- Iklan -
Luar Sana

PBB potong bantuan makanan pelarian Rohingya susulan kekurangan dana

Kira-kira 730,000 masyarakat Rohingya, kebanyakannya minoriti Islam yang teraniaya dari Rakhine di Myanmar, melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 berikutan tindakan kejam tentera yang dikatakan PBB dengan niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah bot hanyut yang membawa 69 masyarakat Rohingya mendarat di wilayah Aceh, Indonesia semalam. Gambar: Reuters
Sebuah bot hanyut yang membawa 69 masyarakat Rohingya mendarat di wilayah Aceh, Indonesia semalam. Gambar: Reuters

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merancang untuk mengurangkan bantuan makanan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh, kata pertubuhan itu susulan kekurangan dana hari ini sambil memberi amaran ia akan menjejaskan bekalan dan sumber zat makanan di penempatan pelarian terbesar dunia tersebut.

Kira-kira 730,000 masyarakat Rohingya, kebanyakannya minoriti Islam yang teraniaya dari Rakhine di Myanmar, melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 berikutan tindakan kejam tentera yang dikatakan PBB dengan niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai. 

Ini termasuk kumpulan sebelumnya, hampir 1 juta tinggal di pondok yang diperbuat daripada kepingan buluh dan plastik. 

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) ia akan mengurangkan nilai bantuan makanannya kepada AS$10 (kira-kira RM45) seorang berbanding AS$12 mulai bulan depan. Belanjawan penderma dikaji semula susulan pandemik, kemelesetan ekonomi dan krisis di seluruh dunia. 

WFP merayu untuk mendapatkan pembiayaan segera sejumlah AS$125 juta, sambil memberi amaran tentang kesan "besar dan tempoh jangka panjang" terhadap keselamatan makanan dan pemakanan di kem yang penuh dengan kekurangan zat makanan, di mana lebih satu pertiga daripada kanak-kanak terbantut berat badan. 

"Bahawa komuniti penderma antarabangsa kini membelakangkan setengah juta kanak-kanak Rohingya dan keluarga mereka benar-benar menunjukkan had komitmennya kepada beberapa orang yang paling terdedah di dunia," Onno Van Manen, pengarah negara Save the Children di Bangladesh , katanya dalam satu kenyataan.

Dua wakil khas PBB, Michael Fakhri dan Thomas Andrews, memberi amaran tentang "akibat buruk" daripada kekurangan dana, dengan mengatakan "tidak wajar" untuk memotong catuan sejurus sebelum bulan Ramadan, kata agensi hak asasi manusia PBB dalam satu kenyataan.

Pemotongan boleh menyebabkan lebih ramai masyarakat Rohingya mengambil langkah terdesak untuk mendapatkan pekerjaan, kata Mohammed Mizanur Rahman, pesuruhjaya bantuan dan penghantaran pulang pelarian Bangladesh yang berpangkalan di Cox's Bazar, daerah sempadan tempat pelarian tinggal. 

Rohingya dilarang bekerja untuk menambah pendapatan mereka, dan Bangladesh membina pagar di sekeliling kem yang menghalang mereka keluar. 

Tetapi semakin ramai yang melarikan diri ke negara-negara lain seperti Malaysia dan Indonesia melalui bot yang berbahaya dan sering membawa maut, kerana jenayah kekerasan menambah masalah lama seperti kekurangan peluang pendidikan dan pekerjaan serta prospek suram untuk kembali ke Myanmar yang diperintah oleh tentera. 

Sebuah bot yang membawa 69 Rohingya mendarat di wilayah Aceh, Indonesia pada Khamis, kata agensi pelarian PBB.

"Di beberapa tempat yang saya pernah bekerja mempunyai populasi berasaskan kem mempunyai pilihan yang sedikit berbanding jenis yang ada pada Rohingya hari ini," kata pengarah wilayah WFP untuk Asia dan Pasifik, John Aylieff kepada Reuters. 

"Tidak dapat difikirkan bahawa penduduk itu, dengan apa yang mereka sudah lalui dan dengan begitu sedikit kemungkinan dan pilihan lain, akan lebih daripada segala-galanya menghadapi pemotongan catuan." 

Arif Ullah, seorang pelarian berusia 18 tahun yang tinggal di kem-kem itu berkata, elaun makanan sedia ada hampir tidak mencukupi. 

"Jika ia dipotong lagi, bagaimana kami akan bertahan?"