- Iklan -
Luar Sana

Singapura gantung banduan kedua dalam tempoh 3 minggu

Pihak berkuasa Singapura berkata banduan itu telah diberikan proses yang sewajarnya mengikut undang-undang.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berhimpun di ‘Speakers Corner’, Singapura sebagai bantahan ke atas hukuman yang dijatuhkan terhadap orang kelainan upaya warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam menjelang hukuman matinya pada 25 April 2022. Gambar: AFP
Orang ramai berhimpun di ‘Speakers Corner’, Singapura sebagai bantahan ke atas hukuman yang dijatuhkan terhadap orang kelainan upaya warga Malaysia, Nagaentran K Dharmalingam menjelang hukuman matinya pada 25 April 2022. Gambar: AFP

Singapura hari ini melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang lelaki atas kesalahan kerana mengedar dadah, kata pihak berkuasa.

Ini merupakan hukuman mati kedua di kota Singa itu dalam tempoh tiga minggu. 

Lelaki itu disabitkan bersalah pada 2019 kerana mengedar kira-kira 1.5kg (3.3 paun) ganja, menurut Kokila Annamalai dari kumpulan hak asasi tempatan Transformative Justice Collective kepada AFP.

Singapura mempunyai beberapa undang-undang anti-narkotik yang paling ketat di dunia: mengedar lebih 500g ganja boleh dijatuhkan hukuman mati. 

"Seorang lelaki warga Singapura berusia 36 tahun telah menjalani hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi," kata jurucakap perkhidmatan penjara republik itu kepada AFP. 

Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dalam satu kenyataan berasingan berkata pihaknya tidak akan mendedahkan nama banduan itu bagi menghormati permintaan keluarga. 

"Tertuduh telah diberikan proses yang sewajarnya mengikut undang-undang, dan mempunyai akses kepada penasihat undang-undang sepanjang proses itu," tambah CNB.

Rayuan terakhir untuk semakan kehakiman dan menangguhkan hukuman matinya telah ditolak pada Selasa, kata Annamalai. 

Walaupun kritik antarabangsa semakin meningkat untuk memansuhkan hukuman mati, Singapura menegaskan bahawa ia adalah pencegahan berkesan terhadap jenayah pengedaran dadah. 

Hukuman mati pada Rabu adalah yang kedua di Singapura tahun ini selepas Tangaraju Suppiah, 46, yang dihukum gantung pada 26 April kerana bersubahat menyeludup sekilo gram ganja. 

Tiga belas banduan akhir telah dihukum gantung sejak Singapura meneruskan hukuman mati pada Mac 2022 selepas berehat selama lebih dua tahun. 

Hukuman mati ke atas Tangaraju Suppiah mencetuskan bantahan antarabangsa, dengan kumpulan hak asasi manusia menunjukkan "banyak kelemahan" dalam kes itu, tetapi kerajaan Singapura menegaskan bahawa kesalahannya terbukti tanpa keraguan munasabah.

Aktivis berkata mereka akan terus mendesak agar Singapura memansuhkan hukuman mati kerana ia tidak mempunyai kesan pencegahan yang terbukti berkesan terhadap jenayah. 

"Gesaan kepada kerajaan Singapura (untuk membatalkan hukuman mati) telah lantang dan jelas di seluruh dunia, dan kami akan mengulangi seruan itu: Singapura perlu menghentikan hukuman mati," kata pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Selasa. 

"Mereka perlu meringankan semua hukuman mati yang sedia ada." 

Antara yang dihukum gantung tahun lalu ialah Nagaenthran K Dharmalingam, yang pelaksanaannya mencetuskan kecaman di peringkat antarabangsa kerana dia merupakan seorang lelaki orang kelainan upaya (masalah pembelajaran).