- Iklan -
Dunia

Ireland denda Meta sebanyak AS$275 juta atas pelanggaran data pada 2019

Data yang bocor itu termasuk 533 juta rekod yang menunjukkan akaun Facebook, tarikh lahir, nombor telefon dan emel pengguna yang disiarkan dalam forum awam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Logi Meta Platform di Davos, Switzerland pada 22 Mei 2022. Gambar: Reuters
Logi Meta Platform di Davos, Switzerland pada 22 Mei 2022. Gambar: Reuters

Pengawal selia privasi data Ireland mendenda Meta kira-kira AS$275 juta kerana gagal melindungi data peribadi dalam kejadian pelanggaran data pada 2019, lapor UPI.

Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland mengenakan denda dan langkah pembetulan lain pada Isnin bagi pelanggaran yang menjejaskan data peribadi Pesuruhjaya Keadilan Kesatuan Eropah Didier Reynders, Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel, dan berpuluh-puluh pegawai EU yang lain.

Data yang bocor itu termasuk 533 juta rekod yang menunjukkan ID Facebook, tarikh lahir, nombor telefon dan emel, yang disiarkan dalam forum awam. Daripada pengguna yang termasuk dalam senarai, kira-kira 32 juta berada di Amerika Syarikat dan kira-kira 11 juta lagi di Britain.

Sebagai tambahan kepada denda, DPC juga mengarahkan Meta memastikan prosesnya mematuhi keperluan dengan melaksanakan pelbagai tindakan pembetulan dalam jangka masa tertentu, kata DPC dalam kenyataan.

Jurucakap Meta pada Isnin berkata ia bekerjasama dalam siasatan suruhanjaya itu dan sedang menyemak keputusan itu dengan teliti.

“Melindungi privasi dan keselamatan data orang adalah asas kepada cara perniagaan kami berfungsi,” kata Meta dalam satu kenyataan.

“Kami membuat perubahan pada sistem ketika itu, termasuk mematikan keupayaannya untuk memperoleh maklumat dalam cari ini menggunakan nombor telefon. Memperoleh data tanpa kebenaran tidak boleh diterima dan bertentangan dengan peraturan kami dan kami akan terus bekerjasama dengan rakan kami dalam cabaran industri ini,” kata syarikat itu.

Meta telah empat kali didenda oleh DPC Ireland tahun lepas atas dakwaan melanggar undang-undang privasi data Eropah, yang dikenali sebagai Peraturan Perlindungan Data Am.

Denda terbaru ke atas Meta dibuat selepas penyiasatan terhadap laporan mengenai satu set data peribadi Facebook yang terkumpul, tersedia di Internet. Siasatan itu meneliti Carian Facebook, Ciri Import Kenalan Facebook Messenger dan Ciri Import Kenalan Instagram antara Mei 2018 dan September 2019.

Isu penting dalam siasatan ini adalah mengenai persoalan pematuhan terhadap kewajipan GDPR untuk melindungi data menerusi reka bentuk dan lalai, menurut pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Ireland Helen Dixon dalam satu kenyataan.

Facebook boleh merayu keputusan itu di mahkamah Ireland.