada kata sepakat dalam negara mengenainya, mereka tidak menerima ini (LGBT). Tetapi adakah kita kemudiannya ganggu mereka? Itu perkara lain, saya tidak bersetuju sekiranya ada antara mereka yang diganggu”.

Beliau kemudiannya ditanya mengenai insiden rampasan jam Swatch dengan warna berunsur LGBT di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau jawab: "Saya tidak akan mempertahankan tindakan itu.”

Apabila ditanya adakah beliau ingin melihat perkara itu berubah, beliau menjawab: “Sudah tentu... permuafakatan rakyat, saya perlu hormati. Tetapi ia tidak sepatutnya dilihat sebagai gangguan."

Mengenai undang-undang kesalahan liwat dalam Kanun Keseksaan, beliau berkata: “Saya sudah jelaskan bahawa kita kena semak semula, lihat undang-undang; ia tidak sepatutnya disalahgunakan, dalam kes yang saya lalui ia digunakan untuk penganiayaan politik, tetapi akhirnya kita perlu menghormati sentimen umum rakyat Malaysia... kita harus bertolak ansur kerana isu menentang (komuniti) LGBT adalah gangguan dan saya fikir kita perlu mengelak.”

Sekali baca kenyataan perdana menteri ini biasa sahaja. Tidak ada apa yang serius. Jika dilihat dari segi konteksnya, Anwar ditemu bual oleh wartawan CNN di New York. Anwar dalam bahasa mudahnya cuba “play to the gallery”.

Cuma “galeri” Anwar ada dua.  Satu di Barat. Anwar suatu ketika dahulu digelar sebagai “the darling of the West”.

Setelah menjadi perdana menteri, lawatan sulungnya ke Amerika Syarikat sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kali ke-78 adalah pentas terbaik untuk beliau menghidup dan menggilap semula imejnya sebagai “the darling of the West”. 

Jadi, jawapannya kepada soalan mengenai LGBT tidak boleh dilihat bertentangan dengan fahaman “libertarian” Barat.

Kedua, “galeri” Anwar ialah masyarakat majoriti Islam di Malaysia yang berfahaman konservatif. LGBT adalah haram di sisi agama dan haram di sisi undang-undang negara, baik undang-undang jenayah syariah mahupun kanun keseksaan. 

Jadi, jawapannya mengenai LGBT tidak boleh dilihat bercanggah dengan fahaman atau yang beliau sebut konsensus masyarakat Islam di Malaysia.

Ketika ini pun beliau berhadapan dengan masalah tahap sokongan orang Melayu yang rendah kepada partinya. Tentunya Anwar tidak mahu menambah masalahnya dengan orang Melayu.

Jadi, beliau mesti mencari keseimbangan antara keduanya.

Namun, mencari keseimbangan antara dua sudut pandang ini, iaitu “libertarian” Barat dan konservatif Islam, bukanlah sesuatu yang mudah. Saya tonton video temu bual Anwar dengan Amanpour, beliau kelihatan bersusah-payah untuk menjawab soalan ini.

Kenapa saya kata bukan mudah? Dari segi kaca mata “libertarian” Barat, LGBT adalah hak. Kerajaan tiada kuasa untuk membuat undang-undang menghalang pengamalan hak ini. 

Dalam jurisprudens undang-undang Barat, ada satu konsep yang dikenali sebagai jenayah moral. LGBT ini kalau salah pun dari segi moral sahaja dan kerajaan tiada kuasa untuk menghukum kesalahan moral.

Kenapa? Kerana tidak ada mangsa dalam jenayah moral. Pengamal LGBT mengamalkan gaya hidup mereka secara “consensual” atau secara sukarela.

Menurut jurisprudens Barat, yang kerajaan boleh hukum ialah jika perlakuan jenayah itu ada mangsanya. Bunuh ada mangsanya. Curi ada mangsanya. Pukul ada mangsanya. 

Zina, minum arak, hubungan sejenis yang dilakukan secara sukarela tidak ada mangsanya (kecuali jika memandu dalam keadaan mabuk yang boleh menyebabkan kemalangan). Jadi perbuatan-perbuatan ini tidak boleh dihukum.

Apatah lagi undang-undang agama. Lagilah tidak ada kuasa untuk menentukan gaya hidup manusia. Bagi penganut faham “libertarian” Barat yang sekular, mesti ada pemisahan sepenuhnya antara agama dan negara. 

Agama adalah perkara peribadi dan harus dirahsiakan pada setiap masa. Agama tidak boleh masuk ke ruang umum.

Nak sembahyang boleh. Nak puasa boleh. Tetapi salah bagi kerajaan menghukum orang yang tidak sembahyang atau tidak berpuasa. Ini faham “libertarian” Barat yang sekular.

Oleh kerana Malaysia bukanlah negara sekular, negara kita ada undang-undang jenayah syariah mengenai kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak berpuasa pada bulan Ramadan tanpa uzur syari’e.

Tetapi di Malaysia ada juga mereka yang menganut faham “libertarian” Barat yang sekular. Kerana itu di negara kita telah ada kempen yang dipelopori oleh kumpulan yang dinamakan “Islam liberal” dan juga kumpulan hak asasi manusia sejak tahun 2000-an yang menentang “moral policing”. 

Ini merujuk kepada serbuan oleh pihak berkuasa agama ke atas kelab-kelab malam dan rumah-rumah urut untuk mencegah maksiat dalam kalangan orang Islam. 

Kumpulan ini menganggap serbuan-serbuan oleh pihak berkuasa agama ini sebagai gangguan dan pelanggaran hak asasi.

