- Iklan -
Luar Sana

Beberapa lagi mangsa gempa Turkiye-Syria dijumpa, jumlah korban kini lebih 37,000

Harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat semakin pudar.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pandangan kawasan dengan banyak bangunan runtuh berikutan gempa bumi, di bandar Harem dikuasai pemberontak, di Syria, 13 Februari. Gambar: Reuters
Pandangan kawasan dengan banyak bangunan runtuh berikutan gempa bumi, di bandar Harem dikuasai pemberontak, di Syria, 13 Februari. Gambar: Reuters

Pasukan penyelamat di Turkiye berjaya mengeluarkan segelintir mangsa yang masih hidup dari bangunan runtuh pada Isnin dan sedang berusaha menarik keluar seorang nenek, ibu dan anak perempuan sebuah keluarga, seminggu selepas gempa bumi terburuk melanda negara itu.

Namun, harapan untuk mencari lebih ramai mangsa yang terselamat semakin pudar apabila jumlah maut di Turkiye dan Syria akibat gempa berukuran 7.8 skala Richter pada 6 Februari itu dan gegaran besar yang menyusul kemudian meragut lebih 37,000 nyawa.

Di bandar Aleppo di Syria, ketua bantuan PBB Martin Griffiths berkata fasa menyelamat "hampir berakhir", dengan tumpuan beralih kepada tempat tinggal, makanan dan persekolahan.

Ketika pasukan penyelamat Poland berkata mereka akan pulang pada Rabu, penyelamat di bandar-bandar Turki bersorak apabila ramai orang berjaya diselamatkan sejak tujuh hari bencana itu. Tetapi di kebanyakan tempat, kesedihan masih menyelubungi kerana lebih banyak mayat ditemui dengan saudara-mara menyalahkan kerajaan atas tindak balas perlahan.

Di bandar Adıyaman di tenggara Turkiye, seorang gadis muda bernama Miray ditemui dalam keadaan hidup dan seorang wanita berusia 35 tahun turut diselamatkan, kata pegawai.

Seorang lagi wanita berjaya dibawa keluar dari bawah batu yang runtuh di Antakya dan disorak ketika dia dimasukkan ke dalam ambulans, berdasarkan video yang dikongsi dalam talian oleh datuk bandar Istanbul. Penyiar Haberturk melaporkan seorang lagi wanita dan dua kanak-kanak turut diselamatkan di Antakya.