- Iklan -
Luar Sana

545 bangunan bersejarah di Istanbul tahan gempa

Ia selepas rintangan gempa bangunan bersejarah di wilayah itu menjadi perhatian susulan dua gempa bumi kuat menggegarkan Turkiye pada 6 Februari.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berbuka puasa di Dataran Sultanahmet yang terletak berdekatan dengan Masjid Besar Hagia Sophia pada hari pertama Ramadan di Istanbul, Turkiye, 23 Mac. Gambar: Reuters
Orang ramai berbuka puasa di Dataran Sultanahmet yang terletak berdekatan dengan Masjid Besar Hagia Sophia pada hari pertama Ramadan di Istanbul, Turkiye, 23 Mac. Gambar: Reuters

Sebanyak 545 bangunan bersejarah di Istanbul, Türkiye telah dipulihkan untuk tahan gempa bumi berikutan gempa bumi Izmit 1999.

Direktorat Am Yayasan bergabung dengan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan memulihkan 300 bangunan bersejarah dan Perbandaran Metropolitan Istanbul memulihkan 245 bangunan.

Selepas dua gempa bumi kuat menggegarkan Türkiye pada 6 Februari, kemusnahan yang berlaku di 11 wilayah di Turkiye menarik perhatian Istanbul dan rintangan gempa bangunan bersejarah di wilayah itu menjadi perhatian, lapor Agensi Anadolu.

Di bawah Direktorat Am Yayasan, bangunan seperti masjid, air pancuran, muzium, perpustakaan dan makam terus dipulihkan mengikut panduan pengurusan risiko gempa bumi bagi struktur sejarah.

Hampir 1.3 bilion lira Turkiye (AS$67 juta) dibelanjakan untuk pemulihan dan pengukuhan bangunan.

Sementara itu, Perbandaran Metropolitan Istanbul menjalankan penyelenggaraan dan pembaikan tempat bersejarah di Istanbul dengan pasukan pakar menggunakan pembalut polimer bertetulang gentian (FRP) untuk beberapa dinding struktur bersejarah seperti Yedikule Gasworks bagi mengukuhkannya.

Penegang keluli juga digunakan untuk menjadikan struktur seperti Basilica Cistern tahan gempa bumi.

Kerja-kerja pemulihan diteruskan pada 33 bangunan bersejarah, termasuk Istana Rumeli Hisarı.