Pandangan “libertarian” Barat ini bertentangan dengan jurisprudens Islam. Dalam Islam, hukum agama ditentukan oleh syarak yang bersumberkan al-Quran, hadis, ijmak dan qias serta sumber-sumber hukum lain yang diiktiraf oleh para ulama.

Tidak ada konsep jenayah moral dalam Islam. Sama ada perbuatan itu ada mangsa atau tidak, ia tetap jenayah sekiranya dinyatakan dengan jelas sebagai jenayah oleh sumber-sumber hukum syarak. 

Misalnya minum arak, hubungan sejenis dan zina adalah jenayah dalam Islam walaupun tidak ada mangsa. Kerana itu ada undang-undang Islam yang menetapkan hukuman bagi jenayah-jenayah ini.

Undang-undang ini menjadi sebahagian daripada sistem perundangan Islam di negara kita. Menurut sejarah, undang-undang Islam ini telah pun wujud di alam Melayu sejak zaman kesultanan Melaka lagi.

Ketika Barat masih berada pada zaman gelap, tamadun Melayu telah mengamalkan undang-undang Islam (kemuncak zaman pencerahan Barat yang mengagungkan sekularisme pun berlaku pada akhir kurun ke-18, iaitu lama selepas Melaka muncul sebagai sebuah tamadun Melayu).

Ketika menjawab soalan Amanpour di New York, Anwar tersepit di tengah-tengah pertembungan antara dua tamadun. 

Tamadun sekular-liberal Barat dan tamadun Islam-konservatif alam Melayu. Kerana itulah beliau terlihat bersusah-payah menjawab dalam mencari keseimbangan antara keduanya.

Mana mungkin ada keseimbangan kerana kedua-duanya berada di dua ufuk yang berbeza. “Both are poles apart”.

Lalu timbul persoalan-persoalan daripada jawapan Anwar kepada Amanpour. Kerana beliau adalah perdana menteri, setiap kata yang terkeluar dari mulut perdana menteri adalah pernyataan dasar kerajaan.

Isunya bukan lagi pertembungan antara dua tamadun yang selalunya berlegar di ruang wacana akademik, tetapi isu dasar negara. 

Ini yang menarik perhatian kita sebagai rakyat yang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam menentukan hala tuju dasar negara. 

Apabila Anwar berkata beliau tidak boleh mempertahankan tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik kedai Swatch yang menjual jam tangan bermotif LGBT, adakah ini bermakna selepas ini tiada lagi penguatkuasaan seumpama itu boleh dibuat oleh kerajaan kerana ia akan dikatakan mengganggu pengamal atau penyokong LGBT?

Apabila ditanya oleh Amanpour adakah beliau ingin melihat berlaku perubahan selepas ini, beliau terus menjawab “tentu sekali”. 

Adakah ini bermakna kerajaan akan meminda undang-undang tertentu yang dilihat mengganggu kebebasan pengamal LGBT?

Beliau juga menyentuh mengenai kesalahan liwat dalam kanun keseksaan. Beliau berkata undang-undang tersebut juga akan dikaji semula supaya ia tidak digunakan sebagai alat untuk melakukan pendakwaan politik (ini merujuk kepada pendakwaan ke atas beliau sendiri sebelum ini).

Ada dua perkara di sini. Pertama, undang-undang kesalahan liwat. Kedua, undang-undang tersebut digunakan untuk tujuan pendakwaan politik.

Sebenarnya undang-undang mana sekalipun boleh digunakan sebagai alat pendakwaan politik. Yang perlu dikaji bukanlah undang-undang itu. Tetapi sejauh manakah prinsip asas demokrasi iaitu “kerajaan dibatasi oleh undang-undang” dan reformasi institusi diamalkan?

Jika institusi-institusi utama negara seperti Jabatan Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bebas sepenuhnya daripada pengaruh eksekutif politik, undang-undang lalu lintas pun boleh digunakan sebagai alat pendakwaan politik.

Saya membahagikan cabang eksekutif kepada dua. Pertama, Eksekutif bukan politik iaitu penjawat awam yang mana Jabatan Peguam Negara, polis dan SPRM adalah sebahagian daripadanya dan keduanya eksekutif politik yang terdiri daripada perdana menteri dan anggota Jemaah Menteri.

Jadi, persoalan yang timbul daripada jawapan Anwar kepada Amanpour itu ialah adakah undang-undang kesalahan liwat dalam kanun keseksaan akan dipinda? 

Apa pula pendirian kerajaan mengenai kesalahan liwat dalam undang-undang jenayah syariah Selangor yang diisytiharkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak sah? 

Adakah ia akan dibiarkan begitu sahaja? Tidakkah akan dibuat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan undang-undang jenayah syariah itu sebagai sah?

Ketika menyampaikan ucapan dalam forum mengenai “gelombang hijau” di Singapura baru-baru ini, saya menolak andaian berlakunya “gelombang hijau” di Malaysia yang merujuk kepada perubahan negara ini ke arah amalan dan fahaman agama yang semakin ekstrem. 

Seolah-olahnya, sedang berlaku gelombang Islamisasi yang besar di Malaysia. Saya katakan yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Malaysia sedang berhadapan dengan proses sekularisasi dan de-Islamisasi.

Jika soalan-soalan di atas dijawab “ya”, maka benarlah apa yang saya katakan itu.

Bagi saya, jawapan Anwar kepada Amanpour menimbulkan lebih banyak persoalan.

Marzuki Mohamad adalah bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri ke-8, Muhyiddin Yassin.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.