- Iklan -
Luar Sana

Jumlah korban gempa bumi Turkiye-Syria cecah 7,800 orang

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa jumlah kematian akan meningkat secara mendadak, dengan pegawai WHO menganggarkan sehingga 20,000 mungkin meninggal dunia.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pandangan udara menunjukkan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Aleppo, Syria, 7 Februari. Gambar: Reuters
Pandangan udara menunjukkan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Aleppo, Syria, 7 Februari. Gambar: Reuters

Pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria bergelut dengan cuaca sejuk Selasa dalam usaha mencari mangsa yang terselamat di bawah bangunan yang runtuh akibat gempa bumi yang mengorbankan lebih 7,800 orang. 

Gegaran turut menambah penderitaan di kawasan sempadan yang dilanda konflik, menyebabkan orang ramai di jalanan membakar serpihan bagi memanaskan badan sementara menanti bantuan antarabangsa mula tiba. 

Tetapi beberapa kisah kelangsungan hidup yang luar biasa muncul, termasuk seorang bayi baru lahir yang dikeluarkan hidup-hidup dari runtuhan di Syria, masih terikat dengan tali pusatnya ibunya yang meninggal dunia dalam gempa semalam. 

“Kami mendengar suara ketika kami menggali,” Khalil al-Suwadi, seorang saudara mangsa, memberitahu AFP. 

"Kami membersihkan habuk dan mendapati bayi dalam keadaan bertali pusat (utuh) jadi kami memotongnya dan sepupu saya membawanya ke hospital." 

Bayi itu adalah satu-satunya yang terselamat daripada keluarga terdekatnya, manakala selebihnya terkorban di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu melanda semalam ketika orang ramai sedang nyenyak tidur, meranapkan beribu-ribu bangunan, memerangkap mangsa dan berpotensi menjejaskan berjuta-juta yang lain. 

Seluruh deretan bangunan runtuh, mengakibatkan kemusnahan paling teruk berhampiran pusat gempa antara bandar Gaziantep dan Kahramanmaras. 

Kemusnahan itu menyebabkan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah tenggara bermula semalam. 

'Kanak-kanak kedinginan' 

Berpuluh-puluh negara termasuk Amerika Syarikat, China dan negara Teluk berjanji untuk membantu, dan pasukan mencari serta bekalan bantuan mula tiba melalui udara. 

Namun orang ramai di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana berkata mereka tidak tahu apa yang perlu dibuat buat masa ini.

"Saya tidak boleh mendapatkan semula abang saya dari runtuhan. Saya tidak boleh mendapatkan anak saudara saya kembali. Lihatlah di sini. Tiada pegawai negeri di sini, demi Tuhan," kata Ali Sagiroglu di bandar Kahramanmaras di Turkiye. 

“Dua hari kami tidak melihat keadaan di sekitar sini... Kanak-kanak kedinginan kerana kesejukan,” tambahnya. 

Ribut musim sejuk menambahkan lagi kesengsaraan dengan menyebabkan banyak jalan raya – sebahagian daripadanya rosak akibat gempa – hampir tidak dapat dilalui, mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang menjangkau beberapa kilometer di beberapa wilayah. 

Hujan dan salji adalah risiko kedua-dua orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka – yang berlindung di masjid, sekolah atau tempat perlindungan bas – dan mereka yang terselamat tertimbus di bawah runtuhan. 

“Hanya masa yang menentukan,” kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus. 

"Kami sudah mengaktifkan rangkaian pasukan perubatan kecemasan WHO untuk menyediakan penjagaan kesihatan untuk mereka yang cedera ," tambahnya.