- Iklan -
Berita

'Siapa untung lawatan Anwar ke UK?' Orang Najib persoal 'pelaburan terbalik' syarikat Malaysia

Projek berbilion ringgit yang akan membuka ribuan peluang pekerjaan di UK tidak memberi manfaat ekonomi kepada Malaysia, kata pengkritik.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi YTL, Francis Yeoh (kiri) tersenyum sambil memerhatikan model bandar lestari Brabazon yang dibangunkan syarikatnya, disertai Anwar Ibrahim dan menteri perdagangan UK, Jonathan Reynolds (tengah).
Pengerusi YTL, Francis Yeoh (kiri) tersenyum sambil memerhatikan model bandar lestari Brabazon yang dibangunkan syarikatnya, disertai Anwar Ibrahim dan menteri perdagangan UK, Jonathan Reynolds (tengah).

Dasar pelaburan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mula dipersoalkan selepas beliau merasmikan projek bernilai berbilion ringgit di UK dalam rangka lawatan rasmi ke negara itu untuk menarik pelabur asing ke Malaysia.

Seorang pengkritik kerajaan, Eric See-To, berkata projek Kumpulan YTL bernilai £6 bilion (RM33 bilion) untuk membangunkan bandar lestari baharu di Bristol yang bakal mewujudkan pembangunan bersepadu melibatkan sekolah, kedai, pengangkutan awam dan sistem kesihatan jelas bukan untuk faedah rakyat Malaysia, sambil menambah ia terpesong daripada dasar sebelum ini untuk memastikan pelaburan di luar negara perlu menguntungkan negara.

"Ternyata PM Britain lebih power banding PMX kita," tulis Eric menerusi akaun Facebook di bawah nama pena Lim Sian See, dalam hantaran yang disertakan gambar pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri Britain Keir Starmer di kediaman rasminya.

"PMX asyik melawat ke luar negara untuk bawa pelaburan asing berbilion-bilion ke Malaysia. PM Britain pula duduk rumah dan goyang kaki untuk tunggu PMX bawa pelaburan bernilai puluhan bilion dari Malaysia kepada dia."

Eric, penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak, membandingkan projek terbaharu di UK itu dengan projek loji janakuasa Battersea yang dilancarkan pada 2012 oleh syarikat pelaburan berkait kerajaan (GLIC) Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Najib tak bawa YTL untuk labur bagi mendapat pulangan baik untuk syarikat swasta itu. Najib bawa GLIC tabung-tabung simpanan awam KWSP dan PNB untuk labur di projek paling berprofil tinggi UK Battersea agar Rakyat dapat pulang dengan baik.
Agar warga UK sedar bahawa kini ianya Malaysia yang 'jajah' dorang dan bukan lagi UK jajah Malaysia.

"Kroni Najib adalah Rakyat," tambahnya.

Pada Rabu, Anwar mengalu-alukan projek bandar lestari YTL di Bristol sebagai bukti komitmen Malaysia "memupuk perkongsian yang memacu inovasi, kemakmuran dan menyumbang kepada dunia yang lebih baik untuk semua".

Dalam satu kenyataan dikeluarkan kerajaan Britain, Starmer berkata beliau dan Anwar bersetuju bahawa UK "adalah tempat yang sangat baik untuk menjalankan perniagaan".

Starmer turut mengalu-alukan pelaburan £2 bilion (RM11 bilion) YTL dalam sektor perniagaan di Britain dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping £2 bilion lagi yang akan digunakan untuk membina rumah dan sekolah di Bristol, yang bakal mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, sebuah lagi konglomerat Malaysia, Gamuda Berhad, juga akan melabur £1.2 bilion (RM6.6 bilion) dalam projek membaik pulih bangunan Winchester House, kini dikenali sebagai 75 London Wall, di tengah-tengah kota London.