- Iklan -
Luar Sana

Bangladesh pintas kapal bawa 119 pelarian Rohingya menuju ke Malaysia

Ia adalah jumlah tangkapan tertinggi pelarian Rohingya yang ditemui dalam sebuah kapal tahun ini.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Program Makanan Sedunia di kem Cox Bazar di Bangladesh.
Pelarian Rohingya beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Program Makanan Sedunia di kem Cox Bazar di Bangladesh.

Pengawal pantai Bangladesh memintas sebuah kapal yang hampir tenggelam membawa 119 pelarian Rohingya menuju ke Malaysia, kata pegawai hari ini.

Ini merupakan insiden pemerdagangan manusia terbaru yang berlaku tahun ini.

Hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem-kem berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar, ramai yang melarikan diri dari negara jiran selepas tindakan kejam tentera sejak 2017. 

Selain itu, dengan kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan di kem, menyebabkan pelarian cuba melarikan diri ke negara lain seperti Malaysia dan Thailand. 

Kapal itu ditemui di Teluk Benggala, tidak jauh dari pantai pulau Saint Martin di selatan Bangladesh.

Menurut jurucakap pengawal pantai Saiful Islam kepada AFP, kapal tersebut berjaya dipintas hasil maklumat yang diberikan oleh nelayan di pantai tersebut.

"Kami mendapati bot itu dimasuki air kerana mengalami masalah pada enjin," kata Islam. 

"Ia hampir tenggelam. Sekiranya kita tidak sampai ke sana tepat pada masanya, ia pasti tenggelam."

Islam berkata 119 orang berada di dalam kapal itu, termasuk 58 wanita dan 14 kanak-kanak, sedang menuju ke Malaysia. 

Ia merupakan jumlah tertinggi pelarian Rohingya ditemui dalam sebuah kapal tahun ini, tambahnya.

Setakat tahun ini, agensi penguatkuasaan undang-undang Bangladesh telah menangkap lebih 500 pelarian Rohingya dari perkampungan pantai dan ketika mereka menunggu untuk menaiki bot menuju ke Malaysia. 

Sekurang-kurangnya tujuh suspek pemerdagangan manusia ditembak mati setakat ini pada 2019 sewaktu bertempur dengan polis. 

Pemerdagangan manusia sering meningkat selepas musim tengkujuh, ketika keadaan laut yang tenang pada bulan November membolehkan nelayan melakukan perjalanan jauh menggunakan kapal pukat tunda mereka.