- Iklan -
Dunia

Jasad legenda bola sepak Brazil Pele selamat disemadikan

Mendiang disemadikan di Memorial Necropole Ecumenical di Santos.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Keranda mendiang legenda bola sepak Brazil, Pele diarak ketika pengebumiannya di Santos, Sao Paulo, Brazil pada 3 Januari 2023. Gambar: AFP
Keranda mendiang legenda bola sepak Brazil, Pele diarak ketika pengebumiannya di Santos, Sao Paulo, Brazil pada 3 Januari 2023. Gambar: AFP

Jasad legenda bola sepak Brazil Pele selamat disemadikan di Memorial Necropole Ecumenical, Santos pada Selasa.

Terdahulu pada Isnin, keranda Pele ditempatkan di stadium Vila Belmiro Santos FC bagi membolehkan peminat memberikan penghormatan terakhir.  

Presiden Fifa Gianni Infantino turut memberi penghormatan terakhir.

"Seluruh dunia mengenali Pele dan tahu apa yang Pele lakukan untuk bola sepak. Beliau membuat orang jatuh cinta dengan bola sepak," kata Infantino dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu. 

Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva turut menghadiri upacara persemadian itu.

Pele yang digelar "Mutiara Hitam" meninggal dunia pada 29 Disember pada usia 82 tahun selepas bertarung lama dengan kanser.

Brazil mengisytiharkan tiga hari berkabung berikutan pemergian legenda bola sepak itu. 

Pele, penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah sukan itu dengan 1,283 gol menerusi 1,363 perlawanan sepanjang kariernya dari 1957 hingga 1977.

Juga digelar "O Rei," atau "Raja," beliau dianggap sebagai antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman. Pele memenangi enam gelaran Serie A Brazil, dua gelaran Copa Libertadores dan Piala Antara Benua untuk Santos.

Beliau mengetuai Brazil memenangi tiga kejuaraan Piala Dunia, masing-masing pada 1958, 1962 dan 1970.