- Iklan -
Luar Sana

Ramai mangsa terselamat ditemukan, angka korban gempa Turkiye-Syria kini lebih 11,200 orang

Ribuan penyelamat sedang terus mencari mangsa yang tertimbun di kedua-dua belah sempadan.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari atas kubur besar-besaran mangsa gempa bumi di Jandaris, utara Aleppo, Syria, 8 Februari. Gambar: Reuters
Pemandangan dari atas kubur besar-besaran mangsa gempa bumi di Jandaris, utara Aleppo, Syria, 8 Februari. Gambar: Reuters

Pasukan pencari masih berusaha mengeluarkan mangsa yang terselamat dari runtuhan akibat gempa bumi yang mengorbankan lebih 11,200 orang di Turkiye dan Syria, walaupun peluang untuk menyelamat semakin tipis.

Buat dua hari sejak gempa 7.8 magnitud itu, dalam cuaca yang sejuk, beribu-ribu anggota penyelamat berusaha mencari mangsa yang masih hidup di bawah timbunan bangunan-bangunan runtuh di kedua-dua belah sempadan.

Ketua Bulan Sabit Merah Turki, Kerem Kinik telah memberi amaran bahawa 72 jam pertama adalah sangat kritikal dalam usaha mencari dan menyelamat.

Pekerja kecemasan pada Rabu menyelamatkan beberapa kanak-kanak yang ditemui di bawah bangunan runtuh di wilayah Hatay, Turkiye yang dilanda teruk, di mana seluruh pekan telah musnah.

“Tiba-tiba kami terdengar suara dan terima kasih kepada jengkaut... serta-merta kami dengar suara tiga orang pada masa yang sama,” kata penyelamat Alperen Cetinkaya.

"Kami jangka ada lebih ramai... peluang untuk membawa keluar orang yang lebih ramai dari sini hidup-hidup sangat tinggi," tambahnya.

Para pegawai dan petugas perubatan berkata 8,574 orang telah meninggal dunia di Turkiye manakala 2,662 korban di Syria akibat gegaran 7.8 magnitud pada Isnin. Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban sebanyak 11,236. Namun jumlah maut mungkin boleh berganda jika kebimbangan terburuk pakar terbukti benar.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk ribuan mangsa yang masih terperangkap dan cedera.