- Iklan -
Luar Sana

Operasi mencari dan menyelamat gempa bumi Turkiye hampir selesai

Pencarian di wilayah Hatay dan Kahramanmaras masih dijalankan, manakala di tempat lain tumpuan diberikan kepada usaha alih serpihan, melindungi gelandangan dan penyediaan infrastruktur, menurut pihak berkuasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah jentera sedang merobohkan bangunan yang rosak berikutan gempa bumi dahsyat di Hatay, Turkiye, 19 Februari. Gambar: Reuters
Sebuah jentera sedang merobohkan bangunan yang rosak berikutan gempa bumi dahsyat di Hatay, Turkiye, 19 Februari. Gambar: Reuters

Operasi mencari dan menyelamat yang berlanjutan hampir dua minggu selepas gempa bumi besar meragut lebih 40,000 nyawa kini hampir selesai, menurut agensi bencana Turkiye pada Ahad.

Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di sekitar 40 bangunan membabitkan dua wilayah iaitu Hatay dan Kahramanmaras, kata ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Yunus Sezer pada sidang media, lapor Xinhua.

Sezer berkata kerja-kerja di kawasan yang dilanda bencana kini tertumpu kepada mengalihkan serpihan, melindungi gelandangan dan penyediaan infrastruktur.

Jumlah kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Türkiye pada 6 Februari telah meningkat kepada 40,689, kata Sezer.

Angka kematian dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat mengeluarkan lebih banyak mayat daripada runtuhan.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Kerajaan Turkiye bersama organisasi bantuan tempatan dan antarabangsa telah melancarkan usaha bantuan besar-besaran.

Pihak berkuasa berusaha menyediakan lebih banyak penginapan sementara termasuk khemah dan kontena, manakala ramai mangsa yang terselamat masih ditempatkan di hotel, asrama, gim, dan kereta api.

Lebih 6,000 kontena telah dipasang setakat ini, manakala kerja-kerja infrastruktur bagi membina 68,000 kontena hampir siap, kata Sezer sambil menambah hampir 250,000 khemah telah digunakan.

Presidennya Recep Tayyip Erdogan berkata pada Selasa bahawa 2.2 juta orang telah meninggalkan zon bencana.

Bagaimanapun, ramai mangsa yang terselamat memilih untuk tinggal berdekatan dengan kediaman mereka bagi melindungi harta benda.

AFAD mengeluarkan pekeliling pada Ahad bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasuki bangunan yang musnah dan pasukan keselamatan akan mengawasi keadaan bagi mereka yang ingin mendapatkan semula harta benda.

Pihak berkuasa tempatan mula menjalankan kerja-kerja membasmi kuman di kawasan bencana dan tong sampah untuk mencegah wabak penyakit berjangkit.

Tiada wabak penyakit berjangkit dikesan setakat ini di zon gempa, kata Menteri Kesihatan Turkiye.

Türkiye menempatkan hampir 3.5 juta pelarian Syria, kira-kira separuh daripada mereka telah berlindung di wilayah bencana.

Menteri Pertahanan Turkiye Hulusi Akar berkata pada Ahad bahawa sekurang-kurangnya 10,633 rakyat Syria yang berada di negara itu telah kembali ke tanah air mereka secara sukarela selepas gempa bumi.

“Saudara kita Syria, yang kehilangan keluarga dan tempat tinggal mereka akibat gempa bumi, kembali ke tanah mereka secara sukarela,” kata Akar semasa lawatannya ke pos sempadan tentera di wilayah selatan Hatay.