- Iklan -
Luar Sana

Gempa kuat dengan 7.8 magnitud landa Turkiye, Syria

Gempa itu yang melanda awal pagi tadi itu, turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan susulan gempa bumi, di bandar Jandaris yang dikuasai pemberontak, Syria, 6 Februari 2023. Gambar: Reuters
Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan susulan gempa bumi, di bandar Jandaris yang dikuasai pemberontak, Syria, 6 Februari 2023. Gambar: Reuters

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda tengah Turkiye dan barat laut Syria, mengorbankan lebih 500 orang dan mencederakan ratusan yang lain akibat bangunan runtuh di seluruh wilayah, sekali gus mencetuskan pencarian mangsa yang terselamat di bawah runtuhan. 

Gempa itu yang melanda awal pagi tadi itu, turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. 

"Kami digoncang seperti buaian. Terdapat sembilan daripada kami di rumah. Dua anak lelaki saya masih dalam runtuhan, saya menunggu mereka," kata seorang wanita, yang lengannya patah dan luka di mukanya ketika menceritakan situasi yang berlaku dalam sebuah ambulans berhampiran serpihan blok tujuh tingkat tempat dia tinggal di Diyarbakir. 

“Saya tidak pernah merasakan apa-apa seperti itu dalam tempoh 40 tahun saya hidup,” kata Erdem, seorang penduduk di bandar Gaziantep di Turkiye, berhampiran pusat gempa, yang enggan mendedahkan nama keluarganya. 

"Kami digoncang sekurang-kurangnya tiga kali dengan sangat kuat."

Naib presiden Turkiye Fuat Oktay berkata 284 orang terbunuh dan 2,323 orang cedera, pihak berkuasa mengarahkan pasukan penyelamat dan pembekal pesawat ke kawasan yang terjejas, sambil mengisytiharkan "amaran tahap 4" dan memerlukan bantuan antarabangsa. 

Di Syria, yang sudah musnah akibat perang saudara lebih 11 tahun, seorang pegawai kesihatan kerajaan berkata lebih 237 orang terbunuh dan kira-kira 600 cedera, kebanyakannya di wilayah Hama, Aleppo dan Latakia, di mana banyak bangunan runtuh. 

Di barat laut yang dikuasai pemberontak Syria, perkhidmatan penyelamat berkata berpuluh-puluh orang terbunuh. 

Penyiar negara Turkiye RTR menunjukkan pekerja penyelamat di wilayah Osmaniye menggunakan selimut untuk membawa seorang lelaki yang cedera keluar dari bangunan empat tingkat yang runtuh dan memasukkannya ke dalam ambulans. 

“Dia adalah mangsa kelima yang dikeluarkan dari runtuhan,” katanya. 

Rakaman di penyiar CNNTurk menunjukkan Istana Gaziantep rosak teruk. 

Presiden Tayyip Erdogan bercakap melalui telefon dengan gabenor di lapan wilayah yang terjejas untuk mengumpul maklumat mengenai situasi dan usaha menyelamat, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.