- Iklan -
Luar Sana

UK pertimbang longgarkan dasar visa di tengah-tengah kekurangan tenaga buruh

UK kini mempunyai kira-kira satu juta pekerjaan yang belum diisi, menurut data terkini dari Pejabat Statistik Kebangsaan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk berjalan berdekatan Menara Queen Elizabeth di London, Britain, 22 Februari. Gambar: Reuters
Seorang penduduk berjalan berdekatan Menara Queen Elizabeth di London, Britain, 22 Februari. Gambar: Reuters

Kerajaan Britain sedang mempertimbangkan kelonggaran dalam permohonan visa untuk membantu menangani kekurangan tenaga buruh, yang sebahagiannya dicetuskan oleh peraturan imigresennya yang lebih ketat selepas Brexit. 

Kerajaan menerima pakai model imigresen berasaskan mata selepas keluar dari Kesatuan Eropah pada Januari 2021. 

"Kami bekerja... untuk memastikan sistem berasaskan mata kami berfungsi untuk UK dan berfungsi untuk kepentingan ekonomi yang terbaik, dengan mengutamakan kemahiran dan bakat yang kami perlukan dan menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam tenaga kerja domestik," kata jurucakap kerajaan. 

"Ini termasuk menyemak senarai kekurangan pekerjaan bagi memastikan ia mencerminkan pasaran buruh semasa." 

Senarai kekurangan itu bertujuan melonggarkan permohonan visa untuk profesion yang kekurangan tenaga kerja.

Kebanyakan syarikat British telah lama meminta kerajaan melonggarkan polisi visanya. 

Sektor perhotelan, pengangkutan jalan raya dan pertanian terjejas terutamanya oleh kekurangan tenaga buruh Eropah yang dicetuskan oleh Brexit dan diburukkan lagi oleh kejatuhan akibat Covid-19. 

UK kini mempunyai kira-kira satu juta pekerjaan yang belum diisi, menurut data terkini dari Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS). 

Angka itu lebih tinggi dengan memasukkan bilangan warga Britain yang memilih untuk meninggalkan pasaran buruh akibat penyakit jangka panjang atau bersara awal. 

ONS menerbitkan data tinjauan pada Khamis yang menunjukkan bahawa lebih satu perempat firma UK dengan 10 atau lebih pekerja mengalami kekurangan pada akhir Februari. 

Secara amnya sama data tinjauan itu sama seperti pada akhir Januari.

"Banyak (perniagaan) akan mempunyai sedikit pilihan selain menaikkan gaji untuk menarik dan mengekalkan kakitangan," kata Susannah Streeter, ketua wang dan pasaran di broker saham Hargreaves Lansdown. 

"Ini menimbulkan lebih banyak tekanan pada masa apabila kos tenaga yang lebih tinggi dan kenaikan harga barangan masih mengakibatkan situasi yang memeningkan." 

Kerajaan UK dan Bank of England menggesa majikan untuk menunjukkan kekangan, memberi amaran bahawa kenaikan gaji yang besar akan menjejaskan percubaan untuk mengurangkan inflasi.

Bagaimanapun, mogok semakin meningkat di Britain dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila pekerja membantah berkaitan isu gaji yang gagal mengekang inflasi harga pengguna yang tinggi selama beberapa dekad, sekali gus memburukkan krisis kos sara hidup.