Kehadiran anggota cawangan khas polis atau lebih dikenali sebagai Special Branch (SB) di beberapa universiti awam menimbulkan tanda tanya mengenai tindakan pihak berkuasa terus menggunakan aparatus keselamatan bagi mengekang kebebasan akademik, di sebalik janji kerajaan memastikan keterbukaan di dalam kampus.
Ia selepas forum membincangkan isu kewarganegaraan - "Warga Tidak Bernegara = Anak Haram?" di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) diganggu minggu lalu oleh pihak keselamatan kampus dan beberapa lelaki dipercayai anggota SB.
Insiden itu juga sebulan selepas kontroversi membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia yang berdepan kritikan selepas amaran melarang kakitangan mengeluarkan sebarang kenyataan umum.
Insiden di kampus Gombak UIA pada 7 November menyaksikan pihak polis bantuan kampus dan SB bertindak menutup lampu dan kipas di sebuah restoran di mana forum diadakan, menurut jurucakap penganjur.
"Ketika pihak jawatankuasa (forum) tiba ke tempat untuk persiapan program, ada beberapa pegawai polis bantuan UIA dan anggota cawangan khas tiba dan menghalang kami meneruskan program," kata Zaim Zulkifli dari Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia.
"Alasannya kerana perlu dapat kelulusan, tetapi kawasan itu adalah tempat awam, tidak termaktub bawah bidang kuasa hal-ehwal pelajar dan kami sudah terlebih dahulu minta izin dengan pemilik tempat," katanya kepada MalaysiaNow.
Bagaimanapun, hadirin tetap bertegas tidak berganjak dan menyalakan lampu suluh telefon bimbit mereka bagi membolehkan program diteruskan walaupun tanpa pembesar suara.
Hanya selepas campur tangan Timbalan Rektor UIA, Mohamad Fauzan Noordin, yang kebetulan berada di kampus ketika itu, program itu diteruskan.
"Beliau juga turut membenarkan forum diteruskan atas dasar advokasi," kata UIA dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu.
SB adalah unit perisikan di bawah polis dan berperanan mengumpul maklumat berkaitan ancaman "keselamatan dalaman" termasuk kegiatan yang dianggap subversif.
Zaim berkata ia bukan kali pertama anggota SB hadir di kampus untuk memantau program pelajar.
"Sebelum ini pun aktivis Fahmi Reza dijemput ke UIA untuk program Sekolah Kesatuan 2.0 dan anggota SB hadir.
"Kami tahu mereka daripada SB daripada cara pakaian dan setelah bersembang dengan mereka," katanya.
MalaysiaNow telah menghubungi polis Bukit Aman untuk mendapatkan reaksi.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kehadiran SB di kampus, UIA tidak memberikan sebarang komen.
Zaim turut mengingatkan peristiwa pada 2014 apabila aktivis UIA, Hanif Mahpa diganggu ucapannya yang mengkritik kerajaan Barisan Nasional ketika itu, dengan lampu dipadamkan dan mikrofon dirampas.
Bulan lalu, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mengkritik UKM selepas surat pekeliling mengharamkan kakitangan daripada mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
UKM bagaimanapun berkata ia konsisten menggalakkan warga untuk bersuara.
"Menegur dan mengkritik secara berhemah yang mana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran," kata universiti itu.
Kebebasan akademik dihadkan melalui Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), antara undang-undang yang Pakatan Harapan berjanji mansuhkan sekiranya berkuasa.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata akta itu tidak wajar dimansuh keseluruhannya.
"Beberapa peruntukan lain itu penting, jadi kalau batalkan, saya fikir tidak sesuailah.
"Kita boleh pinda beberapa peruntukkan yang perlu diperjelaskan," katanya tahun lalu.