- Iklan -
Dunia

Korea Selatan mudahkan syarat pinjaman bagi pembeli rumah pertama

Kelonggaran syarat membolehkan mereka meminjam sehingga separuh daripada harga rumah menerusi pinjaman gadai janji mulai 1 Disember.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kawasan perumahan baru di kawasan Andong, berhampiran Seoul di Korea Selatan. Gambar: AFP
Kawasan perumahan baru di kawasan Andong, berhampiran Seoul di Korea Selatan. Gambar: AFP

Korea Selatan akan melonggarkan syarat pemberian pinjaman untuk pembeli rumah pertama dan pemilik satu rumah bagi meningkatkan pasaran hartanah yang lembab, kata kerajaan pada Khamis, lapor Xinhua.

Nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) akan dinaikkan kepada 50% di daerah spekulatif bagi pembeli rumah kali pertama dan pemilik rumah tunggal yang merancang untuk berpindah ke rumah baru, membolehkan mereka meminjam sehingga separuh daripada harga rumah menerusi pinjaman gadai janji mulai 1 Disember.

Siling pinjaman gadai janji untuk rumah bernilai lebih 1.5 bilion won (AS$1.1 juta) akan ditarik balik di daerah spekulatif, menurut Kementerian Ekonomi dan Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Nisbah LTV sifar peratus untuk pemilik yang mempunyai banyak rumah kekal dalam kawasan spekulatif manakala nisbah LTV 70 peratus akan terus digunakan untuk kawasan bukan spekulatif.

Kerajaan menarik balik  status banyak kawasan di wilayah Gyeonggi sekitar Seoul, sebagai kawasan spekulatif dan terkawal.

Pelonggaran syarat itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pasaran hartanah yang lemah dan merosot tahun ini disebabkan oleh kenaikan kadar faedah yang tinggi.

Bank pusat mula mengetatkan dasar monetarinya pada Ogos tahun lepas dengan menaikkan kadar utamanya dalam lapan mata daripada rekod terendah 0.5% kepada 3.0%.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi