- Iklan -
Luar Sana

Sri Lanka haramkan mogok susulan protes anticukai merebak

Kemarahan rakyat terhadap presiden semakin meningkat selepas kerajaannya mengurangkan perbelanjaan dan menaikkan cukai bagi mendapatkan bantuan kewangan IMF.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Kesatuan sekerja perkhidmatan penting Sri Lanka memprotes kenaikan tinggi cukai pendapatan peribadi berikutan krisis ekonomi terburuk negara di Colombo, Sri Lanka, 8 Februari. Gambar: Reuters
Kesatuan sekerja perkhidmatan penting Sri Lanka memprotes kenaikan tinggi cukai pendapatan peribadi berikutan krisis ekonomi terburuk negara di Colombo, Sri Lanka, 8 Februari. Gambar: Reuters

Kerajaan Sri Lanka hari ini berkata ia mengharamkan mogok dalam beberapa sektor utama, sehari lebih awal daripada demonstrasi besar-besaran seluruh negara yang dirancang kesatuan sekerja untuk membantah cukai yang sangat tinggi dan bil utiliti.

Kemarahan terhadap presiden Ranil Wickremesinghe semakin meningkat apabila kerajaannya mengurangkan perbelanjaan dan menaikkan cukai bagi mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas lebih setahun pergolakan ekonomi dan politik.

Pejabat Wickremesinghe berkata beliau menggunakan kuasa eksekutifnya untuk keluarkan perintah "perkhidmatan penting" yang secara langsung melarang protes dirancang kesatuan sekerja.

Beliau mengisytiharkan "pengangkutan awam, penghantaran makanan atau minuman, atau arang batu, minyak, bahan api, penyelenggaraan kemudahan untuk pengangkutan melalui jalan raya, kereta api atau udara... lapangan terbang, pelabuhan dan laluan kereta api, sebagai perkhidmatan penting berkuat kuasa serta-merta," menurut kenyataan tersebut.

Sesiapa yang mengingkari perintah perkhidmatan penting itu berisiko kehilangan pekerjaan mereka.

Lebih 40 kesatuan sekerja, termasuk pekerja bank dan kakitangan hospital kerajaan, berkata mereka tidak akan bekerja pada Rabu sebagai tanda protes terhadap cukai yang melambung tinggi sejak Januari.

Kerajaan telah menaikkan kos tenaga tiga kali ganda sejajar dengan tuntutan IMF untuk mengurangkan kerugian utiliti negara bagi melayakkan negara itu menyelamat AS$2.9 bilion (kira-kira RM13 bilion).

Sri Lanka memohon bantuan IMF selepas gagal membayar hutang luar negara AS$46 bilion pada April.

IMF masih belum mengeluarkan dana tersebut sementara menunggu jaminan kewangan daripada China, pemiutang dua hala tunggal terbesar Sri Lanka.

Krisis ekonomi Sri Lanka yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak akhir 2021 telah menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk selain mengakibatkan protes berbulan-bulan yang menggulingkan presiden Gotabaya Rajapaksa pada Julai.

Wickremesinghe, yang dipilih oleh parlimen untuk menggantikan Rajapaksa, berkata ekonomi menguncup sebanyak 11% tahun lepas dan pulau itu akan kekal muflis sehingga sekurang-kurangnya 2026.

Beliau juga telah mengumumkan bahawa negara tidak mempunyai wang untuk membiayai pilihan raya kerajaan tempatan yang dijadualkan pada 9 Mac, menyebabkan tuduhan yang beliau menggunakan krisis ekonomi untuk menyekat demokrasi.