- Iklan -
Luar Sana

Indonesia seru tindakan konkrit lucut senjata nuklear

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata usaha itu terhenti selama ini kerana tiada azam politik, selain dibelengu mentaliti Perang Dingin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi. Gambar: Jakarta Post
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi. Gambar: Jakarta Post

Di Persidangan Perlucutan Senjata di Geneva, Switzerland pada Isnin, Indonesia menggesa negara-negara dunia mengambil tindakan konkrit untuk menggalakkan pelucutan senjata nuklear.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata usaha itu terhenti lebih suku abad kerana tiada azam politik, kerumitan situasi keselamatan global dan dibelengu mentaliti Perang Dingin.

Tanpa tindakan konkrit yang muktamad, Retno memberi amaran bahawa bencana nuklear hanya menanti masa, dan risiko ini semakin besar tatkala persaingan antara kuasa-kuasa besar semakin sengit.

Dalam ucapannya di persidangan itu, beliau menggariskan tiga langkah untuk menggalakkan kemajuan dalam pelucutan senjata nuklear, termasuk memulihkan azam politik mengenai Jaminan Keselamatan Negatif (NSA).

NSA memberi jaminan negara-negara yang memiliki senjata nuklear tidak akan menggunakan atau mengancam negara tanpa senjata nuklear menggunakan senjata pemusnah itu.

"Ini akan memberi insentif kepada negara-negara yang telah mematuhi kewajipan mereka di bawah Triti Pengawalan Senjata Nuklear dan meningkatkan kepercayaan antara negara yang memiliki dan tidak memiliki senjata itu," kata Retno.

Beliau berpendapat bahawa kerangka pelucutan dan kawalan senjata nuklear mesti diperkukuh melalui pensejagatan Perjanjian Larangan Senjata Nuklear.

Indonesia sedang melengkapkan proses ratifikasi dan menjangkakan negara lain turut melakukan perkara sama tidak lama lagi, katanya, sambil menambah bahawa penggunaan nuklear hanya untuk tujuan keamanan dan tidak disalahguna menjadi senjata.

Selaku Pengerusi Asean tahun ini, Retno berkata Indonesia akan terus mempromosikan zon bebas senjata nuklear di rantau ini dengan mendapatkan persetujuan negara-negara untuk menandatangani Protokol Zon Bebas Nuklear.