- Iklan -
Luar Sana

WHO minta bantuan India dalam kes sirap ubat batuk tercemar

Agensi PBB itu telah mengeluarkan amaran mengenai sirap ubat batuk berjenama Naturcold, yang dijual di Cameroon dan dikaitkan oleh pihak berkuasa di negara berkenaan dengan sekurang-kurangnya enam kematian kanak-kanak.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilihat berhampiran ibu pejabatnya di Geneva, Switzerland, 2 Februari. Gambar: Reuters
Logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilihat berhampiran ibu pejabatnya di Geneva, Switzerland, 2 Februari. Gambar: Reuters

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta bantuan pihak berkuasa India dalam menentukan asal-usul sirap batuk tercemar yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak di Cameroon. 

Agensi PBB itu telah mengeluarkan amaran mengenai sirap ubat batuk berjenama Naturcold, yang dijual di Cameroon dan dikaitkan oleh pihak berkuasa di negara berkenaan dengan sekurang-kurangnya enam kematian kanak-kanak.

Sirap itu mengandungi tahap pencemaran toksik dietilena glikol yang sangat tinggi, kata WHO. 

Pengeluar Naturcold dibungkus dengan jenama Fraken International (England), tetapi pengawal selia UK memberitahu WHO bahawa tiada syarikat sedemikian wujud. 

WHO menulis surat kepada pengawal selia India ketika amaran dikeluarkan pada Rabu, meminta bantuan untuk menghubungi syarikat India yang mungkin terlibat, kata seorang jurucakap kepada Reuters. 

Menurut WHO, negara lain juga telah dihubungi.

Amaran mengenai Naturcold adalah yang terbaru daripada beberapa amaran sama dikeluarkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengenai sirap ubat batuk tercemar yang dijual di seluruh dunia. 

Pada 2022, ubat-ubatan itu dikaitkan dengan kematian lebih 300 kanak-kanak di Gambia, Uzbekistan dan Indonesia. 

Satu lagi amaran awal tahun ini juga mengatakan ubat tercemar telah ditemui di Kepulauan Marshall dan Micronesia, tetapi tiada kematian dilaporkan di sana. 

Menurut WHO, ancaman itu berterusan. 

Semua sirap ubat batuk dibuat oleh pengeluar yang berbeza, walaupun dalam tiga daripada empat kejadian, ia adalah buatan India. 

Kematian di Indonesia dikaitkan dengan sirap ubat batuk yang dibuat dalam negara. 

Menurut WHO, pola ini bermakna kerjasama dengan kerajaan India adalah menjadi keutamaan dalam mengetahui lebih lanjut mengenai insiden di Cameroon. 

Ia sebelum ini berkata usaha untuk mengetahui lebih lanjut mengenai insiden sirap ubat batuk dan rantaian bekalan yang terlibat telah terhalang oleh kekurangan maklumat daripada pihak berkuasa India dan pengeluar ubat tersebut. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada pegawai di India dan Cameroon namun tidak berjaya.