- Iklan -
Luar Sana

Ketua PBB seru perangi perhambaan melalui pendidikan

António Guterres berkata sejarah perhambaan berlangsung selama lebih 400 tahun, sambil menyatakan bahawa ia adalah cerminan 'penderitaan, jenayah, keganasan, dan eksploitasi'.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. Gambar: Reuters
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. Gambar: Reuters

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Isnin menggesa memerangi perhambaan warisan perkauman melalui pendidikan yang disifatkan "senjata paling ampuh".

“Adalah menjadi kewajipan kita untuk melawan warisan perhambaan,” kata Guterres pada Perhimpunan Agung PBB sempena Hari Peringatan Antarabangsa Mangsa Perhambaan dan Perdagangan Transatlantik.

Beliau berkata sejarah perhambaan berlangsung selama lebih 400 tahun, sambil menyatakan bahawa ia adalah cerminan "penderitaan, jenayah, keganasan, dan eksploitasi".

"Namun, warisan perdagangan hamba transatlantik menghantui kita hingga ke hari ini.

 "Kita boleh lihat kesannya sejak era eksploitasi penjajah kepada ketidaksamaan sosial dan ekonomi hari ini,” kata Guterres.

Beliau menambah bahawa kesan perhambaan menyerlahkan jurang perbezaan termasuk kekayaan, pendapatan, kesihatan, pendidikan dan peluang.

Menyifatkan pendidikan sebagai senjata paling berkuasa dalam memerangi perhambaan, ketua PBB itu menggesa kerajaan untuk memperkenalkan pembelajaran di sekolah mengenai punca, manifestasi dan akibat perdagangan hamba transatlantik, lapor Xinhua.

"Dengan mengajar sejarah perhambaan, kita membantu mengawal manusia dari terdorong kepada keganasan," kata Guterres.

Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi pada Disember 2007 untuk menetapkan 25 Mac setiap tahun sebagai Hari Peringatan Antarabangsa bagi Mangsa Perhambaan dan Perdagangan Transatlantik.