- Iklan -
Luar Sana

Ekonomi Rusia berkembang mengikut ‘model baharu’, kata Putin

Katanya, peningkatan ekonomi negara itu didorong oleh pengembangan perdagangan asing, permintaan dalam negeri yang semakin meningkat dan penurunan inflasi yang dijangka pada paras 4%-5% pada Mac.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: AFP
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: AFP

Ekonomi Rusia mula berkembang mengikut "model baharu," kata Presiden Vladimir Putin pada Khamis.

Bercakap pada kongres Kesatuan Industri dan Usahawan Rusia (RUIE) di Moscow, Putin mengucapkan terima kasih kepada ahli perniagaan, perusahaan dan pekerja atas sumbangan mereka kepada pembangunan negara.

Putin berkata RUIE terlibat secara aktif dalam agenda seluruh negara dan mempunyai pandangan, pendapat dan cadangannya sendiri yang sangat penting ketika Rusia, disebabkan sekatan, mula membangun mengikut model baharu.

Beliau berkata KDNK Rusia mengalami penurunan maksimum sebanyak 4.7% pada Jun lalu, lapor Anadolu Agency.

"Puncanya sudah diketahui umum - sekatan akibat perang serta cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam ekonomi dan perdagangan global selain sistem hubungan antarabangsa secara keseluruhan yang didakwanya merupakan punca masalah itu.

“Ini adalah cabaran yang belum pernah dihadapi oleh Rusia mahupun negara lain di dunia dalam sejarah moden,” katanya.

Putin berkata sejak tempoh yang paling sukar ini, ekonomi Rusia beralih kepada pertumbuhan.

Beliau berkata faktor yang mendorong peningkatan itu termasuk pengembangan perdagangan asing, permintaan dalam negeri yang semakin meningkat dan penurunan inflasi yang dijangka pada paras 4%-5% pada Mac.

"Keseluruhannya perdagangan asing Rusia 2022 melonjak 8.1% kepada AS$850 bilion, termasuk eksport hampir 20%, dengan import menurun hampir 12%. Lebihan imbangan perdagangan sebanyak AS$332 bilion atau 70% lebih tinggi berbanding 2021," katanya.

Mengenai unjuran pendapatan  yang lemah di wilayah Barat akibat kemarau, Putin berkata jika tiada sekatan terhadap baja Rusia, petani Eropah boleh menggunakannya untuk meningkatkan hasil tanaman mereka.

Putin juga berkata penutupan syarikat Barat membuka peluang kepada perniagaan Rusia dan menggesa usahawan negara itu untuk menggunakan peluang itu.

Beliau juga berkata untuk pertumbuhan ekonomi, kemudahan pengeluaran perlu diwujudkan selain membuka perusahaan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh negara.

Putin berkata bahawa untuk mengelakkan senario negatif,  isu logistik, kewangan, infrastruktur dan teknologi perlu ditangani.