- Iklan -
Luar Sana

Akses Twitter di Turkiye dipulihkan selepas perbincangan

Semalam akses Twitter di negara itu disekat hingga mencetuskan bantahan oleh tokoh politik pembangkang, ahli akademik dan aktivis.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Akses kepada Twitter di Turkiye dipulihkan, kata pemerhati internet Netblocks. Gambar: Reuters
Akses kepada Twitter di Turkiye dipulihkan, kata pemerhati internet Netblocks. Gambar: Reuters

Akses kepada Twitter di Turkiye dipulihkan, kata pemerhati internet Netblocks, berikutan perbincangan antara syarikat tersebut dan pihak berkuasa negara itu mengenai kandungan yang disiarkan selepas gempa bumi kuat minggu ini.

Akses kepada Twitter disekat semalam, mencetuskan bantahan oleh tokoh politik pembangkang, ahli akademik dan aktivis, dua hari selepas gempa bumi melanda Turkiye dan utara Syria, meragut ribuan nyawa. 

"Metrik mengesahkan akses kepada Twitter sedang dipulihkan di Turkiye selepas beberapa jam disekat," kata NetBlocks pada akaun Twitter nya. 

Timbalan Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye, Omer Fatih Sayan berkata, dalam perbincangan dengan pihak pengurusan Twitter, beliau mengingatkan Twitter tentang tanggungjawabnya dan menyampaikan harapan kerjasama dalam memerangi maklumat yang salah ketika kerja bantuan gempa bumi diteruskan. 

"Tuntutan kami adalah jelas, kerjasama yang kukuh mengenai maklumat palsu dan laporan palsu, tindakan pantas terhadap akaun palsu dan ... langkah terhadap kandungan yang boleh merosakkan ketenteraman dan keselamatan awam," kata Sayan di Twitter.

Terdahulu, Ketua Eksekutif Twitter, Elon Musk berkata syarikat itu dimaklumkan oleh kerajaan Turkiye bahawa akses penuh kepada platform media sosial di negara itu akan didayakan semula pada kadar "segera". 

"Twitter dimaklumkan oleh kerajaan Turkiye bahawa akses akan didayakan semula tidak lama lagi," kata Musk dalam ciapan di Twitter, tanpa memberikan butiran lanjut. 

Penduduk Turkiye menggunakan Twitter sejak gempa bumi untuk menyiarkan maklumat tentang orang tersayang yang tidak dapat dicapai, laporan bangunan runtuh dan penyelarasan untuk mendapatkan bantuan. 

Jumlah kematian yang disahkan di Turkiye meningkat kepada 12,391 awal hari ini, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana. 

Di Syria, jumlah kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 2,950, menurut kerajaan dan perkhidmatan penyelamat yang beroperasi di barat laut yang dikuasai pemberontak.