- Iklan -
Luar Sana

AS kutuk tindakan Korea Utara lancar peluru berpandu

Walaupun penilaian Indopacom AS menunjukkan pelancaran itu tidak menimbulkan ancaman kepada anggota AS atau sekutunya, namun pelancaran tersebut menimbulkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan keselamatan di rantau ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters

Amerika Syarikat (AS)  pada Rabu "mengutuk” sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) beberapa jam sebelum pemimpin Korea Selatan dan Jepun bertemu pada sidang kemuncak di Tokyo.

"Walaupun penilaian Indopacom AS menunjukkan pelancaran itu tidak menimbulkan ancaman kepada anggota AS atau wilayah atau ke atas sekutu kami, pelancaran ini menimbulkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan keselamatan di rantau ini," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih Adrienne Watson.

"Ia hanya menunjukkan bahawa DPRK (Republik Rakyat Demokratik Korea) terus mengutamakan senjata pemusnah besar-besaran dan program peluru berpandu balistik yang menyalahi undang-undang berbanding kesejahteraan rakyatnya," menurut kenyataan itu.

Sambil mendesak "semua negara" supaya mengutuk pelanggaran oleh Korea Utara itu beliau berkata: "Pasukan keselamatan AS sedang berkoordinasi rapat dengan sekutu dan rakan kongsi kami."

Beliau berkata AS akan mengambil "semua langkah perlu" bagi memastikan keselamatan tanah air Amerika, Korea Selatan dan sekutu Jepun.

Korea Utara sebelum ini mengesahkan telah melancarkan dua peluru berpandu darat ke darat.

Satu dilancarkan pada Selasa di kawasan sekitar Daerah Jangyon di wilayah Hwanghae Selatan.

Pelancaran terbaharu itu berlaku sehari selepas AS dan Korea Selatan memulakan latihan Freedom Shield, yang bermula pada Isnin dan berlangsung sekurang-kurangnya 10 hari.

Tindakan Korea Utara itu juga dibuat beberapa jam sebelum Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berlepas ke Tokyo untuk bertemu Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam lawatan pertama presiden Korea Selatan dalam tempoh 12 tahun.