- Iklan -
Dunia

PBB gesa negara jiran henti hantar pulang pelarian ke Myanmar

UNHCR berkata negara lain perlu menawarkan perlindungan kepada pelarian dan pencari suaka dari negara yang sedang berdepan konflik dalaman itu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Rohingya berehat di sebuah kawasan perlindungi di New Delhi dalam gambar fail 16 April 2018 ini. Gambar: AFP
Pelarian Rohingya berehat di sebuah kawasan perlindungi di New Delhi dalam gambar fail 16 April 2018 ini. Gambar: AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa jiran Myanmar untuk menghentikan pemulangan secara paksa warga negara itu, mengatakan “banyak nyawa” akan berdepan dengan risiko.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) berkata pihaknya amat prihatin terhadap pelbagai laporan mengenai pemulangan secara paksa pelarian dan pencari suaka, sejak Februari 2021 dari negara jiran Myanmar.

Agensi itu “merayu kepada negara di rantau itu untuk segera menghentikan pemulangan paksa warga Myanmar yang mencari keselamatan daripada bahaya serius".

"Kami mengulangi gesaan kami kepada negara lain untuk terus menawarkan perlindungan kepada warga Myanmar yang melarikan diri demi keselamatan.

"Ini juga termasuk menamatkan amalan penahanan tanpa had pemohon suaka dan pelarian dari Myanmar," kata Penolong Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Gillian Triggs.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera tahun lalu, dengan pertempuran berleluasa di sebahagian besar negara itu.

Lebih 2,300 orang terbunuh akibat tindakan keras junta tentera terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, kekejaman yang berlaku termasuk pemusnahan kampung, pembunuhan besar-besaran dan serangan udara ke atas orang awam.

Junta tentera Myanmar menyalahkan pejuang anti rampasan kuasa atas kematian hampir 3,900 orang awam.

Triggs berkata keganasan itu mendorong orang ramai melarikan diri dan mereka harus dibenarkan mencari suaka di luar negara serta dilindungi daripada penghantaran pulang secara paksa.