- Iklan -
Luar Sana

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik lagi, kata Seoul

Pelancaran itu dibuat hanya beberapa hari selepas Pyongyang melepaskan dua 'peluru berpandu jelajah strategik' dari kapal selam dalam protes jelas terhadap latihan ketenteraan AS-Korea Selatan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera AS bergerak melepasi kenderaan perisai di padang latihan ketenteraan di bandar sempadan Yeoncheon pada 13 Mac. Gambar: AFP
Tentera AS bergerak melepasi kenderaan perisai di padang latihan ketenteraan di bandar sempadan Yeoncheon pada 13 Mac. Gambar: AFP

Korea Utara melancarkan lagi ujian peluru berpandu balistik dari pantai timurnya, kata tentera Korea Selatan, hari ini.

Ini adalah pelancaran kedua Pyongyang dalam tiga hari dan yang pertama sejak Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka dalam tempoh lima tahun. 

Washington dan Seoul meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan dan nuklear yang semakin meningkat dari Korea Utara, yang sudah menjalankan beberapa siri ujian senjata terlarang itu dan semakin bersikap provokatif dalam beberapa bulan kebelakangan ini. 

"Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik yang tidak dikenali ke arah Laut Timur," kata Ketua Turus Bersama dalam satu kenyataan, merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.

Pelancaran itu dibuat hanya beberapa hari selepas Pyongyang melancarkan dua "peluru berpandu jelajah strategik" dari sebuah kapal selam dalam protes jelas terhadap latihan AS-Korea Selatan. 

Dikenali sebagai Freedom Shield, latihan itu bermula Isnin dan akan berlangsung selama 10 hari sebagai sebahagian daripada usaha sekutu untuk menentang ancaman Korea Utara yang semakin meningkat.

Dalam satu langkah yang jarang berlaku, tentera Korea Selatan bulan ini mendedahkan bahawa unit pasukan khas sedang mengadakan latihan ketenteraan yang digelar "Teak Knife" – melibatkan simulasi serangan tepat ke atas kemudahan utama di Korea Utara – menjelang Freedom Shield. 

Latihan itu memberi tumpuan kepada "persekitaran keselamatan yang berubah" akibat pencerobohan berganda Korea Utara, kata pasukan khas tersebut. \

Mereka akan "melibatkan prosedur masa perang untuk menangkis potensi serangan Korea Utara dan menjalankan kempen penstabilan di bahagian Utara", kata tentera Korea Selatan. 

Ia menekankan bahawa latihan itu adalah "pertahanan berdasarkan rancangan operasi gabungan".

Akan tetapi Korea Utara melihat semua latihan itu sebagai latihan untuk pencerobohan dan berulang kali memberi amaran ia akan mengambil tindakan "luas biasa".