- Iklan -
Berita

Turkiye setuju MAHB terus kendali lapangan terbang Sabiha di Istanbul, kata Anwar

Perdana menteri berkata perjanjian itu akan melalui proses biasa oleh kementerian berkaitan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokchen. Gambar: Facebook ISG
Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokchen. Gambar: Facebook ISG

Turkiye bersetuju supaya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengendalikan  Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada pertemuan mereka di New York, hari ini.

“Beliau (Presiden) setuju MAHB teruskan (kendali) Lapangan Terbang Sabiha di Istanbul. Mereka puas hati dengan kejayaan MAHB pada peringkat pertama, sebab itu mahu sambungan dengan runway (landasan) yang lebih panjang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala dengan Erdogan.

Anwar yang berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 berkata Turkiye merasakan ada keupayaan untuk operasi lapangan terbang itu dikendalikan oleh syarikat yang sama, iaitu MAHB. 

Walaupun persetujuan meneruskan operasi oleh MAHB telah diumumkan, Anwar berkata ia akan melalui proses biasa oleh kementerian yang berkenaan.

“Ini satu sokongan yang cukup besar dan keyakinan kepada syarikat Malaysia untuk membangun dan menguruskan Lapangan Terbang Sabiha,” tambah beliau.

Dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, lapangan terbang tersebut merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021, yang merupakan 70 peratus daripada angka prapandemik Covid-19.

Pada pertemuan itu yang turut dihadiri menteri-menteri Kabinet daripada kedua-dua pihak, Anwar berkata mereka turut membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala dari segi  pelaburan dan  perdagangan. 

Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Turkiye di Asean dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$4.7 bilion (US$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021. 

Angka eksport Malaysia ke Turkiye pada 2022 mencecah paras RM17.39 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, tekstil, pakaian, kasut, produk elektrik dan elektronik serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.

Jumlah import pada 2022 direkodkan sebanyak RM2.86 bilion yang merangkumi produk petroleum, barang kemas, produk besi dan keluli, kimia dan produk kimia, tekstil, pakaian serta kasut.