- Iklan -
Luar Sana

PBB unjur pertumbuhan ekonomi dunia perlahan pada 2023, naik tahun depan

Laporan Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia menyebut ini sekali gus akan menandakan satu daripada kadar pertumbuhan terendah dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung berjalan di salah sebuah kedai pakaian di London, 2 Disember 2021. Gamabar: Reuters
Pengunjung berjalan di salah sebuah kedai pakaian di London, 2 Disember 2021. Gamabar: Reuters

Pertumbuhan ekonomi global diunjurkan perlahan kepada 1.9% tahun ini berbanding anggaran 3% pada 2022, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterbitkan hari ini.

Laporan itu turut menyebut ia berpunca daripada pandemik Covid-19, perang Rusia di Ukraine, inflasi yang tinggi dan krisis iklim. 

Laporan Situasi dan Prospek Ekonomi Dunia menyebut ini sekali gus akan menandakan satu daripada kadar pertumbuhan terendah dalam beberapa dekad kebelakangan ini. 

"Pertumbuhan global diramal meningkat sederhana kepada 2.7% pada 2024, jika seperti yang dijangkakan, beberapa masalah ekonomi makro mula reda tahun depan," katanya. 

"Tinjauan ekonomi jangka pendek kekal tidak menentu, ekoran pelbagai risiko ekonomi, kewangan, geopolitik dan alam sekitar berterusan." 

Dana Kewangan Antarabangsa dijangka mengeluarkan kemas kini Tinjauan Ekonomi Dunia akhir bulan ini.

Minggu lalu, Ketua IMF Kristalina Georgieva berkata beliau tidak melihat "peningkatan dramatik" dalam unjuran pertumbuhan global semasa 2023 sebanyak 2.7%, turun sekitar 3.2% berbanding tahun sebelumnya. 

Pada Oktober, IMF meletakkan kebarangkalian 25% pertumbuhan global susut di bawah 2% tahun depan – fenomena yang berlaku hanya lima kali sejak 1970.

Menurut Laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB, pertumbuhan yang lemah di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan ekonomi maju lain menjejaskan ekonomi global. 

Ia mengunjurkan keluaran dalam negara kasar AS hanya akan berkembang 0.4% pada 2023, berbanding anggaran pertumbuhan 1.8% pada tahun lepas. 

EU diramalkan berkembang sebanyak 0.2% pada 2023, turun daripada anggaran 3.3% pada 2022. 

IMF pada Oktober meramalkan pertumbuhan ekonomi AS sebanyak 1% pada 2023 dan pertumbuhan 0.5% di EU. 

Laporan itu meramalkan pertumbuhan ekonomi di China akan meningkat kepada 4.8% tahun ini selepas kerajaan menarik balik dasar sifar Covid dan mula melonggarkan dasar monetari dan fiskal. Ini berbanding jangkaan pengembangan 3% pada 2022. 

"Tetapi pembukaan semula ekonomi dijangka melantun. Pertumbuhan mungkin akan kekal jauh di bawah kadar pra-pandemik iaitu 6% hingga 6.5%," menurut laporan itu. 

IMF meramalkan pertumbuhan ekonomi China sebanyak 4.4% untuk 2023, menurut Georgieva minggu lalu.