- Iklan -
Dunia

AS tambah kehadiran tentera di Australia

Langkah itu bagi memperkukuh operasi tentera AS dan mewujudkan keupayaan yang lebih tangkas dan berdaya tahan di negara itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera AS dalam sebuah misi pertandingan antara unit di Pyeong taek pada Mei lalu. Gambar: AFP
Tentera AS dalam sebuah misi pertandingan antara unit di Pyeong taek pada Mei lalu. Gambar: AFP

Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan kehadiran tenteranya di Australia dan bersetuju dengan Canberra untuk mempelawa Jepun turut serta, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin pada Selasa.

Austin berkata peningkatan penggiliran tentera udara, darat dan laut akan merangkumi pasukan petugas pengebom, jet pejuang dan giliran tambahan keupayaan Tentera Laut dan Tentera Darat untuk mengembangkan logistik dan lain-lain kerjasama dengan Australia.

"Ini akan memperkukuh kebolehoperasian kami dan mewujudkan keupayaan yang lebih tangkas dan berdaya tahan. Kami juga akan terus mencari jalan untuk menyepadukan lagi pangkalan industri pertahanan kami pada tahun-tahun mendatang," kata Austin kepada pemberita.

Butiran tepat mengenai penambahan kehadiran tentera AS termasuk saiznya dan bila ia akan bermula belum dimuktamadkan dan akan diumumkan kemudian.

Austin berkata Jepun telah dipelawa untuk "mengintegrasikan inisiatif kedudukan pasukan kami di Australia" namun beliau tidak memberikan butiran lanjut. 

AS bersama-sama United Kingdom (UK), mengumumkan pakatan keselamatan tiga hala dengan Australia yang dikenali AUKUS tahun lepas yang antara lain dijadual menyediakan Canberra dengan teknologi untuk menggunakan armada kapal selam berkuasa nuklear baru.