- Iklan -
Berita

Parti pimpinan Modi pertahan kemenangan besar di Gujarat

Parti Bharatiya Janata mengukuhkan cengkaman penguasaannya di wilayah barat yang dikuasainya selama lebih dua dekad.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Narendra Modi melambaikan tangan kepada penyokong Parti Bharatiya Janata pimpinannya pada pilihan raya di Gujarat, India 5 Disember lalu. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Narendra Modi melambaikan tangan kepada penyokong Parti Bharatiya Janata pimpinannya pada pilihan raya di Gujarat, India 5 Disember lalu. Gambar: Reuters

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India Narendra Modi memperoleh kemenangan besar di Gujarat pada Khamis sekali gus mengukuhkan lagi cengkamannya di wilayah barat yang dikuasainya selama lebih dua dekad.

BJP dijangka memperoleh lebih 155 kerusi dalam dewan perhimpunan yang mempunyai 182 ahli manakala pihak pembangkang iaitu Kongres Kebangsaan India mendahului di 16 kawasan, berdasarkan trend pengiraan undi.

Walaupun bertanding di kebanyakan kawasan pilihan raya, Parti Aam Aadmi (AAP) yang diketuai Ketua Menteri New Delhi Arvind Kejriwal sekadar mendahului lima kerusi.

Pengundian di Gujarat dijalankan menerusi dua fasa pada 1 dan 5 Disember.

Pemimpin BJP menyifatkan kemenangan itu satu pencapaian "bersejarah".

“Gujarat mencatat rekod pembangunan baharu dalam dua dekad lepas di bawah kepimpinan Modi, dan hari ini rakyat Gujarat telah memberikan kemengan kepada BJP,” kata presiden parti Jagat Prakash Nadda menerusi akaun Twitternya. 

Parti nasionalis Hindu itu tidak pernah kalah dalam pilihan raya dewan perhimpunan di negeri itu sejak 1995.

Modi berkhidmat sebagai ketua menteri Gujarat selama lebih 12 tahun sebelum menjadi perdana menteri India pada 2014.

Di negeri Himachal Pradesh yang mengundi pada 12 November, BJP tewas kepada parti Kongres.

Kongres menang di 39 kawasan dalam badan perundangan 68 anggota berbanding 26 kerusi yang diperoleh BJP.