- Iklan -
Luar Sana

Fifa umum format baharu Piala Dunia 2026

Format baharu itu juga akan berpegang kepada undian empat pasukan dalam satu kumpulan selepas cadangan untuk 16 kumpulan dengan tiga pasukan ditolak kerana bimbang berlaku pakatan sulit dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyerang Real Madrid dari Brazil, Vinicius Junior meraikan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan bola sepak akhir Piala Dunia Kelab Fifa antara Real Madrid dan Al-Hilal di Stadium Prince Moulay Abdellah di Rabat pada 11 Februari. Gambar: AFP
Penyerang Real Madrid dari Brazil, Vinicius Junior meraikan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan bola sepak akhir Piala Dunia Kelab Fifa antara Real Madrid dan Al-Hilal di Stadium Prince Moulay Abdellah di Rabat pada 11 Februari. Gambar: AFP

Majlis Fifa pada Selasa meluluskan kalendar perlawanan antarabangsa baharu termasuk tarikh perlawanan akhir Piala Dunia Fifa 2026.

Menurut kalendar perlawanan antarabangsa lelaki 2025-2030, empat perlawanan akan berlangsung selama 16 hari pada akhir September/awal Oktober 2026 serta dua perlawanan setiap satu selama sembilan hari pada Mac, Jun dan November.

Perlawanan akhir Piala Dunia Fifa 2026 akan berlangsung pada 19 Julai 2026, lapor agensi berita Xinhua.

Majlis Fifa yang bermesyuarat sebelum Kongres Fifa ke-73 di Kigali, Rwanda, menerima pakai beberapa keputusan penting, khususnya berkaitan masa depan pertandingan lelaki dan wanita.

Majlis itu sebulat suara meluluskan perubahan format untuk Piala Dunia Fifa 2026 iaitu daripada 16 kumpulan dengan tiga pasukan setiap satu kepada 12 kumpulan empat pasukan, dengan dua pasukan teratas dan lapan pasukan terbaik tempat ketiga mara ke pusingan 32.

Kalendar perlawanan antarabangsa wanita 2024-2025 pula membabitkan enam perlawanan antarabangsa setiap tahun. Kejohanan bola sepak wanita Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 25 Julai hingga 10 Ogos.

Majlis Fifa juga meluluskan penubuhan pasukan petugas khusus mengenai kebajikan pemain dan keputusan lain.