- Iklan -
Berita

Universiti Afghanistan dibuka semula, tetapi pelajar wanita masih dihalang

Larangan hadir ke universiti adalah salah satu daripada beberapa sekatan yang dikenakan ke atas wanita sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, dan mencetuskan kemarahan global.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar wanita berjalan di depan universiti di wilayah Kandahar pada 21 Disember 2022. Gambar: AFP
Pelajar wanita berjalan di depan universiti di wilayah Kandahar pada 21 Disember 2022. Gambar: AFP

Pelajar lelaki kembali mengikuti kuliah selepas universiti Afghanistan dibuka semula berikutan cuti musim sejuk, tetapi pelajar wanita tetap dihalang pihak berkuasa Taliban. 

Larangan hadir ke universiti adalah salah satu daripada beberapa sekatan yang dikenakan ke atas pelajar wanita sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, dan mencetuskan kemarahan global – termasuk di seluruh dunia Islam. 

“Sungguh menyayat hati melihat budak lelaki pergi ke universiti sedangkan kami terpaksa tinggal di rumah,” kata Rahela, 22, dari wilayah tengah Ghor. 

"Ini adalah diskriminasi jantina terhadap remaja perempuan kerana Islam membenarkan kita melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tiada siapa yang harus menghalang kita daripada belajar." 

Kerajaan Taliban mengenakan larangan itu selepas menuduh pelajar wanita mengabaikan kod berpakaian yang ketat dan syarat ditemani bersama saudara untuk ke kampus.

Kebanyakan universiti sudah memperkenalkan pintu masuk dan kelas yang mengasingkan jantina, serta membenarkan wanita hanya diajar oleh pensyarah wanita atau lelaki tua. 

Beberapa pegawai Taliban berkata larangan pendidikan ke atas wanita adalah sementara, tetapi walaupun dijanjikan, mereka gagal membuka semula sekolah menengah untuk perempuan, yang kini ditutup selama lebih setahun. 

Mereka memberikan pelbagai alasan terhadap penutupan itu – daripada kekurangan dana hinggalah masa yang diperlukan untuk merombak sukatan pelajaran mengikut landasan Islam. 

Realitinya, menurut beberapa pegawai Taliban, ialah ulama ultra konservatif yang menasihati pemimpin tertinggi negara itu Hibatullah Akhundzada sangat meragui pendidikan moden untuk wanita. 

Sejak mengambil alih kuasa pihak berkuasa Taliban menyekat wanita daripada kehidupan awam.

Wanita disingkirkan daripada perjawatan kerajaan atau dibayar sebahagian kecil daripada gaji lama mereka untuk tinggal di rumah. 

Mereka juga dilarang pergi ke taman, pameran, gim dan tempat mandi awam, dan mesti berselubung di khalayak ramai. 

Kumpulan hak asasi mengecam sekatan itu, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai dasar "apartheid berasaskan jantina". 

Masyarakat antarabangsa menjadikan hak pendidikan untuk wanita sebagai alasan dalam rundingan mengenai bantuan dan pengiktirafan rejim Taliban. 

Tiada negara setakat ini secara rasmi mengiktiraf kerajaan Taliban.